Mufti Perlis Nafi Terlibat Dalam Kehilangan Aktivis

Fairuz Mazlan & Hata Wahari
2018.01.23
Alor Setar & Kuala Lumpur
180123-my-missing-asri-620.jpg Anggota polis dan Mufti Perlis Mohd. Asri Zainul Abidin kelihatan bersembang dengan isteri aktivis yang hilang Amri Che Mat ketika serbuan dibuat ke rumah mereka tiga tahun lalu di Perlis.
[Ihsan Pejabat Mufti Perlis]

Mufti kerajaan negeri Perlis pada Selasa menafikan beliau serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis terlibat dalam kehilangan seorang aktivis ajaran Syiah, Amri Che Mat, yang hilang sejak 2016, seperti dakwaan isteri aktivis itu dalam prosiding siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [Suhakam].

“Apa yang dia [Norhayati] hendak kaitkan saya dengan kehilangan suami dia? Saya rasa dia tidak boleh kaitkan dengan siapa-siapa, mungkin suami dia ada sekarang, pergi mana-mana... Mungkin dia [Amri] pergi Iran [negara yang majoritinya penganut fahaman Syiah]. Mungkin dia pergi muta’ah di Thailand. Dia pergi mana, saya tak tahu.

“Jabatan Mufti tidak ada kuasa untuk menghilangkan seseorang,” kata Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin seperti dalam rakaman temuramah yang disiarkan oleh portal berita Free Malaysia Today pada Selasa.

Pada Isnin, isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu panel prosiding Suhakam bahawa pertubuhan Perlis Hope, sebuah badan bukan kerajaan yang diasas secara bersama oleh suaminya tidak disenangi oleh pihak berkuasa Malaysia.

Wanita itu memberi keterangan demikian pada hari pertama prosiding awam Suruhanjaya berkenaan  mengenai kehilangan Amri sejak 24 November 2016.

Norhayati memberitahu prosiding, Mufti Perlis itu bersama kakitangannya, turut berada dirumah beliau semasa serbuan pihak polis terhadap Amri dan pejabat Perlis Hope dibuat pada 21 Oktober 2015.

Selain kes melibatkan Amri, Suhakam juga sedang menjalankan prosiding untuk menyiasat  kehilangan beberapa aktivis sosial lain seperti Paderi Raymond Koh Keng Joo, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Sitepu.

Pada Selasa lepas, Suhakam telah memberhentikan prosiding mengenai Paderi Raymond Koh setelah menerima surat daripada Ketua Polis Negara bahawa polis telah mendakwa seorang suspek atas tuduhan menculik Paderi tersebut.

Pengamal fahaman Syiah


Mohd Asri sebelum itu telah mengesahkan, Amri adalah seorang pengamal fahaman Syiah yang juga pernah melakukan nikah kontrak atau muta’ah dengan beberapa wanita, dalam pertemuannya dengan Mufti tersebut dan juga pihak polis selepas rumahnya diserbu pada 2015.

“Amri secara terbuka memberitahu yang dia berfahaman Syiah. Saya beritahunya kalau awak hendak bersyiah, awak tutup pintu rumah, bilik awak dan awak bersyiahlah, sebab itu bukan urusan saya… itu adalah antara manusia dengan Tuhan jika mahu memilih jalan sendiri.

“Saya tidak boleh menghalang apa yang awak percaya dan apa yang ada dalam dada awak, tetapi bila awak buatnya sebagai satu aktiviti, yang mana orang keliling sudah membuat aduan, saya kenalah membuat siasatan, sebab itu saya pergi ketempat awak, kerana bukan saya menghalang kebebasan, tetapi awak sudah melepasi batas,” kata Mohd Asri pada Selasa.

Norhayati semasa prosiding itu juga mendakwa kira-kira 20 anggota polis dan pegawai Majlis Agama termasuk Mohd Asri mengepung rumah mereka dan memecah masuk ke pejabat Perlis Hope yang terletak bersebelahan serta menggunakan bahasa yang kasar terhadap anak mereka.

“Ini satu pembohongan. Pihak polis tidak pernah menengking anak Amri seperti yang dilaporkan. Bahkan pihak jabatan [agama] dan polis masuk dengan cara yang baik. Kami berbahasa dengan baik dan sopan kepada mereka,” kata Mohd Asri dalam catatan di laman media sosial rasmi Facebooknya pada Selasa.

Mohd Asri menafikan semua dakwaan Norhayati dan Mufti itu turut memuat naik 13 keping gambar yang diambil semasa serbuan ke rumah Amri dan pejabat Perlis Hope pada 2015 di laman Facebooknya.

Mohd Asri berkata gambar-gambar yang dimuat naik itu menunjukkan imej dan kalimah-kalimah yang melambangkan mazhab Syiah

“Suasana macam tempat ibadah syiah di Iran,” tambahnya.

Malaysia mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya. Penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian hidup bersama-sama dengan umat Islam, tetapi hal-hal agama tidak dibincangkan secara terbuka dan dianggap sebagai isu yang sangat sensitif.

Ajaran Syiah dilarang di Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam dengan fahaman Sunnah.

Menurut laporan tempatan, kehilangan Amri mungkin berkaitan dengan ajaran Syiah yang disebarkan olehnya.

Saksi melaporkan bahawa mereka melihat lima kenderaan menyekat laluan jip yang dinaiki Amri, yang kemudian didapati kosong dengan cermin depannya dipecahkan, berhampiran sebuah empangan tempatan.

Kehilangan Paderi Koh juga kelihatan seperti kes penculikan, namun apabila kes itu semakin mendapat publisiti, lebih banyak laporan mengenai kehilangan rakyat Malaysia timbul, termasuk Amri, Joshua dan Ruth.

Paderi Hilmy dan Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian, dilihat buat kali terakhir pada 30 Nov di rumah mereka di Selangor. Laporan orang hilang, bagaimanapun tidak dibuat sehingga 6 Mac lalu, kata para pegawai.

Walaupun tidak banyak yang diketahui tentang pasangan itu, catatan blog mendakwa bahawa Hilmy dan isterinya telah murtad daripada Islam serta memurtadkan umat Islam dengan menukar agama kepada Kristian.

Panel Suhakam itu telah mensapina sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan menyoal siasat hampir 25 yang lain.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.