Malaysia: Ekstremis IS Berkempen Paksa Pejuang Terus Berada di Syria

Nisha David & Nani Yusof
2020.01.30
Kuala Lumpur & Washington
200130-MY-SY-IS1000.jpg Seorang kanak-kanak yang tidak dikenali berjalan di sebuah pasar di dalam Kem Al-Hol yang dikendalikan oleh puak Kurdi di timur laut Syria di mana kebanyakkan pejuang militan Negara Islam (IS) termasuk 27 rakyat Malaysia tinggal di kem tersebut, 25 Januari, 2020.
(AFP)

Kumpulan militan yang dikaitkan dengan ekstremis Negara Islam (IS) telah melancarkan kempen ideologi dengan memujuk berpuluh-puluh rakyat Malaysia yang tinggal di beberapa kem di Syria untuk terus tinggal dan berjuang dalam usaha untuk menubuhkan semula khalifah di Timur Tengah itu, demikian kata Ketua Anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia pada Khamis.

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Syria, termasuk wanita dan kanak-kanak, menjadi rumit disebabkan kempen maklumat IS yang cuba untuk mendapatkan semula kuasa yang hilang, selepas pasukan Demokrasi Syria yang diketuai puak Kurdi mengusir kumpulan militan tersebut keluar dari Baguz pada Mac 2019. Baguz adalah kubu kuat IS terakhir di Syria dan Iraq.

"IS berusaha sedaya upaya untuk ‘brainwash’, mengawal dan memujuk rakyat Malaysia dan juga yang lain bahawa IS akan kembali berkuasa, membuatkan sebahagian daripada mereka enggan pulang ke tanahair masing-masing," kata Ayob kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

"Mereka ini telah melalui proses doktrinasi yang kuat sehingga yakin perbuatan yang mereka lakukan adalah betul berlandaskan hadis.Maklumat risikan juga mendapati ada usaha untuk memantapkan ideologi pengganas IS dalam kalangan rakyat asing termasuk Malaysia di Syria," katanya polis telah menerima maklumat risikannya serta laporan daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Syria.

Polis Malaysia bekerjasama dengan pihak ketiga yang tidak dinamakan di rantau itu untuk mengenalpasti warganya di Syria dan telah memulakan proses penghantaran pulang, yang keputusannya hanya akan diputuskan oleh kerajaan, kata Ayob.

Polis telah mengenal pasti seramai 56 rakyat Malaysia - 19 lelaki, 12 wanita, 17 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan - yang tinggal di kem-kem di Syria atau masih dalam pelarian, menurut Ketua Anti-Keganasan Malaysia itu pada Khamis.

"IS sedang cuba mengukuhkan ideologi mereka di kem-kem di mana wanita dan kanak-kanak ditahan di Syria. Kami mendapat maklumat bahawa IS mempengaruhi mereka untuk tidak kembali ke negara asal mereka," kata Ayob pada satu sidang media di Kuantan, Pahang, kira-kira tiga jam perjalanan daripada ibunegara Kuala Lumpur.

Sebelum ini, 11 wanita dan kanak-kanak memberitahu pegawai yang mereka mahu kembali, tetapi angka berkenaan telah jatuh ke sembilan, katanya sambil menambah yang Polis telah mengenal pasti 10 wanita, 12 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan yang tinggal di kem pelarian Al-Hol di timur laut Syria.

"Sembilan lelaki Malaysia berada di penjara al-Hasakah sementara seorang di Idlib. Setakat ini, kami tidak dapat menghubungi mereka," kata Ayob kepada BeritaBenar, apabila ditanya sama ada kesemua sepuluh mereka mahu pulang ke Tanahair.

Sekiranya mereka [lelaki] memilih untuk kembali, mereka akan ditahan dan disiasat kemungkinan atas dakwaan jenayah, kata Ayob, sambil menambah bahawa wanita dan kanak-kanak perlu menjalani penilaian khusus oleh pakar psikologi dalam mengenai pasti tahap ideologi mereka.

"Kita akan menyiasat mengapa mereka ke Syria, adakah dipaksa atau ditipu. Jika ada cukup bukti, wanita dewasa juga boleh dituduh di mahkamah,” tambah pegawai polis itu.

Dua lelaki diusir, didakwa


Pada Disember lalu, dua lelaki telah dituduh ke Syria untuk melakukan perbuatan keganasan dan telah didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Malaysia atau SOSMA, iaitu undang-undang yang diperkenalkan pada 2012 oleh Malaysia yang mempunyai majoriti penduduknya yang beragama Islam, bagi memerangi kegiatan militan dan ancaman keselamatan.

Kedua-dua lelaki tersebut boleh berdepan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

Mohamad Azmer Ramlan, 40, dan Ahmad Naim Zaid, 34, dihantar pulang dua tahun selepas mereka ditangkap dan ditahan oleh angkatan bersenjata yang disokong Amerika Syarikat ketika bertempur dengan pasukan IS di Timur Tengah, pada masa itu.

Kedua-dua mereka adalah rakyat Malaysia pertama yang dihantar pulang dari Syria selepas tentera Turki melintasi sempadan melancarkan serangan terhadap pejuang Kurdi yang disokong AS pada Oktober 2019.

Menurut sumber keselamatan Malaysia, Mohamad Azmer merupakan lulusan ijazah sarjana dalam jurusan kejuruteraan dari University of Oxford manakala Ahmad Naim adalah bekas penuntut ijazah doktor falsafah di Universiti Malaya.

Sementara itu, Ayob berkata kira-kira 120 rakyat Malaysia telah dilaporkan pergi ke Syria sejak 2014 untuk terlibat dalam aktiviti keganasan, sambil menambah yang buat masa ini tiada usaha terbaharu dari rakyat tempatan yang cuba ke negara yang sedang bergolak itu.

Lebih 55,000 suspek militan dan anggota keluarga mereka ditahan dan dibawa ke pusat tahanan sejak IS tewas di wilayahnya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kira-kira 11,000 anggota keluarga para pejuang dari hampir 50 negara sedang ditahan di kem Al Hol di timur laut Syria dan berada "dalam keadaan yang sangat teruk," kata PBB.

Seramai 50 tahanan itu berjuang untuk IS adalah rakyat Malaysia, kata para pegawai pada Disember.

Pihak berkuasa Malaysia telah menahan 495 orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan keganasan sejak 2013, menurut statistik kerajaan yang dihimpunkan oleh BeritaBenar. Berpuluh orang daripada mereka sudah dibebaskan namun, tiada jumlah sebenar yang dapat diperolehi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.