Rakyat Malaysia ‘Masih Mahu Ke Syria' : Pegawai Anti-Keganasan
2016.12.30
Kuala Lumpur
Ancaman pengganas di Malaysia adalah "terkawal" tetapi tindakan merekrut penduduk tempatan oleh kumpulan-kumpulan ekstrem seperti Negara Islam (IS) masih berterusan, kata ketua cawangan khas bagi menangani keganasan polis Malaysia.
Dalam temu bual dengan BeritaBenar, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada 2016 pihak berkuasa Malaysia menangkap, mendakwa dan menuduh lebih ramai suspek kes berkaitan keganasan berbanding pada tahun sebelumnya, selain dapat menggagalkan enam rancangan keganasan IS.
Kumpulan itu yang berpangkalan di Timur Tengah, bagaimanapun, mendakwa bertanggungjawab bagi serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur enam bulan lalu yang mencederakan lapan orang – tindakan keganasan yang pertama dilakukan di bumi Malaysia.
Dengan tangkapan dan pendakwaan suspek militan meningkat dalam kalendar tahun ini, sebanyak 60 rakyat Malaysia termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak kini berada di Syria atau Iraq - di mana IS sedang berjuang untuk terus menguasai wilayah yang dikawalnya - berbanding dengan 95 orang sebelum ini, kata Ayob.
"Tindakan merekrut masih aktif. Rakyat Malaysia masih mencari jalan untuk pergi ke Syria, "kata Ayob dalam satu temu bual sempena akhir tahun 2106 di pejabatnya di Kuala Lumpur pada Jumaat.
"Mereka semakin bijak dan berani. Bagaimanapun, pasukan saya sentiasa berwaspada dan bersedia sepanjang masa, "katanya.
Namun, beliau enggan mendedahkan rancangan pihaknya bagi menangani ancaman pengganas pada 2017.
"Bagi ancaman, keadaannya adalah terkawal. Pemantauan dan pengawasan juga telah meningkat, "kata Ayob.
Rancangan gagal
Bilangan tangkapan mereka yang disyaki pengganas telah meningkat setiap tahun sejak 2013, menurut pegawai polis itu.
Polis membuat 119 tangkapan tahun ini berbanding 82 tahun lepas – yang menyaksikan peningkatan sebanyak 45 peratus. Lima puluh sembilan tangkapan dibuat pada 2014 dan empat tangkapan pada tahun sebelumnya, kata Ayob.
"Tahun ini menyaksikan peningkatan dalam tangkapan, dan dalam pada itu, terdapat juga peningkatan dalam bilangan pertuduhan dan pendakwaan," katanya, sambil menambah kata bahawa 122 suspek telah didakwa di mahkamah termasuk 62 orang yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Daripada 264 suspek yang ditahan sejak 2013, seramai 66 orang telah pun dibebaskan, menurut statistik yang dinyatakan Ayob.
Antara rakyat radikal Malaysia yang dapat tiba ke Syria atau Iraq, seramai 27 telah terbunuh di rantau itu sejak 2013 termasuk sembilan orang yang membunuh diri dalam pengeboman bunuh diri, katanya.
Enam puluh rakyat Malaysia dipercayai masih berada di kawasan yang dilanda perang itu.
Sambil menyatakan bahawa cawangannya telah menampilkan prestasi yang "baik," Ayob mengakui bahawa mereka "masih boleh melakukan dengan lebih baik lagi."
"Kami berjaya menumpaskan 6 cubaan untuk mencetuskan huru-hara di negara ini pada tahun ini dan merampas senjata dan IED daripada suspek yang kebanyakannya terdiri daripada pelaku sendirian yang menunggu arahan untuk melancarkan serangan ke atas individu dan bangunan," kata Ayob, dengan menyatakan bahawa lima rancangan pengganas dapat digagalkan pada 2015.
'Tetap ada'
Penganalisis keselamatan Ahmad El-Muhammady memuji cawangan khas bagi menangani pengganas PDRM kerana mencatatkan rekod kejayaan "mengagumkan" dalam memerangi masalah itu sejak bertahun-tahun lamanya namun, beliau memberi amaran bahawa ancaman keganasan tidak terhenti dalam tahun baru 2017.
"Ancaman keganasan di Malaysia tetap ada. Ia tidak akan hilang, "kata Ahmad, yang membantu pihak berkuasa Malaysia dalam program deradikalisasi, kepada BeritaBenar.
Beliau berkata, ancaman ‘pelaku sendirian’ adalah yang paling sukar untuk dihentikan, dan memberitahu bahawa ahli-ahli IS Malaysia masih berkomunikasi dengan rakan-rakan di negara asal mereka.
Polis menuduh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, yang berlepas ke Syria pada Januari 2015, merekrut mereka yang melemparkan bom tangan di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Jun lalu. Pihak berkuasa juga menyalahkan lelaki itu kerana didakwa mendalangi rancangan pengganas untuk menggagalkan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada Ogos.
"Kemungkinan adanya elemen tempatan yang beroperasi secara bebas - ini adalah sasaran yang paling sukar ...," kata Ahmad.
Asrul Hadi Abdullah Sani, seorang penganalisis dengan Bower Group Asia, sebuah syarikat perunding risiko, pula berkata, pihak berkuasa Malaysia telah melakukan "tugas yang amat hebat" dalam memerangi keganasan.
"Tetapi dengan keganasan, kita tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata sebaliknya memerlukan kesedaran awam yang lebih besar, yang pada pendapat saya, ia masih amat kurang," katanya kepada BeritaBenar.
"Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, masih menganggap negara ini selamat daripada serangan kerana kita adalah sebuah negara Islam tetapi keganasan tidak mengenal bangas dan agama," tegasnya.