Follow us

ASEAN, Australia Setuju Tingkatkan Usaha Perangi Keganasan, Perluaskan Kerjasama Maritim

Felipe Villamor
Manila, Filipina
2018-03-19
E-mel
Komen
Share
Pemimpin dan pegawai ASEAN bersama-sama Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull (enam dari kiri) dalam sesi bergambar pada satu sidang kemuncak di Sydney, 18 Mac, 2018.
Pemimpin dan pegawai ASEAN bersama-sama Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull (enam dari kiri) dalam sesi bergambar pada satu sidang kemuncak di Sydney, 18 Mac, 2018.
[Ihsan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina]

Australia dan negara-negara ASEAN bersetuju pada sidang kemuncak hujung minggu di Sydney untuk memperhebatkan usaha memerangi keganasan selain terus berusaha mengekalkan keamanan serantau walaupun adanya pertikaian wilayah, kata para pegawai pada Isnin.

Sidang kemuncak khas antara tuan rumah, Australia, dan para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sepatutnya memberi tumpuan lebih kepada perdagangan, namun pertikaian tuntutan wilayah bertindih sejak sekian lama antara China dan beberapa negara ASEAN turut menarik perhatian pada mesyuarat itu, menurut diplomat serantau.

"Kami dengan jelas mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk dan manifestasi  keganasan," kata kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak itu pada Ahad.

"Kami mengulangi komitmen untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dalam meningkatkan kerjasama serantau bagi menentang keganasan, termasuk mencegah dan mengekang pergerakan pejuang pengganas asing di rantau kami," kata kenyataan itu.

Laut China Selatan

Setiausaha Luar Manila, Alan Peter Cayetano, mewakili Presiden Rodrigo Duterte pada sidang kemuncak itu di Sydney. Beliau mengingatkan Australia supaya tidak mendesak Filipina untuk terus berkonfrontasi dengan China dengan menguatkuasakan keputusan mahkamah timbang tara antarabangsa pada 2016 yang menolak tuntutan Beijing terhadap kebanyakan kawasan di Laut China Selatan.

"Memang mudah untuk memberitahu kami supaya menguatkuasakan keputusan itu, tetapi tidak ada mekanisme penguatkuasaan," kata Cayetano. "Kami memahami kedudukan sekutu kami, (tetapi) sekutu kami juga harus memahami kedudukan kami."

Duterte berusaha bersungguh-sungguh untuk menenangkan China, yang berang apabila, pada 2013, pemimpin sebelumnya telah memfailkan kes Filipina di Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague. Mahkamah itu membuat keputusan yang memihak kepada Manila, tetapi China tidak mengendahkan keputusan itu.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan atas dasar sejarah, termasuk kawasan berhampiran dengan pesisir pantai negara-negara jiran yang lebih kecil.

Filipina dan beberapa negara ASEAN lain - Brunei, Malaysia dan Vietnam –  menuntut wilayah di laut yang strategik dan kaya mineral itu. Begitu juga dengan China dan Taiwan.

Australia dan Amerika Syarikat menjadi antara sekutu Manila yang paling lantang dalam menggesa supaya penguatkuasaan keputusan 2016 dilaksanakan. Tetapi Cayetano memberi amaran bahawa China boleh menolaknya dengan cara yang tegas.

Cayetano berkata, adanya "potensi untuk berlaku perlumbaan senjata kerana jika anda mempunyai lebih banyak kapal laut di sana, maka adalah normal bagi China untuk mahu mempunyai lebih banyak pulau atau pertahanan yang jauh dari pantai."

Walaupun dengan adanya keputusan mahkamah dan perjanjian terdahulu untuk menghentikan semua aktiviti pembinaan, China masih meneruskan perluasan wilayah dan ketenteraan di kepulauan itu, yang telah pun dikuasainya  di kawasan laut berkenaan.

Menurut kenyataan bersama itu, semua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan "resolusi damai" bagi semua pertikaian dan berusaha menyelesaikan perbezaan dengan baik.

Semua pihak berjanji untuk menyelesaikan masalah "tanpa menggunakan ancaman atau kekerasan selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui sejagat, serta rantau berasaskan peraturan dan perintah  antarabangsa," kata kenyataan itu.

180319-PH-ASEAN-620INSIDE.JPG

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi duduk di samping Setiausaha Luar Filipina Alan Peter Cayetano semasa sidang kemuncak ASEAN-Australia di Sydney, 18 Mac, 2018. [Ihsan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina]

Membanteras keganasan


Mengenai usaha membanteras pengganas, Australia dan ASEAN bersetuju untuk menyelaraskan undang-undang anti-keganasan dan meningkatkan usaha untuk memerangi pembiayaan keganasan.

Filipina, yang dapat menumpaskan militan dikaitkan dengan Negara Islam yang menawan bandar selatan Marawi tahun lepas, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Australia Malcom Turnbull kerana telah memberikan bantuan kepadanya.

Australia dan Amerika Syarikat membantu tentera Filipina dengan pesawat drone dan maklumat perisikan yang dapat menumpaskan pihak militan selepas pertempuran selama lima bulan.

"Saya mengadakan perbincangan yang amat baik dengan Perdana Menteri Malcolm Turnbull di mana kami mengesahkan, antara lain, hasrat untuk mengukuhkan kerjasama dalam memerangi keganasan ekstrem," kata Cayetano selepas bertemu Turnbull di luar sidang kemuncak itu.

"Perdana Menteri Turnbull telah mengulangi komitmen Australia untuk membantu kami dalam menangani keganasan dan bertanyakan apa yang boleh ia bantu dalam membangunkan semula Marawi," kata Cayetano sambil memberitahu bahawa Australia telah menyediakan latihan memerangi keganasan untuk pihak tenteranya termasuk latihan perang dalam bandar.

Cayetano berkata, kerjasama berterusan diperlukan untuk membendung apa yang dikatakannya sebagai usaha merekrut ahli oleh pihak militan diilhamkan daripada Negara Islam, yang telah melarikan diri dari Marawi dan menyertai kumpulan bersenjata tempatan di pulau Mindanao.

Krisis Korea Utara, Rohingya


Dalam hal-hal keselamatan serantau yang lain, Australia dan ASEAN mengulangi gesaan mereka supaya"Semenanjung Korea dibebaskan daripada  nuklear secara meluas, sah dan tidak diadakan lagi, dengan secara aman."

"Kami merasa amat bimbang dengan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea, termasuk program peluru berpandu nuklear dan balistik DPRK (Korea Utara), yang mengancam keamanan dan keselamatan serantau dan global," kata kenyataan itu.

Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak khas itu, walaupun ia bukan negara anggota ASEAN. Pada Jumaat, Turnbull menjelaskan bahawa Canberra tidak akan menyertai blok serantau itu walaupun mendapat sokongan penuh daripada Indonesia untuk berbuat demikian.

Minggu lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo ditanya oleh Sydney Morning Herald tentang apa yang dianggapnya mengenai Australia menyertai ASEAN sebagai ahli ke-11. Beliau menjawab: "Saya fikir ia adalah idea yang baik," sambil menjelaskan bahawa ia dapat membantu kestabilan ekonomi dan politik di rantau itu.

Tetapi, Turnbull memberitahu wartawan bahawa walaupun Australia "benar-benar merasa berbesar hati dan tersentuh dengan kemesraan’’ kenyataan pemimpin Indonesia itu, "hal ehwal ASEAN adalah perkara untuk ditangani ASEAN."

Diplomat Filipina berkata walaupun isu krisis pelarian Rohingya tidak dibentangkan secara rasmi pada mesyuarat itu, namun ia telah dibincangkan  dengan pemimpin de facto Myanmar Aung San Suu Kyi yang memohon bantuan daripada para pemimpin Asia Tenggara.

Turnbull berkata, pemimpin Myanmar itu meminta sokongan ASEAN "untuk memberikan bantuan dari sudut kemanusiaan dan pembangunan kapasiti.”

Lebih daripada 670,000 etnik Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh selepas tentera melancarkan tindakan keras di utara negeri Rakhine berikutan serangan terhadap polis dan tentera oleh pemberontak Arakan Rohingya Salvation Army pada Ogos 2017.

Sementara itu, semasa berucap pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak memberi amaran bahawa "penderitaan" dan "pemindahan terpaksa" minoriti Rohingya menjadikan mereka terdedah kepada radikalisasi oleh kumpulan ekstremis.

"Kita mesti berhati-hati dan meningkatkan kerjasama kita, kerana kejatuhan wilayah teras Daesh di Iraq dan Syria telah memaksa ia untuk bergerak secara bawah tanah dan muncul semula di tempat lain, terutamanya di zon-zon krisis di mana ia boleh berkembang dan beroperasi," kata Najib, yang menggunakan nama lain bagi Negara Islam.

Lihat Laman Penuh