Wanita Australia Terlepas Tali Gantung, Mahkamah Persekutuan Ketepi Hukuman
2019.11.26
Kuala Lumpur, Malaysia
Wanita warga Australia yang dijatuhi hukuman mati tahun lalu diatas tuduhan menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 1.1kg pada 2014, terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan sebulat suara membebaskannya daripada tuduhan tersebut pada Selasa.
Panel lima hakim diketuai, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menerima rayuan wanita berkenaan, Maria Elvira Pinto Exposto, 55 yang berasal dari Filipina sekali gus mengenepikan keputusan mahkamah sebelumnya.
Pada 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati wanita itu tidak bersalah atas tuduhan menyeludup dadah namun pihak pendakwa raya mencabar keputusan itu dengan Mahkamah Rayuan pulak menolak keputusan tersebut dan mendapati wanita itu bersalah pada 24 Mei tahun lalu.
"Mahkamah memutuskan bahawa sabitan tersebut ‘tidak selamat’. Perayu terbukti tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah itu dan adalah ‘pembawa’ yang tidak bersalah.
“Justeru, mahkamah mendapati sabitan tersebut adalah tidak selamat dan rayuan dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan. Perayu dilepaskan dan dibebaskan,” kata Tengku Maimun.
Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Idrus Harun dan Nallini Pathmanathan.
Tertuduh yang memakai baju berwarna ungu kelihatan tersenyum apabila mendengar keputusan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun.
Maria Elvira diwakili peguam terkenal Muhammad Shafee Abdullah yang kelihatan tenang sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi.
Maria Elvira ditahan pada Disember 2014, semasa dalam transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bersama 1.1 kilogram dadah Methamphetamine atau Syabu yang dijahit pada salah satu ruang dalam beg dibawanya.
Menurut pembelaan, wanita yang merupakan nenek kepada tiga cucu adalah mangsa kepada "Online Scamming" - penipuan atas talian.
Maria Elvira mendakwa dirinya ditipu oleh individu yang memperkenalkan dirinya sebagai
Captain Daniel Smith - seorang anggota tentera Amerika yang berminat untuk mengahwininya di Shanghai, China.
‘Smith’ bagaimanapun tidak muncul dan wanita malang itu didekati oleh individu yang tidak dikenali yang mengaku menjadi kawan kepada Smith, yang kemudiannya meminta Maria Elvira untuk membawa sebuah bag kembali ke Melbourne, Australia.
Pada Selasa, anak lelaki Maria Elvira, Hugo semasa ditemui media di perkarangan mahkamah berkata seluruh anggota keluarganya berasa gembira atas penghakiman tersebut dan tidak sabar untuk membawa ibunya pulang.
"Saya berasa seperti satu beban telah diangkat daripada bahu saya adan saya hanya mahu membawa dia pulang. Saya ingin bertanya kepadanya perkara-perkara yang dia rindukan," tambah Hugo lagi.
Buka mata hakim
Shafee Abdullah semasa ditemui di luar kamar mahkamah pula berkata penghakiman itu telah membuka mata kepada hakim-hakim lain tentang isu penipuan atas talian.
"Hakim pada kebiasaannya adalah individu yang konservertif. Mereka belum boleh menerima apa yang berlaku di dunia internet. Apa itu penipuan atas talian.
"Impak penghakiman ini besar. Ia akan menjadi titik tolak kepada hakim yang lain. Ini sebuah kisah bagaimana seorang wanita boleh diperdaya oleh penipuan atas talian," kata Shafee.
Dalam pembelaan beliau pagi ini, Shafee dan pasukan pembelaan menekankan bahawa sewaktu mangsa diberitahu oleh pihak kastam bahawa dirinya membawa "Ice" nama pasaran bagi methamphetamine, Maria Elvira memberitahu pihak berkuasa bahawa perkara itu mustahil kerana barang itu mudah cair.
Pihak pembelaan turut memberitahu mahkamah bahawa Maria Elvira secara sukarela melalui pintu kastam di KLIA walaupun beliau tidak perlu melakukan perkara itu memandangkan beliau hanya tiba di lapangan terbang berkenaan untuk transit.
Pihak pendakwaan pula menegaskan bahawa menjadi "mabuk cinta" bukanlah satu alasan untuk melakukan satu jenayah.
Membawa dadah atau menyeludup dadah ke Malaysia serta negara jiran Indonesia dan Singapura adalah satu risiko kerana seseorang bakal berhadapan dengan hukuman mati.
Tiga puluh tiga tahun lepas, iaitu pada 1986, dua warga Australia, Brian Chambers dan Kevin Barlow menjadi orang asing pertama dijatuhi hukaman gantung apabila mereka didapati bersalah membawa masuk 140 gram heroin.
Kejadian itu mengundang kecaman Australia terhadap Malaysia dan mengeruhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Pada Mac, Malaysia memansuhkan hukuman mati mandatori dan membenarkan mahkamah untul menggunakan budi bicara apabila berurusan dengan kes-kes kesalahan berat yang boleh mendorong kepada hukuman gantung.
Antara hukuman yang boleh dihukum gantung di Malaysia adalah mengedar atau membawa dadah, membunuh dengan niat, menculik sehingga membawa maut serta mengisytiharkan perang keatas Yang Di-Pertuan Agong.