Tiada Sumber Haiwan Dalam Vaksin COVID-19 AstraZeneca, Kata Menteri Kesihatan

Vaksin AZD1222 tidak mengandungi produk daripada babi, gelatin atau gliserin haiwan dan semua eksipien bersumberkan tumbuh-tumbuhan, kata Adham Baba.
Noah Lee
2021.03.26
Kuala Lumpur
Tiada Sumber Haiwan Dalam Vaksin COVID-19 AstraZeneca, Kata Menteri Kesihatan Seorang petugas perubatan sedang melakukan persediaan untuk menyuntik petugas barisan hadapan dengan vaksin COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS2.0 di Serdang, Selangor, 5 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Vaksin keluaran syarikat Astrazeneca tidak mempunyai bahan yang diperbuat daripada sumber haiwan atau mengandungi sebarang isi terlarang seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Menteri Kesihatan Malaysia pada Jumaat.

Adham Baba mengeluarkan kenyataan itu bagi menafikan dakwaan berkenaan semasa negara berdepan dengan kesukaran untuk menggalakkan lebih ramai orang awam supaya menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dalam tempoh sebulan sejak program itu bermula pada 24 Feb lepas, statistik menunjukkan bahawa jumlah pendaftaran diterima adalah tidak sampai 30 peratus daripada populasi negara berjumlah 32.7 juta, jauh daripada sasaran kerajaan untuk menginokulasi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia.

"AstraZeneca telah memberikan kenyataan bagi mengisytiharkan bahawa AZD1222 tidak mengandungi sebarang produk yang diperbuat daripada sumber haiwan, dan semua eksipien (dalam vaksin itu) bersumberkan tumbuh-tumbuhan.

“AZD1222 juga tidak mengandungi sebarang bahan terlarang seperti bahan yang diperbuat daripada babi, gelatin yang berasal daripada babi, gliserin daripada sumber haiwan, asid stearik, laktosa, produk daripada sumber kerang atau ikan tidak bersisik, serta pati gandum," kata Adham dalam satu kenyataan media yang diedarkan Kementerian Kesihatan pada Jumaat itu.

Kenyataan itu hadir selang seminggu selepas Majlis Ulama Indonesia menyatakan bahawa vaksin keluaran AstraZeneca adalah "haram" kerana ia didakwa menggunakan enzim tripsin daripada pankreas babi dalam pembuatannya dengan Majlis berkenaan tetap meluluskan penggunaan vaksin tersebut berdasarkan situasi kecemasan pandemik.

AstraZeneca telah mengeluarkan kenyataan balas untuk menafikan bahawa vaksin syarikat itu mengandungi sebarang bahan yang diperbuat daripada babi.

Produk AstraZeneca adalah antara vaksin COVID-19 yang telah diberikan kelulusan bersyarat oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk digunakan di dalam negara.

Menurut Adham, enzim tripsin babi yang digunakan dalam membuat garis sel T-REx-293 tidak mempunyai kontak secara terus dengan bank sel yang sebenar dalam proses pembuatan vaksin, dan tidak dikira sebagai hadir dalam produk itu.

"Walaubagaimanapun, AstraZeneca perlu menyediakan keputusan ujian bagi mengesahkan bahawa tiada sisa bahan daripada babi dalam produk akhir (vaksin itu), sebagai salah satu syarat pendaftaran.

“Kementerian Kesihatan komited dalam memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin-vaksin. Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk kepada media rasmi dan pengumuman dibuat Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai," kata menteri itu.

Untuk rekod, Malaysia adalah sebuah negara yang mana majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Makanan daripada babi atau sebarang produk berasaskan haiwan tersebut adalah diharamkan bagi penganut agama Islam, kecuali dalam situasi tertentu seperti darurat.

Malaysia setakat ini telahpun mendapat bekalan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, serta dijadualkan menerima beberapa lagi jenama lain termasuk AstraZeneca.

Isu berkaitan vaksin AstraZeneca itu timbul ketika kerajaan Malaysia dilihat menghadapi kesukaran untuk mencapai sasaran jumlah penduduk untuk menyertai program vaksinasi COVID-19 yang telah bermula sejak 24 Feb lepas.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAVMY), setakat 25 Mac 2020, hanya sebanyak 6,924,337 jumlah penyertaan diterima, atau 28.5 peratus.

Kerajaan meletakkan sasaran untuk menginokulasikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah penduduk negara bagi mewujudkan imuniti kelompok bagi melawan penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Hanya 68 peratus sedia divaksin

Sementara itu, seorang menteri kabinet dilaporkan memberitahu media pada Jumaat bahawa ia adalah penting untuk maklumat mengenai program vaksinasi disampaikan "dengan tepat" bagi meyakinkan rakyat supaya menerima suntikan untuk mereka.

"Sasaran kita adalah 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi. Oleh itu, maklumat tentang program vaksinasi perlu diberikan dengat tepat supaya rakyat tidak rasa was-was selain kerjasama semua pihak penting untuk menjayakan program ini.

"Maklumat yang betul akan memberi keyakinan kepada rakyat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19," kata beliau, seperti dilaporkan agensi berita kerajaan Bernama.

Mohd Redzuan yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (Khas) di Putrajaya, di mana beliau diberikan taklimat oleh pasukan kerajaan yang menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengenai situasi terkini inisiatif berkenaan.

Berdasarkan statistik yang ditaklimatkan pasukan tersebut, kerajaan mendapati hanya 67 peratus rakyat Malaysia bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19 dan dapatan itu berdasarkan satu tinjauan yang dibuat ke atas 212,006 responden pada bulan Disember lepas.

Ia juga mendapati bahawa 16 peratus lagi tidak bersetuju, manakala baki 17 peratus pula tidak pasti samada mereka mahu menerima suntikan atau sebaliknya.

Menurut Mohd Redzuan, rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan vaksin yang digunakan dalam program kerana telah diluluskan oleh NPRA.

"Setiap individu perlu bekerjasama dengan kerajaan dan menerima suntikan vaksin COVID-19... tidak perlu pilih mana-mana vaksin dan jika available terus ambil," kata beliau seperti dilaporkan Bernama.

Kumpulan baru dalam Fasa Kedua

Program vaksinasi COVID-19 adalah yang terbesar akan dilaksana di seluruh negara, melibatkan tiga fasa iaitu dengan fasa pertama membabitkan golongan petugas barisan hadapan yang bermula pada 24 Feb sehingga April 2021.

Fasa kedua adalah kepada kumpulan berisiko tinggi yang akan bermula pada April sehingga Ogos manakala fasa terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula Mei 2021 dan dijangka selesai pada Feb tahun hadapan.

Program vaksinasi percuma itu akan turut melibatkan semua warga asing yang tinggal di negara itu, termasuk migran tanpa dokumen sah, dengan tujuan mewujudkan imuniti kelompok (herd immunity) terhadap virus COVID-19.

Pada Khamis, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberitahu satu sidang media bahawa jumlah pendaftaran untuk Fasa Kedua yang akan bermula bulan hadapan masih tidak mencapai sasaran, dan kerajaan akan memasukkan beberapa kumpulan lain.

Bagaimanapun, tegas Khairy yang merupakan pengerusi bersama JKJAVMY, golongan sasar untuk Fasa Kedua iaitu warga emas, golongan yang berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya tetap menjadi keutamaan.

"Mengenai fasa kedua ini, memandangkan pendaftaran untuk golongan sasar fasa kedua masih tidak sepenuhnya, maka kita telah buat keputusan untuk dahulukan beberapa kategori yang lain. Tapi saya ingin menegaskan bahawa warga emas, golongan berisiko tinggi dan OKU masih keutamaan dalam fasa kedua ini," kata beliau.

Menurut laporan media tempatan, beberapa kumpulan baharu yang akan dimasukkan ke dalam fasa kedua itu akan diumumkan oleh kerajaan pada Isnin depan (29 Mac).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.