PM, KPN dan PAT Lawat Pusat Beli Belah Walaupun Adanya Amaran Keganasan

Suhana Osman
2016.02.22
160222-my-alert-620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (tengah) bersalaman dengan seorang anggota tentera sejurus tiba untuk menyaksikan rondaan keselamatan bersama polis dan tentera di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur, 22 Februari 2016.
AFP

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, diiringi oleh Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, membuat tinjauan mengejut ke sebuah pusat beli-belah terkenal di Kuala Lumpur pada Isnin, iaitu sehari selepas Australia memberi amaran kepada rakyatnya kemungkinan berlakunya serangan pengganas di Kuala Lumpur.

Najib, yang turut disertai oleh Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein, meluangkan masa kira-kira sejam di pusat membeli-belah Pavilion "untuk melihat sendiri rondaan keselamatan bersama antara polis dan tentera di ibu negara," agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, rondaan bersama polis dan tentera itu dilancarkan di beberapa kawasan awam di Kuala Lumpur pada bulan lalu, susulan pengeboman maut di Jakarta yang dipersalahkan terhadap kumpulan militan Negara Islam (IS), dan akan diteruskan 'sehingga ia merasakan bahawa ia tidak lagi perlu dilakukan."

"Saya memberi jaminan kepada rakyat Malaysia dan pelancong asing bahawa keadaan di ibu negara masih selamat dan aman daripada sebarang ancaman asing," kata Khalid, yang mengkritik pihak berkuasa Australia kerana tidak berkongsi maklumat yang digunakan sebagai asas bagi mengeluarkan amaran keganasan.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan kepada rakyatnya pada Ahad, memberi amaran bahawa pengganas ‘mungkin merancang serangan di dalam dan sekitar Kuala Lumpur’.

"Serangan boleh sembarangan dan mungkin menyasarkan kepentingan Barat atau lokasi yang sering dikunjungi oleh warga Barat. Anda perlu lebih berwaspada pada masa ini, "kata kenyataan nasihat itu.

Menyedari bahawa adanya ‘ancaman keganasan berterusan’ di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama yang lain, kenyataan nasihat itu menyatakan pihak berkuasa Malaysia telah membuat beberapa tangkapan terhadap individu yang didakwa terlibat dalam merancang serangan, termasuk di venue hiburan di Kuala Lumpur.

Amaran perjalanan Canberra tidak meningkatkan lagi tahap ancaman keseluruhan bagi negara itu daripada ‘langkah-langkah keselamatan biasa’ namun mendapat kritikan pegawai-pegawai Malaysia.

Ia juga menasihatkan rakyat Australia supaya menimbang semula keperluan melancong ke kawasan pantai Sabah, negeri Malaysia timur, yang terletak di kepulauan Borneo.

Kerajaan Britain sebelum ini turut mengeluarkan amaran perjalanan mengenai bandar-bandar pantai dan pulau-pulau di Sabah dengan meningkatkan tahap ancaman keganasan daripada ‘umum’ kepada ‘tinggi’.

Khalid berkata kerajaan Australia sepatutnya berkongsi maklumat yang telah digunakan untuk mengeluarkan amaran perjalanan itu dengan pihak berkuasa Malaysia.

"Saya tidak tahu asas kerajaan Australia mengeluarkan kenyataan itu kerana jika mereka mengetahui sesuatu, sepatutnya mereka berkongsinya dengan kami.

"Ini kerana kami akan selalu berkongsi apa sahaja maklumat atau keadaan keselamatan khususnya berkenaan kegiatan pengganas," katanya.

Bulan lalu, polis Malaysia telah  menahan tujuh suspek militan IS yang didakwa mempunyai kaitan dengan dalang serangan maut kumpulan itu di Jakarta pada 14 Jan yang menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati.

Penangkapan itu mendahului pengumuman polis bahawa kumpulan IS telah memuat naik video yang memberi amaran serangan di Malaysia sejak penangkapan ahli dan penyokongnya.

Video itu, yang dirakam dalam Bahasa Malaysia dan dikeluarkan oleh unit Melayu IS dikenali sebagai Katibah Nusantara, memberi amaran kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan tindakan terhadap kumpulan itu dan melepaskan mereka yang telah ditahan atau ‘berdepan dengan tindakan balas dendam’.

Katibah Nusantara yang disyaki diketuai oleh Bahrun Naim, dikenal pasti sebagai dalang di sebalik pengeboman di Jakarta dan berpangkalan di Raqqa, ibu negara de facto IS  di Syria.

Video itu memaparkan dua rakyat Malaysia yang berpangkalan di Syria, yang dikenal pasti oleh ketua polis Malaysia sebagai Abdul Halid Dari dan Mohd Nizam Arifin, bercakap di bawah logo IS.

Ketua Polis Cawangan Khas Malaysia Mohamad Fuzi Harun mendedahkan bulan lalu bahawa seorang daripada pengganas Jakarta telah membuat panggilan telefon ke nombor Malaysia sebelum serangan itu, lapor Bernama. Maklumat itu  datangnya daripada pihak polis Indonesia, kata Fuzi.

Pakar-pakar menangani keganasan  telah melahirkan kebimbangan terhadap ancaman keganasan yang dihadapi oleh Malaysia selepas munculnya laporan bahawa ramai rakyat Malaysia telah Syria dan Iraq untuk menyertai IS.

Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam telah menahan lebih daripada 100 orang yang dikatakan terlibat dengan IS. Seramai 55 rakyat Malaysia telah terlibat dalam IS di Iraq dan Syria, dengan 17 orang daripadanya telah terbunuh, lapor media tempatan dengan memetik laporan perisikan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin ada lebih 130 militan Malaysia di kedua-dua negara itu.

Pada hujung minggu lepas, beliau berkata, polis Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk memastikan mereka tidak boleh kembali ke negara ini bagi ‘memastikan perpaduan kaum di Malaysia dan kestabilannya tidak diancam’, lapor Bernama.

Memberi reaksi terhadap kenyataan Ahmad Zahid itu, Pensyarah Kriminologi Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P. Sundramoorthy, mengalu-alukan ketegasan Timbalan Perdana Menteri itu, berhubung pendirian untuk menghalang rakyat Malaysia yang disahkan terlibat dalam aktiviti militan di Iraq dan Syria untuk pulang ke tanah air.

Sambil menegaskan, beliau berkata, kerajaan perlu pertimbangkan untuk melucutkan terus kerakyatan mereka yang disahkan menyertai kumpulan militan IS supaya tidak dapat kembali kepada tanah air sekarang ataupun masa depan.

"Perbuatan mereka bukan sahaja mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat dunia, malah mereka boleh menjadi ancaman keselamatan kepada negara apabila pulang dengan  membawa ideologi keganasan, kepada pengikut baru" ujarnya ketika dihubungi BeritaBenar.

Pengarah Institut Jenayah dan Kriminiologi Universiti Help Akhbar Satar pula berpendapat kepulangan mereka dengan matlamat menubuhkan IS Nusantara yang membabitkan Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei.

Akhbar berkata,  isu yang sedang dialami dunia sekarang ialah penyokong IS tidak lagi tertumpu di Syria dan Iraq kerana mereka telah mula menyebarkan pengaruh mereka ke seluruh dunia seperti serangan di Paris, Perancis baru-baru ini.

Malahan serangan di Jakarta juga membabitkan pejuang IS yang baru kembali dari Syria serta Iraq dan mereka melakukan serangan berani mati di negara sendiri.

 

S. Adie Zul dan Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.