Tuntutan Sebuah Negara Merdeka Di Selatan Thailand Masih Agenda Utama
2015.08.27

Kemaskini pada 7.20 p.m. ET - 2015-08-27
Tuntutan untuk sebuah negara merdeka bagi warga Islam Melayu selatan Thailand tidak pernah digugurkan, kata Pengerusi Majlis Syura Patani (MARA Patani) Awang Jabat di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau menegaskan, tuntutan itu memang menjadi agenda utama perjuangan majlis berkenaan.
"Ini memang tuntutan yang telah dibuat sejak berpuluh tahun dan ia tidak pernah digugurkan dari matlamat perjuangan,” kata Awang pada sidang media khas selepas sesi dialog damai bersama wakil kerajaan Thailand di mana Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.
Menjawab soalan wartawan sama ada tuntutan negara merdeka itu diutarakan semasa rundingan kali ini, Awang berkata, “Tidak, perkara ini belum dinyatakan dalam rundingan damai kali ini tetapi ia merupakan agenda utama pertubuhan ini, sama ada kita akan mengemukakan atau tidak bergantung kepada rundingan seterusnya,”
MARA Patani ditubuhkan pada 25 Okt tahun lepas oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pada Mac lalu ia membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertainya supaya ada satu organisasi yang utama dalam menentukan hala tuju perjuangan mereka. Ini termasuk menetapkan tuntutan bersama dalam rundingan damai dengan pihak kerajaan Thai.
Majlis Syura itu adalah gabungan enam kumpulan pemberontak yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Patani Liberation Organisation (PULO), Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP) dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).
Sesi dialog dua hari itu bermula pada Selasa lepas, dengan delegasi kerajaan Thailand diketuai oleh Jen. Aksara Kerdpol manakala tujuh orang wakil kumpulan barisan pemberontak hadir pada sesi tertutup itu.
Anggota MARA Patani yang menghadiri rundingan dialog kali ini ialah Awang sebagai Pengerusi, Abu Hafiz mewakili BIPP , BRN diwakili Ustaz Matshukri Hari dan Ahmad Chuwol, Chegu Mae Ku Teh merupakan Presiden GMIP dan PULO MKP (Kolonel Kasturi Mahkota) dan PULO BIPP oleh Abu Najhan.
"MARA Patani bagaimanapun menegaskan, sama ada agenda untuk mendapatkan negara merdeka itu dapat dicapai, hanya boleh di tentukan oleh warga Islam Melayu selatan Thailand….., hanya mereka sahaja yang boleh menentukan sama ada hendak merdeka, wilayah autonomi ataupun tetap di bawah kerajaan sedia ada.'' katanya pada sidang media itu.
Sidang media yang diadakan dalam Bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris itu merupakan penampilan pertama oleh anggota MARA Patani dengan wakil-wakil media antarabangsa termasuk dari Thailand membuat liputan.
"Kami sebagai wakil mereka hanya menjalankan rundingan dengan kerajaan Thailand kerana kami percaya menerusi dialog damai ini sahaja dapat menyelesaikan konflik ini," tambah Awang.
Beliau berkata, pertubuhan itu tetap akan menuntut keadilan dan kebebasan bagi rakyat Patani untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Tiga tuntutan oleh MARA Patani
Awang semasa mengulas lanjut mengenai rundingan antara kedua-dua pihak bermula pada Selasa lalu berkata, MARA Patani telah mengemukakan tiga tuntutan awal.
“Pertama, kita mahukan rundingan damai ini dijadikan agenda nasional kerajaan Thailand dan di terima serta diluluskan oleh Parlimen Thailand; kedua, memberi imuniti kepada para perunding damai MARA Patani agar mereka boleh melaksanakan rundingan seterusnya; dan ketiga, pengiktirafan MARA Patani sebagai wakil rasmi perunding damai dengan kerajaan Thailand, tambah beliau.
Beliau berkata, "Kerajaan Thailand belum lagi memberi maklumbalas terhadap tiga tuntutan itu, tetapi kesudian kerajaan Thailand mengadakan perbincangan dengan MARA Patani merupakan satu perkembangan yang baik kerana sebelum ini tidak ada satu perbincangan yang dilaksanakan secara rasmi di bawah satu pertubuhan pejuang selatan Thailand".
Awang berkata, MARA Patani kini hanya menunggu keputusan daripada kerajaan Thailand sama ada dapat memenuhi pra-syarat yang dikemukan oleh pertubuhan itu.
"Sekiranya kerajaan Thailand bersetuju bermakna, rundingan damai ini dapat bergerak ke hadapan dan pastinya ia akan memberi kesan positif kepada usaha untuk mewujudkan kawasan aman di selatan Thailand,” katanya.
Syarat telah diterima
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pusat Penyelaras Operasi Ke-5 Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand Mej. Jen. Nakrob Boonbuathong yang juga merupakan sekretariat rundingan damai, ketika dihubungi BeritaBenar di Bangkok berkata, “syarat-syarat telah diterima dan ianya akan dipertimbangkan”.
Seorang lagi pegawai tentera Thailand yang bertugas di selatan negara itu memberi reaksi berwaspada nengenai penampilan pertama MARA Patani kepada umum.
"Pendedahan MARA Patani kepada umum adalah sesuatu yang baik tetapi ia perlu dilakukan dengan ikhlas dan bukannya seperti permainan kucing dan tikus," kata Kol. Isra Chantaprayom dari Pasukan Petugas Separa Tentera Ke-41 kepada BenarNews dari pangkalannya.
"Pemimpin MARA Patani perlu memberitahu kepada para pejuang mereka tentang perkara ini dan nilailah sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan apa yang dilakukan oleh MARA Patani," katanya.
"Syarat-syarat yang dituntut MARA Patani akan dijawab tidak lama lagi. Cukuplah dengan apa yang para penduduk di sini lalui selama ini."
Gerakan pemisah di selatan Thai yang wujud sejak 1959 aktif di wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Songkla dengan matlamat untuk mendapat kemerdekaan dari Bangkok.
Gerakan ini mula melancarkan pemberontakan bersenjata sejak 1970an yang menjadi semakin agresif pada awal tahun 2004 sehingga kini.
Konflik berdarah selama sedekad ini telah menyebabkan lebih 6,000 nyawa terkorban dan lebih 10,000 yang lain tercedera, kebanyakannya melibatkan orang awam.
Dalam usaha mencari kedamaian antara kedua-dua pihak, kerajaan Thailand telah memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.
Bagaimanapun, proses rundingan terhenti pada Disember 2013 apabila kerajaan Thai pada masa itu menolak lima tuntutan yang dibuat oleh Ketua Perunding Hassan Toyib yang antara lain menuntut kedaulatan bagi kesemua wilayah di selatan negara itu selain memperakui kewujudan “Patani Negara Melayu”.
Faktor lain yang menyumbang kepada terhentinya proses rundingan itu ialah kegawatan politik di Thailand sehingga membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera pada Mei 2014.
Pada Disember tahun lalu, kerajaan junta tentera Thailand menyatakan hasrat untuk menyambung semula proses rundingan damai kepada Perdana Menteri Malaysia
Najib Razak semasa kunjungan rasmi Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-ocha ke Putrajaya.
Sejak itu, Malaysia telah menjadi tuan rumah secara tertutup kepada beberapa dialog yang telah diadakan sebelum ini, iaitu pada April dan Jun lalu.
Awang juga menjelaskan, rundingan itu merupakan kali pertama, sebuah pertubuhan yang terdiri daripada enam kumpulan pejuang selatan Thailand bersatu di bawah satu payung dan ia membukti satu perkembangan yang baik.
"Sebelum ini, banyak rundingan yang dijalankan tetapi hanya melibatkan satu atau dua kumpulan sahaja….. Rundingan di Langkawi, di Bogor, Indonesia dan rundingan di Geneva cuma melibatkan satu atau dua kumpulan sahaja dan ianya bukan rundingan rasmi,” katanya.
Awang menambah, MARA Patani mendapat sokongan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada kumpulan pejuang di selatan Thailand di mana setiap keanggotaan bagi satu kumpulan melebihi 9,000 pejuang dan jika dicampur dengan ahli keluarga pastinya jumlah yang menyokong usaha ini lebih besar.
Jelasnya, sidang media hari ini yang memperkenalkan para anggota perunding damai dan pemimpin tertinggi MARA Patani membuktikan kesungguhan pertubuhan itu untuk meneruskan kelangsungan perjuangan warga Islam Melayu Patani ketika menghadapi kerajaan Thailand dalam proses Dialog Damai Patani (JWG-PDP) berdasarkan konsensus am bertarikh 28 Februari 2013.
Menjawab soalan mengapa ramai guru yang terkorban, Awang memberitahu, kumpulan itu tidak menyasar mana-mana individu atau jawatan.
Tegasnya, kumpulan pejuang bukan pembunuh seperti yang disangkakan dan mengapa ramai guru yang terkorban di selatan Thailand itu sesuatu yang tidak dapat dipastikan.
Nasueroh dan Rapee Mama menyumbang kepada laporan ini.