Abdul Azeez Mengaku Tidak Bersalah 12 Pertuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Hadi Azmi
2019.01.16
Kuala Lumpur, Malaysia
190116-MY-AzeezTH620.jpg Anggota Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) bersama peguamnya Hisyam Teh Poh Teik semasa tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, 16 Jan, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Anggota Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji [TH] Abdul Azeez Abdul Rahim pada Rabu mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah 144.6 juta ringgit (AS$35.2 juta) sebagai ganjaran dalam membantu syarikat tempatan mendapatkan tender kerajaan.

Abdul Azeez 52, anggota parlimen dari negeri Kedah,  mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pendakwaan pertama dan kedua dibacakan terhadapnya di hadapan dua orang hakim secara berasingan di dua buah bilik mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semasa berdepan dengan Hakim Azura Alwi, Abdul Azeez didakwa dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah 5.2 juta ringgit [AS$1.26 juta] dari Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, yang merupakan seorang pengarah di Menuju Asas Sdn Bhd untuk membantu syarikat infrastruktur jalan raya mendapatkan projek kerajaan melalui rundingan langsung dan tender terhad secara kumulatif bernilai 842 juta ringgit (AS $ 204.96 juta).

"Saya tidak bersalah dan meminta dibicarakan," kata Abdul Azeez dari kandang pesalah.

Selain Abdul Azeez, abangnya, Abdul Latif Abdul Rahim, 61, turut dikenakan dua pertuduhan kerana bersubahat.

Jika sabit kesalahan, kedua beradik itu akan menghadapi hukuman penjara maksima 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1).

Abdul Azeez kemudiannya ke mahkamah lain untuk berdepan dengan Hakim Rozina Ayob atas pendakwaan kedua di mana beliau turut mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pada prosiding mahkamah kedua, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan atas kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapannya, Abdul Azeez dituduh menerima hasil daripada aktiviti haram yang menyalahi undang-undang berjumlah 139 juta ringgit (AS$33.8 juta) daripada beberapa buah syarikat antara Mac 2010 dan Ogos 2018.

Jika sabit kesalahan, Abdul Azeez boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau 5 juta ringgit [AS$1.27 juta], yang mana lebih tinggi.

Hakim Rozina menawarkan jaminan RM800,000 (AS$194,728) bagi Azeez manakala 500,000 ringgit (AS$121,705) kepada abangnya, Abdul Latif dengan masing-masing seorang penjamin.

Pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram juga meminta mahkamah mengarahkan passport antarabangsa kedua-dua tertuduh di serahkan kepada mahkamah.

"Saya membenarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh pada jumlah yang disebutkan dengan masing-masing seorang penjamin dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah,” perintah Hakim Rozina.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah keputusan mahkamah itu.

Kedua-dua beradik itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Selasa selepas dipanggil untuk diambil keterangan dan bermalam di dalam lokap SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.

Azeez juga adalah pengerusi Kelab Putra 1Malaysia banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan di dalam dan luar negara dan pada 25 September lepas, Azeez dan abangnya itu telah ditahan oleh SPRM berhubung kes penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek dan ditahan reman selama 10 hari.

Kedua mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin 500,000 ringgit setiap seorang dengan dua penjamin selepas tempoh tamat reman.

Sebulan selepas itu, pada Oktober pula, agensi pencegahan rasuah itu menahan anak sulung Azeez selama sehari kerana dipercayai menjadi orang tengah di antara bapanya dan syarikat kontraktor berkenaan.

Sebelum ditahan reman pada Selasa, SPRM pernah menyerbu kediaman Azeez dan merampas wang tunai bernilai 500,000 ringgit (AS$122,140) selain mata wang lain - bernilai kira-kira 1.2 juta ringgit (AS$293,136).

Azeez pernah memberitahu pemberita bahawa wang yang ditemui di rumahnya adalah milik UMNO, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, sebuah parti terbesar orang Melayu di Malaysia dan ianya adalah untuk membayar zakat sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini juga, satu laporan polis telah dibuat terhadap Azeez oleh Lembaga Tabung Haji dan laporan tersebut menyatakan bahawa Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada 22.0 juta ringgit (A.S$5.37juta) telah dikeluarkan untuk aktiviti berunsur politik.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.