Pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia Antara Lapan Individu Ditangkap Seludup Dadah Di Australia

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
2019.01.16
Kuala Lumpur, Malaysia
190116-MY-drug-620.JPG Anggota Polis Persekutuan Australia mengawal dadah dan wang tunai yang dirampas daripada sindiket jenayah terancang Vietnam, 16 Jan, 2019.
(Reuters)

Dua pekerja sebuah syarikat penerbangan Malaysia adalah antara lapan orang yang ditangkap kerana didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah sindiket jenayah yang menyeludup masuk heroin dan methamphetamine ke Australia, menurut polis dan laporan media pada Rabu.

Antara yang ditahan ialah seorang kru kabin wanita Malindo Air dan seorang kakitangan syarikat penerbangan lain yang didakwa membawa dadah itu bersama-sama mereka sebagai sebahagian daripada penglibatan dalam sindiket jenayah terancang Vietnam yang berpangkalan di Melbourne, lapor Australian Associated Press dan disahkan oleh sumber polis Malaysia yang enggan dikenali.

Pegawai-pegawai syarikat penerbangan itu mendakwa hanya seorang sahaja pekerjanya yang ditangkap.

“Berdasarkan pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas wanita itu, pihak berkuasa menemui satu kilogram (2.2 paun) heroin," kata sumber polis Malaysia kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada  seorang pekerja Malindo Air dan memberitahu bahawa seorang lelaki Malaysia turut ditangkap.

"Dia juga ditahan bersama-sama 1 kilogram heroin. Juga di Melbourne, "kata sumber itu.

"Semasa siasatan, polis mengenal pasti bahawa dadah tersebut dibawa masuk ke Australia oleh sebuah syarikat penerbangan komersil antarabangsa dengan kru kabin berkenaan dijadikan sebagai kurier dadah," kata Penolong Pesuruhjaya Unit Jenayah Australia, Tess Walsh, kepada pemberita tanpa menyebut nama syarikat penerbangan tersebut, lapor Reuters.

"Ini adalah operasi rumit lima bulan yang menyasarkan kepada sindiket jenayah terancang Vietnam yang berpangkalan di Melbourne."

Sementara itu, pegawai-pegawai Malindo Air berkata bahawa seorang pekerjanya telah ditangkap dalam apa yang digambarkan sebagai insiden terpencil.

"Malindo Air ingin mengesahkan bahawa seorang daripada kru kabin kami telah ditangkap ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) pada 7 Januari 2019. Sehingga kini, kami tidak mempunyai sebarang komunikasi rasmi sama ada dengan kakitangan kami atau AFP mengenai penahanan itu," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas polis Australia mengumumkan mengenai penangkapan empat wanita dan empat lelaki itu.

"Berdasarkan apa yang kami tahu setakat ini dan penemuan penyiasatan dalaman kami, kami yakin bahawa penangkapan ini nampaknya adalah satu insiden terpencil yang  berpunca daripada salah laku kru kabin kami. Tiada seorang pun daripada kru kabin lain Malindo Air dalam penerbangan tersebut yang ditahan, " kata syarikat penerbangan itu.

Malindo Air dimiliki oleh Kumpulan Lion Air Indonesia. Pada Oktober lepas, pesawat baru Lion Air Boeing 787 MAX 8 terhempas ke dalam Laut Jawa sejurus berlepas dari lapangan terbang utama Jakarta, yang mengorbankan 189 penumpang dan anak kapal.

Butiran penangkapan

Pada Rabu, polis Australia tidak menyatakan atau menyenaraikan kewarganegaraan suspek yang ditahan antara 7 Januari - tarikh Malindo Air menyatakan bahawa pekerjanya ditangkap - dan 14 Januari. Semua lapan individu itu akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Melbourne pada 15 Mei.

Kenyataan polis itu menyatakan bahawa satu-satunya individu yang ditahan pada 7 Januari adalah seorang wanita berusia 38 tahun yang ditangkap di Tullamarine dan didakwa dengan satu pertuduhan membawa masuk sejumlah dadah terkawal sempadan yang boleh dipasarkan. Lapangan terbang antarabangsa itu terletak di Tullamarine, di pinggir bandar Melbourne.

Pegawai-pegawai Australia berkata mereka telah merampas enam kilogram (13.2 paun) heroin gred tinggi dan lapan kilogram (17.6 paun) methamphetamine yang bernilai AUS $20.9 juta (RM61.6 juta) sejak lima bulan lalu. Turut dirampas adalah setengah kilogram (satu paun) kokain, peralatan menghasilkan dadah, sebuah kereta Porsche dan sebuah kereta Mini Cooper bersama-sama dengan "sejumlah besar" wang tunai.

Komander Wilayah Pasukan Sempadan Australia, Craig Palmer, turut memberi amaran kepada pengedar dadah.

"Bakal penjenayah harus sedar bahawa sebarang percubaan untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini akan berdepan dengan agensi-agensi sempadan dan penguatkuasa undang-undang Australia sebelum, semasa dan selepas berada di sempadan," katanya.

"Pekerja-pekerja syarikat penerbangan juga tidak terkecuali daripada undang-undang. Mereka tertakluk kepada pemeriksaan di sempadan seperti juga orang lain dan berdepan hukuman berat jika didapati menggunakan kedudukan mereka untuk cuba mengelakkan kawalan sempadan kami. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.