Follow us

Kurang Tangkapan Berkaitan Keganasan di Malaysia Pada 2017

N. Nantha
Kuala Lumpur
2017-12-28
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
171228-MY-terrorism1000.jpg
Anggota-anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang Malaysia mengawal keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di daerah Sepang, Selangor, 24 Okt 2017.
[AFP]

Bilangan suspek keganasan yang ditahan di Malaysia pada 2017 adalah berkurangan daripada mereka yang ditangkap pada 2016, yang menyaksikan penurunan pertama dari tahun ke tahun sejak 2013, menurut statistik yang dikeluarkan oleh pegawai bahagian memerangi keganasan.

Namun, pihak berkuasa tetap meningkatkan pengawasan terhadap suspek militan dan mengumpul risikan untuk menggagalkan serangan di negara yang majoriti penduduknya adalah Islam itu, kata pegawai pada Khamis.

Polis menahan 105 orang yang disyaki militan pada tahun ini berbanding 119 orang pada tahun sebelumnya. Statistik juga menunjukkan penurunan dalam bilangan pendakwaan yang difailkan: 41 pada tahun ini berbanding dengan 70 pada 2016.

"Penurunan dalam pendakwaan tidak bermakna bahawa baki [suspek] dibebaskan," kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia kepada BeritaBenar.

Ayob berkata, beberapa suspek telah ditahan atas dakwaan melanggar Akta Pencegahan Keganasan (POTA) negara itu, yang membenarkan pihak polis menyekat pergerakan suspek dengan menggunakan alat pemantauan elektronik.

"Kami telah meningkatkan pengawasan dan sumber risikan kami," kata Ayob. "Kami tidaklah menyatakan yang kami lebih pintar, tetapi kami terus memantau ancaman."

Pada 2013, pegawai mendakwa tiga daripada empat suspek keganasan yang ditangkap sepanjang tahun itu, menurut angka kerajaan yang ditinjau oleh BeritaBenar. Pada tahun berikutnya, pihak berkuasa menangkap 59 orang dan memfailkan pendakwaan terhadap 21 orang.

Jumlah penangkapan suspek keganasan menyaksikan peningkatan selain bilangan pendakwaan terus bertambah pada 2015 apabila 82 suspek  ditangkap dan 30 daripadanya didakwa di mahkamah. Jumlahnya memuncak pada tahun lepas.

Pihak berkuasa menyifatkan penurunan mendadak dalam kes mahkamah terhadap suspek pengganas pada tahun ini adalah berikutan kekurangan bukti serta pengusiran militan asing.

"Itu tidak bermakna pasukan memerangi keganasan kurang produktif," kata Ayob.

Pada Oktober tahun ini, polis Malaysia mengeluarkan senarai 45 warga asing yang ditahan sejak Januari kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk apa yang digelar sebagai Negara Islam (IS).

Antara suspek berkenaan ialah rakyat Iraq, Turki, Albania, Yaman, Maldives, China, Bangladesh, Indonesia dan Filipina, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam kenyataan sebelum ini.

Seramai 45  suspek yang ditangkap pada 6 Okt termasuklah sembilan anggota Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Filipina (ASG), tiga anggota Fetullah dari Turki, seorang dari sel pengganas Albania yang dikaitkan dengan IS, dan seorang lagi anggota Jamaatul Mujahideen dari Bangladesh, kata Fuzi.

Dalam tempoh empat tahun yang lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 369 orang kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas, menurut statistik kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Antara yang ditangkap pada tahun ini ialah pelajar kolej wanita berusia 26 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 April selepas dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki.

Pada Oktober lalu , Ayob memberitahu pemberita bahawa seramai 70 pejuang asing telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak 2013. Sembilan daripada mereka disyaki sebagai ahli ASG yang difahamkan mempunyai hubungan dengan Mahmud Ahmad, seorang militan Malaysia dianggap sebagai perekrut IS di Asia Tenggara.

Pada bulan yang sama, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan bahawa Mahmud adalah antara militan yang terbunuh di Marawi. Pertempuran lima bulan di bandar raya selatan Filipina itu menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh termasuk lebih 900 ahli militan, kata para pegawai.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta orang penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sekurang-kurangnya sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013. Satu daripada rancangan itu menyasarkan Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada Ogos dan ia dapat digagalkan, kata polis.

Bagaimanapun, serangan bom tangan IS di sebuah kelab malam di Puchong, berhampiran Kuala Lumpur pada tahun lalu telah mencederakan lapan orang.

Pegawai berkata, sekurang-kurangnya tiga serangan yang dirancang telah dapat digagalkan pada tahun ini.

Hubungan dengan Borneo

Keganasan telah menonjolkan negeri Sabah di Borneo pada tahun ini dengan ramai suspek militan, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan ASG, ditangkap di bandar pinggir pantai Sandakan, yang menyediakan perkhidmatan feri ke selatan Filipina.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) memberitahu bahawa penangkapan itu dibuat hasil maklumat masyarakat setempat.

Awal bulan ini, pihak berkuasa menyatakan bahawa pasukan keselamatan telah membunuh Abu Paliyak di perairan pantai timur Sabah. Paliyak didakwa sebagai ahli kumpulan yang berkaitan ASG yang bertanggungjawab melakukan penculikan dan rompakan.

Dua minggu selepas pembunuhan Paliyak, pihak berkuasa menyatakan bahawa sepupu Isnilon Hapilon, yang merupakan "emir" cawangan Negara Islam Asia Tenggara dan pemimpin kumpulan pengganas Indonesia, Jamaah Ansharut Daulah (JAD), adalah antara 20 suspek militan yang ditangkap dalam serbuan di seluruh Malaysia pada Disember.

JAD melakukan serangan pengganas di pusat Jakarta pada Januari 2016, di mana lapan orang termasuk empat pelakunya, telah terbunuh, kata polis Indonesia. Serangan itu merupakan kejayaan pertama IS di Asia Tenggara, dakwa kumpulan militan itu.

Komander Esscom, Hazani Ghazali, berkata penglibatan polis dalam aktiviti masyarakat berjaya merapatkan hubungan dengan penduduk tempatan sehingga membawa kepada penangkapan suspek di Sabah.

"Melalui operasi ini, kami semakin dekat dan menjalin hubungan dengan masyarakat setempat dan di sinilah kami membina kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kami," kata Hazani semasa wawancara dengan TV Malaysia pada Rabu.

Kamal Affandi Hashim, seorang penganalisis jenayah di Malaysia, memuji polis Malaysia atas apa yang beliau anggap sebagai kejayaan cemerlang dalam menyekat serangan pengganas pada tahun ini, tetapi berkata pihak berkuasa perlulah meningkatkan usaha mereka dalam aspek perhubungan awam.

"Saya percaya bahawa usaha telah diambil oleh pihak polis untuk memastikan keselamatan awam diutamakan," katanya kepada BeritaBenar. "Tetapi, bagi 2018, saya harap ia menjadi lebih nyata supaya lebih banyak kepercayaan diberikan kepada mereka."

Hareez Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh