Malaysia Tahan Dua Ahli Politik Punya Kaitan Dengan Militan LTTE

Para pegawai Parti Tindakan Demokratik berkata kumpulan yang berpangkalan di Sri Lanka itu sudah tidak berfungsi selama bertahun-tahun.
Noah Lee
2019.10.10
Kuala Lumpur, Malaysia
191010-MY-arrest1000.jpg Ketua Pengarah Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay semasa bercakap kepada pemberita pada sidang media mengumumkan mengenai penahanan tujuh individu dipercayai mempunyai kaitan dengan LTTE di Kuala Lumpur, 10 Okt, 2019.
(S.Mahfuz/BeritaBenar)

Polis Malaysia pada Khamis mengumumkan penahanan tujuh individu termasuk dua wakil rakyat gabungan parti pemerintah dari Melaka dan Negeri Sembilan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak berpusat di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tidak berfungsi lagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media tidak menamakan kesemua suspek tetapi berkata, kedua wakil rakyat yang ditahan itu berperanan mempromosikan ideologi LTTE di Malaysia.

"Dua anggota Dewan Undangan Negeri dari Melaka dan Negeri Sembilan telah menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE serta mengedar barangan yang berkaitan dengan kumpulan itu dalam satu acara untuk mengingati para pejuang LTTE yang telah mati di Melaka pada November tahun lalu," kata Ayob.

Malaysia telah menyenaraikan Kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 2014.

Seorang pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenal pasti kedua-dua ahli politik itu dengan menyatakan sepanjang penglibatan mereka dalam parti itu tiada sebarang tanda yang menunjukkan mereka terbabit dalam kegiatan bertentangan pendirian parti yang mempromosikan kesederhanaan, menolak keganasan dan mencari penyelesaian secara aman.

DAP adalah parti gabungan Pakatan Harapan yang mengambil alih kuasa di Malaysia berikutan kejatuhan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018.

"Penangkapan itu mengejutkan dan saya telah menyatakan kepada pihak berkuasa bahawa parti itu berdiri teguh di belakang dua penggubal undang-undang negeri, ahli exco Melaka yang juga  Anggota dewan undangan negeri [Adun] Gadek, G. Saminathan dan Adun Seremban Jaya P. Gunasekaran," kata Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan.

"Saya hanya diberi taklimat bahawa kedua-duanya tertakluk kepada penyiasatan di bawah SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)] yang membenarkan penahanan selama 28 hari. Polis berjanji akan menjalankan siasatan segera untuk membolehkan penyerahan kertas siasatan mereka ke Jabatan Peguam Negara dan membenarkan kedua-dua pemimpin DAP kami dibebaskan awal," kata Lim.

Seorang lagi ahli politik DAP mempersoalkan penangkapan itu dan menegaskan bahawa LTTE sudah tidak wujud sejak beberapa tahun lepas. Charles Santiago, seorang anggota parlimen dari Klang, memberitahu pemberita bahawa organisasi itu dibubarkan selepas pemimpinnya terbunuh.

Suspek lain


Selain dua ahli politik, polis pada Khamis juga menahan seorang ejen insurans yang didakwa merancang untuk menyerang bangunan Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur, demikian menurut Ayob sambil menambah siri operasi itu turut dibuat di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Penyiasatan yang panjang terhadap suspek telah dijalankan sejak November lepas, dan kami telah mengumpul bukti konkrit untuk menangkap mereka," kata Ayob pada sidang media yang diadakan di Ibupejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Beliau berkata ejen insurans dengan suspek lain yang masih bebas telah membuat perancangan untuk menyerang suruhanjaya tinggi berkenaan dan polis menjangkakan beberapa tangkapan lagi akan dibuat.

Empat suspek lain dalam tahanan memiliki bahan bacaan dan barangan lain yang berkaitan dengan LTTE dan dua lagi didakwa cuba menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia pada 2016.

"Mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengganas, kami akan membawa mereka ke muka pengadilan, tidak kira siapa mereka, dari parti mana, kepercayaan agama, latar belakang bangsa, atau di mana mereka berada," katanya.

LTTE ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, dengan misi mengeluarkan Eeelam dari kawasan utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan majoriti penduduknya.

Semasa di kemuncak kuasanya, LTTE mempunyai sebuah militia yang serba lengkap dan melakukan banyak serangan berprofil tinggi termasuk pembunuhan ahli-ahli politik.

Dua orang berprofil tinggi yang dibunuh oleh Tigers dalam pengeboman bunuh diri ialah Perdana Menteri India Rajiv Gandhi pada 1991 dan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada  1993. Kumpulan itu juga terkenal kerana melakukan serangan pengganas di ibu negara Sri Lanka, Colombo, dan bandar-bandar lain di mana penganut Buddha Sinhalese membentuk etnik majoriti.

Selain daripada Sri Lanka, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada – yang mempunyai ramai komuniti Tamil Sri Lanka - adalah antara negara yang mengharamkan LTTE kerana dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Penganalisis Terrorism Mohd Mizan Aslam, seorang penyelidik di Universiti Malaysia Perlis, berkata ancaman itu tidak boleh dianggap ringan, walaupun kematian Prabhakaran telah terbunuh dalam pertempuran, 10 tahun lalu.

Malaysia adalah antara negara-negara dalam rangkaian antarabangsa LTTE  dan ideologinya "tersebar dengan cepat," kata Mohd Mizan kepada BeritaBenar.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.