Malaysia: Etnik Rohingya Diperas Ugut Sindiket Biayai Dana Pemberontak Myanmar

Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2019.07.22
Kuala Lumpur, Malaysia
190722-MY-Ayub1000.jpg Ketua Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay berdiri di luar pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, 29 Mei, 2019.
[Nani Yusof/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 11 pagi waktu tempatan - 2019-07-23

Satu sindiket memeras ugut etnik Rohingya di Malaysia telah menyalurkan dana bernilai ribuan ringgit bagi membiayai militan Arakan Rohingya Salvation Army di Myanmar, kata pegawai kanan polis Malaysia pada Isnin.

Pihak berkuasa percaya kira-kira RM80,000 (AS$19,450) telah disalurkan kepada ARSA pada 2019 melalui sistem pemindahan wang dikenali sebagai "hawala", kata Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai cawangan anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia kepada BeritaBenar.

"Kira-kira RM80,000 dikesan disalurkan pada tahun ini sahaja. Kami percaya jumlah itu lebih besar lagi," katanya sambil memberitahu bahawa pihak polis mendapati sindiket itu cekap dalam menutupi jejak mereka.

Ayob berkata wang itu dikutip daripada etnik Rohingya yang tinggal di Malaysia.

"Mereka terpaksa menyerahkan wang kerana takut. Ada juga yang yakin dengan perjuangan ARSA, ada yang tidak mempercayainya tetapi terpaksa memberikan wang kerana diancam," kata Ayob.

Seorang etnik Rohingya berusia 24 tahun, yang enggan namanya disiarkan kerana ketakutan, dan rakannya di Kuala Lumpur memberitahu BeritaBenar bahawa mereka sebenarnya mengetahui mengenai peras ugut yang berlaku di dalam komuniti itu.

"Kami juga berada dalam situasi yang sama," katanya. "Sukar untuk mencari wang di sini tetapi semuanya hilang begitu sahaja, kerana terpaksa membayar mereka," kata etnik Rohingya itu sambil memberitahu bahawa pemeras ugut mendakwa mengetahui di mana keluarganya berada di Bangladesh dan mengancam untuk menyerang mereka jika beliau tidak membuat bayaran.

"Pemeras ugut meminta sejumlah tertentu, tetapi mereka mengambil apa sahaja yang mereka dapat. Kami tidak tahu sama ada ancaman mereka itu benar atau tidak, tetapi kami dalam ketakutan," kata etnik Rohingya itu.

Digambarkan sebagai "pemindahan wang tanpa pergerakan wang" oleh Jabatan Perbendaharaan dan Polis Antarabangsa Amerika Syarikat, sistem Hawala itu menggunakan rangkaian agak rumit merangkumi ejen diyakini  dan kata laluan rahsia untuk memindahkan wang melalui proksi. Sistem perbankan kuno yang berasal dari Timur Tengah dan Asia Selatan itu sukar dikesan kerana ia bergantung kepada ikatan perhubungan yang dipercayai seperti pertalian kekeluargaan.

Ditubuhkan pada 2012 sebagai Harakah al-Yaqin untuk berjuang bagi "pembebasan Rohingya yang dianiaya," ARSA diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh pihak berkuasa Myanmar pada 25 Ogos 2017.

Dalam akaun Twitter rasminya, ARSA mendakwa ia "beroperasi secara sah dan bermatlamat sebagai pergerakan etno-nasionalis di tanah nenek moyang Arakan di Burma" dan memberi jaminan bahawa kegiatannya tidak melangkaui sempadan negara.

Pihak berkuasa di Myanmar menyalahkan pemberontak ARSA kerana melancarkan serangan maut terhadap pos-pos polis dan tentera di negeri Rakhine yang menyebabkan pihak berkuasa itu melaksanakan tindakan keras terhadap minoriti Muslim Rohingya di negara berkenaan pada Ogos 2017 hingga memaksa ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan negara-negara lain.

Kira-kira 95,000 etnik Rohingya menetap di Malaysia sehingga akhir Jun lalu, demikian menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Zafar Ahmad dari Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia berkata beliau menyambut baik usaha pihak berkuasa Malaysia untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mengingatkan mereka supaya tidak mengaitkan komuniti Rohingya dengan kumpulan militan seperti ARSA dan Negara Islam.

"Kerajaan Myanmar telah menjadikan keganasan sebagai asas untuk menghapuskan etnik Rohingya di Arakan, dan bagi sebuah negara Islam seperti Malaysia untuk mengaitkan Rohingya secara langsung dengan kumpulan pengganas adalah seperti memberikan peluru kepada Myanmar untuk mewajarkan tindakan mereka," kata Zafar kepada BeritaBenar.

Menurutnya, beliau tidak tahu tentang etnik Rohingya di Malaysia yang menjadi mangsa sindiket itu tetapi ada mendengar perkara tersebut di media sosial dan berita.

"Saya berjumpa dengan polis cawangan khas sebanyak tiga atau empat kali mengenai hal ini dan saya telah menyatakan perkara yang sama kepada mereka - apa yang mereka dengar adalah apa yang saya dengar juga, semuanya melalui orang lain," katanya.

Mungkin ada etnik Rohingya yang terpedaya untuk menyokong perjuangan itu kerana mereka tidak faham tentangnya, katanya.

"Ramai di antara kami yang kurang pendidikan asas. Mungkin ada yang memberitahu mereka bahawa ini adalah untuk jihad yang menjamin ke syurga, tetapi ini tidak bermakna mereka adalah ARSA," kata Zafar.

Sindiket berkembang

Sindiket peras ugut itu dikatakan bermula di negeri utara Kedah iaitu di sepanjang sempadan Thailand dan berkembang ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Perak, kata Ayob.

Pada Jun lalu, polis anti-keganasan menahan dua lelaki Rohingya di Kedah yang dikatakan penyokong ARSA.

Seorang lelaki itu didakwa menghantar video dalam talian mengancam untuk membunuh Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

Ayob berkata seorang daripada lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket peras ugut tersebut.

Dia adalah seorang daripada empat Rohingya yang ditangkap tahun ini kerana didakwa terlibat dalam jenayah berkaitan keganasan.

Semasa mesyuarat profesional keselamatan anti-keganasan di Kuala Lumpur tahun lepas, Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu memberi amaran tentang isu keselamatan melibatkan etnik Rohingya yang boleh dimanipulasi untuk menjadi pengebom bunuh diri atau direkrut menyertai sel pengganas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.