Follow us

Malaysia: Pengganas Harus Diusir Ke Negara Asal

Hata Wahari, Fadzil Aziz & Hadi Azmi
Putrajaya
2018-01-05
E-mel
Komen
Share
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mahamad Naser Disa, pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018, 5 Jan. 2018.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mahamad Naser Disa, pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018, 5 Jan. 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Suspek pengganas asing harus diusir ke negara asal mereka dan bukannya dihantar kembali ke negara yang mereka tinggalkan, kata ketua bahagian anti-pengganas polis Malaysia pada Jumaat di luar satu persidangan antarabangsa di sini, Jumaat.

Mengikut undang-undang antarabangsa semasa, seseorang boleh dihantar pulang ke lokasi penerbangan terakhir, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua bahagian anti keganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia. Beberapa negara membenarkan suspek untuk memilih tempat yang mahu dituju mereka  dan ramai yang memilih Malaysia kerana peraturan visanya yang mudah.

"Dari 2014 hingga 2017, hampir 50 suspek pengganas asing telah memasuki Malaysia. Kami telah menangkap dan mengusir kira-kira 30 orang daripada mereka," kata Ayob kepada pemberita di luar Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya 2018 yang diadakan di pusat pentadbiran Malaysia. Kira-kira 1,000 wakil dan pakar dari 20 negara menghadiri dialog itu.

"Kami sedang mengesan yang lain dan ada yang mungkin telah meninggalkan negara ini," katanya.

Ayob tidak menyatakan kewarganegaraan suspek berkenaan.

"Sekiranya negara yang mengusir mereka-yang saya tidak boleh namakan-memberitahu kami mengenainya, polis pasti dapat mengesan mereka," kata Ayob sambil memberitahu bahawa maklumat itu dapat membantu pegawai-pegawai anti keganasan menangkap dan mengusir militan.

Persidangan antarabangsa dua hari itu, yang berlangsung sehingga Sabtu, memberi tumpuan kepada bagaimana negara-negara dapat berkongsi pengalaman mereka "dalam menangani keganasan secara bijak dan sederhana."

Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Rabitah Al-Alam Al-Islami (Liga Dunia Islam), sebuah badan pemikir yang berpejabat di Arab Saudi, menganjurkan bersama persidangan itu. Antara negara yang turut mengambil bahagian ialah Indonesia, Singapura, India, Pakistan, Turki, Australia, Perancis dan Britain.

Borneo jadi tumpuan

Sebahagian daripada program persidangan itu pada Jumaat memberi tumpuan kepada negeri Sabah di Malaysia yang terletak di pulau Borneo. Suspek militan  termasuk ramai yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), telah ditangkap di bandar pantai di Sandakan, yang menyediakan perkhidmatan feri ke selatan Filipina.

Sejak sekian lamanya, Sabah dijadikan laluan transit untuk militan asing termasuk mereka yang datangnya dari negara jiran, Indonesia, kata Ayob.

"Sekiranya mereka tidak transit dari Sabah, mereka boleh pergi terus ke selatan Filipina dari negara asal mereka. Tetapi, ia mengambil masa perjalanan yang lama untuk melalui Laut Sulawesi," jelas beliau. "Jadi, adalah lebih mudah untuk transit dari Sabah."

Yusoph Roque Morales, ahli Suruhanjaya Kebangsaan Filipina mengenai Muslim Filipina berkata, ramai militan asing terutamanya dari Indonesia dan Malaysia, telah menjadikan selatan Filipina sebagai pangkalan mereka.

"Biasanya mereka mendapat sokongan daripada penduduk tempatan. Mereka memberi orang asing tempat tinggal, [dan] makanan, dan masyarakat tempatan menerima mereka," kata Morales pada persidangan itu. "Rakyat Malaysia dan Indonesia mempunyai persamaan dari segi budaya, makanan dan komuniti - dan kebanyakan mereka mempunyai hubungan sosial yang sama seperti seorang sultan [ketua masyarakat] - oleh itu masyarakat Islam di selatan Filipina menerima rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia dengan hati terbuka."

Memandangkan kunjungan mereka disambut baik, ada militan yang kekal tinggal di situ dan ada yang menyertai IS atau ASG, katanya. Yusoph tidak memberi bilangan mereka tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia dan Indonesia telah menetap di selatan Filipina.

Sementara itu, seorang menteri Malaysia menggesa negara-negara lain supaya mencontohi pendekatan "lembut" Malaysia dalam menangani ekstremisme.

"Ia harus ditangani secara seimbang dari pelbagai sudut termasuk pendidikan dan ekonomi. Dalam hal ini, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang terkemuka dalam menangani masalah seperti itu berbanding dengan negara lain, yang penduduknya menghadapi masalah seperti kebuluran dan disekat daripada mendapat pendidikan, yang kemudiannya membawa mereka kepada ekstremisme, "kata Asyraf Wajdi Dusuki, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam.

Pengganas di Malaysia

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 369 orang kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, menurut statistik kerajaan yang dikumpul oleh BeritaBenar.

Pada Oktober lalu, Ayob memberitahu wartawan bahawa seramai 70 pejuang asing telah ditahan oleh pegawai Malaysia sejak 2013. Sembilan daripada mereka disyaki ahli ASG yang difahamkan mempunyai hubungan dengan Mahmud Ahmad, seorang militan Malaysia yang dianggap sebagai perekrut IS di Asia Tenggara.

Di Filipina, Presiden Rodrigo Duterte telah mengisytiharkan bahawa Mahmud adalah antara militan yang terbunuh di bandar selatan Marawi semasa pertempuran lima bulan yang menyebabkan lebih daripada 1,100 orang terkorban termasuk lebih 900 militan.

Ayob berkata, para pegawai bahagian anti keganasan sedang memantau usaha di Filipina untuk merekrut militan. "Langkah merekrut pejuang asing ke selatan Filipina masih belum selesai," katanya pada Jumaat.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pegeboman berkaitan IS sejak 2013, menurut pegawai. Antara rancangan yang digagalkan adalah sasaran mengebom Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos 2017, kata polis.

Tetapi militan berjaya melakukannya pada Jun 2016, apabila serangan bom tangan yang mempunyai kaitan dengan IS telah mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur.


Lihat Laman Penuh