Follow us

Rakyat Malaysia Terus Berusaha Sertai IS di Timur Tengah, Kata Pegawai Tertinggi Polis

Amy Chew
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-25
E-mel
Komen
Share
Seorang pejuang Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat sedang berkomunikasi menerusi radio di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran medan minyak Omar, tidak jauh dari sebuah perkampungan di mana kira-kira 300 militan Negara Islam sedang dikepung, 24 Februari, 2019.
Seorang pejuang Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat sedang berkomunikasi menerusi radio di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran medan minyak Omar, tidak jauh dari sebuah perkampungan di mana kira-kira 300 militan Negara Islam sedang dikepung, 24 Februari, 2019.
[AP]

Walaupun Negara Islam (IS) telah dikepung dan akhirnya kecundang di kubu terakhirnya di Syria, namun ramai rakyat Malaysia masih merancang perjalanan untuk menuju ke tempat yang dikatakan ‘khalifah’ itu kerana mahu berjuang bagi pihak kumpulan ekstremis tersebut, menurut pegawai anti pengganas tertinggi Malaysia.

Seramai 102 rakyat Malaysia telah memasuki Syria dan Iraq sejak 2013 dengan harapan untuk menyertai IS tetapi 40 daripada mereka telah terbunuh dalam pertempuran atau akibat lain termasuk sembilan orang yang terlibat dalam pengeboman bunuh diri manakala 11 orang lagi telah kembali ke tanah air, kata pegawai polis Malaysia itu.

"Ada yang masih terpengaruh dengan propaganda IS ... dan mereka merancang untuk pergi ke Syria. Bagaimanapun, disebabkan kesukaran untuk memasuki Syria, rancangan mereka terbantut,"kata Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengetuai bahagian anti pengganas di Cawangan Khas kepada BeritaBenar. Cawangan Khas adalah sayap perisikan Polis Diraja Malaysia.

Pada masa yang sama, seramai 51 rakyat Malaysia termasuk 17 kanak-kanak masih berada di Timur Tengah tetapi enam orang daripada mereka sedang cuba untuk kembali ke tanah air, katanya dalam satu temu bual menerusi aplikasi WhatsApp.

Kesemua 51 orang itu berada di sekitar Deir ez-Zor, bandar terbesar di timur Syria.

"Berikutan kekalahan demi kekalahan IS, kumpulan ini (rakyat Malaysia) telah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Pada ketika ini, maklumat yang kami terima adalah bahawa beberapa rakyat Malaysia kini berada di sekitar Deir ez-Zor," kata Ayob kepada BeritaBenar.

Kanak-kanak Malaysia yang berada di Syria adalah berumur antara 7 bulan hingga 10 tahun, katanya.

"Kami mempunyai maklumat yang mereka telah menjalani latihan para-tentera. Sudah semestinya pemikiran mereka berbeza dengan kanak-kanak lain kerana mereka dibesarkan di sebuah negara yang dilanda perang," kata Ayob, sambil memberitahu bahawa polis Malaysia mempunyai gambar terbaru beberapa kanak-kanak itu.

Sementara itu, Ayob menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia juga sedang meninjau peluang untuk menyertai militan pro-IS di Mindanao, pulau terbesar di selatan Filipina.

"Kemungkinan mereka (penyokong IS) berpindah ke negara-negara jiran seperti di Mindanao adalah sangat tinggi kerana mereka mahu menyertai kumpulan seperti Daesh umpamanya Kumpulan Maute dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG)," kata Ayob, yang merujuk IS kepada namanya dalam bahasa Arab.

Pada Mei 2017, militan pro-IS daripada Kumpulan Maute dan ASG telah menawan bandar Marawi di selatan Filipina yang mencetuskan pertempuran selama lima bulan dengan pasukan kerajaan sehingga menyebabkan kemusnahan bandar itu dalam usaha memaksa para ekstremis itu supaya menyerah diri.

190225-MY-Ayob-inside-620.jpg

Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua bahagian anti pengganas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, semasa berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Cawangan Khas di Kuala Lumpur, Disember 2017. [Amy Chew / BeritaBenar]

Apa berlaku kepada mereka yang pulang


Daripada 11 orang yang pulang ke Malaysia, seramai lapan orang telah didakwa, disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, kata Ayob.

Ketika Barat berdebat tentang apa yang perlu dilakukan terhadap pejuang asing yang terperangkap di Timur Tengah, Malaysia telah menerima kembali semua rakyatnya yang pulang ke tanah air.

Menurut Ayob, mereka yang pulang ke tanah air tidak dipenjarakan secara automatic sebaliknya masing-masing dinilai secara individu.

"Polis akan menilai penglibatan mereka (dengan IS) berdasarkan kes demi kes dan tindakan akan diambil dengan sewajarnya,"jelas Ayob.

"Jika mereka tidak ditangkap, mereka tetap perlu menjalani program deradikalisasi yang dijalankan pihak kami sebelum dibebaskan kembali ke dalam masyarakat. Selain itu, kami akan terus berhubung dengan mereka (yang telah pulang),"kata pegawai kanan polis itu.

Sel IS tetap menjadi ancaman serius


Dengan keadaan fizikal khalifah IS kini dianggap berkubur, namun laporan media di luar Syria menyatakan bahawa ideologi kumpulan itu masih merupakan suatu ancaman dan berbahaya di Malaysia, kata ketua polis anti pengganas itu.

Ancaman terbesar bagi Malaysia berpunca daripada sebuah sel kecil IS ... yang memerlukan kami untuk terus memantau," kata Ayob kepada BeritaBenar.

Dari 2013 hingga Februari 2019, polis Malaysia telah menggagalkan 24 rancangan pengganas dan menahan 457 suspek militan termasuk 131 orang dari 21 negara, katanya.

Daripada mereka yang ditangkap, seramai 200 orang telah  didakwa di mahkamah dengan 175 daripada mereka telah disabitkan kesalahan dan dipenjara. Seramai 123 orang lagi telah dibebaskan.

Bagaimanapun, serangan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur pada Julai 2016 telah didakwa IS sebagai tindakan pengganas pertamanya di bumi Malaysia.

Antara warga asing yang ditahan sejak 2013, sejumlah 47 orang daripada mereka adalah rakyat Filipina, kata Ayob.

"Konflik di Mindanao akan memberi impak di negara kami. Sejak 2017, E8 telah menahan 37 anggota Kumpulan Abu Sayyaf di Sabah di mana mereka bersembunyi dari pasukan keselamatan Filipina yang memburu mereka," kata Ayob, merujuk kepada unit anti keganasan Cawangan Khas dan negeri timur Sabah yang terletak berhampiran selatan Filipina.

"Berdasarkan rupa bentuk geografi di mana Sabah boleh menghubungkan selatan Filipina dengan Indonesia, pejuang asing Filipina akan (terus) menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk berlindung dan bersembunyi," katanya.

"Ia tidak mengejutkan jika angka (pejuang asing Filipina) bertambah pada 2019."

Lihat Laman Penuh