Malaysia Akan Teruskan Program Inokulasi Guna Vaksin AstraZeneca

Mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 pada Selasa telah memutuskan keputusan itu, walaupun timbul kebimbangan.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.04.06
Kuala Lumpur
Malaysia Akan Teruskan Program Inokulasi Guna Vaksin AstraZeneca Seorang jururawat kesihatan menyuntik vaksin kepada seorang petugas barisan hadapan Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM) di Sungai Buloh, Selangor, 2 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia akan meneruskan program inokulasi menggunakan vaksin COVID-19 AstraZeneca, keluaran syarikat farmaseutikal milik bersama United Kingdom dan Sweden, kata Menteri Kesihatan selepas Putrajaya mengambil maklum mengenai kes penggumpalan darah yang melibatkan segelintir penerima sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan vaksin tersebut.

Putrajaya setakat ini telah menempah sebanyak 12.8 juta dos vaksin dari syarikat berkenaan melalui perjanjian belian terus dengan AstraZeneca serta fasiliti COVAX, badan perolehan vaksin global yang dipacu oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia bersama organisasi global yang lain, dan dijangka menerima penghantaran pertama pada Jun ini.

Adham Baba selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 pada Selasa memberitahu media bahawa perbincangan mengenai vaksin AstraZeneca itu telah dibuat dan keputusan mesyuarat mendapati data-data mengenai penggunaan vaksin tersebut menunjukkan lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan.

"Kita ada berbincang mengenai vaksin dari UK (United Kindgom), AstraZeneca ini. Kita juga telah mengambil maklum tentang elemen-elemen yang dikemukakan iaitu kesan 'adverse effect' (kesan buruk) dan juga faktor yang melibatkan trombosis ataupun trombositopenia.

“Kajian menunjukkan kebanyakkan kes yang berkaitan dengan vaksin AstraZeneca, yang kita belum terima lagi sebenarnya tetapi sudah mempunyai perjanjian perolehan untuk mendapatkan 10 peratus AstraZeneca daripada Thailand dan juga Fasiliti COVAX dari Korea Selatan.

"Jadi kita teruskan penggunaan AstraZeneca di dalam negara kita kerana data-data klinikal yang kita dapati masih lagi menjurus kepada banyak faedah berbanding dengan kemudaratan," kata Adham Baba di Putrajaya.

Trombosis adalah satu bentuk masalah pembekuan darah yang boleh menyebabkan saluran darah tersumbat dan membawa akibat buruk termasuk serangan jantung, strok dan kematian.

Trombositopenia pula adalah satu keadaan di mana darah kekurangan pletlet, yang berfungsi membantu pembekuan darah serta menghalang pendarahan daripada berlaku.

Pada Mac, WHO melaporkan bahawa beberapa negara dalam Kesatuan Eropah telah mengambil tindakan menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga ekoran laporan mengenai masalah pembekuan darah membabitkan penerima vaksin tersebut.

Badan berkenaan bagaimanapun mencadangkan supaya vaksin tersebut terus digunakan kerana kebaikan daripada penggunaannya melebihi risiko.

Setakat Mac, lebih 20 juta dos vaksin AstraZeneca telah disuntik di Eropah manakala 27 juta dos lagi vaksin Covishield oleh AstraZeneca yang dihasilkan Serum Institute of India telah digunakan di negara berkenaan, kata WHO.

Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaannya sejak 24 Februari lepas, yang melibatkan tiga fasa dengan keutamaan kepada petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua kepada kumpulan berisiko tinggi, dan terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas sehingga selesai pada Feb tahun hadapan.

Berdasarkan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan buku program imunisasi, setakat Februari 2021 Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19. Ini termasuk bekalan daripada AstraZeneca sebanyak 12.8 juta dos untuk meliputi 20 peratus populasi negara.

Pada masa ini, hanya tiga jenis vaksin telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh pihak berkuasa kesihatan bagi kegunaan di negara berkenaan, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dari Sweden, dan Sinovac.

Menurut laporan media tempatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 4 April lalu berkata bahawa mereka dijadualkan untuk mula menerima penghantaran vaksin AstraZeneca pada Jun, membabitkan perolehan 6.4 juta dos untuk 3.2 juta penduduk.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa Malaysia telah bersiap sedia dengan pelan kecemasan sekiranya negara terpaksa menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca, dengan rancangan itu termasuk menambah jumlah dos vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, yang telah pun menawarkan Malaysia untuk membeli 12.8 juta dos lagi diatas 30 juta dos yang telah dipesan setakat ini.

Perolehan penting

Sementara itu, Lim Chee Han, pengkaji kesihatan awam kanan di Third World Network ketika dihubungi berkata keputusan kerajaan itu adalah sesuatu yang boleh difahami kerana ia adalah penting bagi Malaysia untuk mendapatkan semua vaksin yang telah dipesan dalam usaha mencapai sasaran komuniti kelompok untuk mencegah penularan COVID-19.

"Mendapatkan vaksin yang telah dibuat perolehannya sebelum ini, adalah penting bagi negara untuk mencapai sasaran komuniti kelompok, iaitu sekurang-kurangnya 80 peratus daripada populasi perlu divaksinasi terhadap COVID-19. Vaksin AstraZeneca juga telah dibuktikan efektif untuk melawan jangkitan virus, jadi saya faham rasional kerajaan untuk meneruskan pelan asal sehingga terdapat bukti yang meyakinkan untuk menunjukkan bahawa vaksin itu tidak selamat untuk diguna," kata Lim kepada BeritaBenar.

Menurut beliau, para saintis dan doktor masih menjalankan kajian terhadap hubungan di antara masalah pembekuan darah dengan vaksin tersebut namun masih belum terdapat bukti yang boleh menolak hubungkait tersebut mahupun membuktikannya.

"Tetapi bilangan kes masih kecil, dan jika simptom muncul dan dirawat, seseorang individu itu tidak akan mati dari komplikasi," kata Lim.

Noraini Atikah Said, seorang eksekutif teknologi maklumat memberitahu BeritaBenar bahawa beliau tetap yakin dengan vaksin yang diluluskan kerajaan, dan akan mengambilnya apabila dipanggil berbuat demikian.

"Saya yakin mereka telahpun membuat semakan dan tidak akan meluluskan vaksin itu sekiranya ia benar tidak selamat," kata Noraini.

Pendidik kanak-kanak Keisha Annisa juga menyatakan keyakinan yang sama, dan berkata bahawa beliau menantikan masa untuk divaksin tanpa mengira jenama mana yang akan diberikan kepadanya.

"Saya hanya mahu divaksin, tidak kisah yang mana. Apa-apa kesan sampingan pun masih ok, jika dibandingkan dengan dijangkiti COVID-19," kata Keisha.

Setakat 5 April, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah menerima 8,000,582 pendaftaran daripada individu yang secara sukarela mahu menerima vaksinasi di seluruh negara. Jumlah itu bersamaan dengan 33 peratus populasi negara.

Sejumlah 830,036 dos vaksin telah disuntik setakat tarikh yang sama, ia termasuk 523,233 dos pertama, manakala 306,803 dos lagi adalah untuk penerima suntikan dos kedua.

Pada 6 April, Kementerian Kesihatan Malaysia mencatatkan 1,300 kes positif COVID-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah dijangkiti koronavirus setakat ini adalah sebanyak 353,329 kes.

Kematian berkaitan dengan pandemik itu turut menyaksikan pertambahan lima kes, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,300 orang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.