Follow us

Bekas Pengerusi Tabung Haji Serta Abang Kandungnya Ditahan SPRM Sekali Lagi

Ali Nufael & Noah Lee
2019-01-15
E-mel
Komen
Share
Jemaah Haji sedang mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, semasa mengerjakan ibadah haji di Mekah, Arab Saudi, 16 Ogos 2018.
Jemaah Haji sedang mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, semasa mengerjakan ibadah haji di Mekah, Arab Saudi, 16 Ogos 2018.
AP

Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya yang pernah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi ditahan badan itu berhubung siasatan kes salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya pada Selasa mengesahkan mengenai penahanan berkenaan selepas mendapat izin dari Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa kedua-duanya.

“SPRM hari ini [Selasa] telah menahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersama abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

"Kedua-duanya ditahan pada jam 4.30 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya." demikian menurut kenyataan SPRM itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 16 Januari, jam 9.00 pagi mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SRPM, Shukri Abdull ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut, tetapi tidak mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan siasatan berkenaan semasa dihubungi BeritaBenar berkata bahawa Azeez dipanggil untuk dirakam percakapan sebelum ditahan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

"Kita percaya bahawa beliau turut menerima imbuhan wang yang besar daripada kontraktor-kontraktor yang inginkan pelbagai projek daripada pentadbiran kerajaan dahulu," kata sumber tersebut.

Dipercayai nilai rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah 140 juta ringgit (AS$34.2 juta).

Selain menjadi Ahli Parlimen, Azeez juga adalah pengerusi Kelab Putra 1Malaysia yang banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan di dalam dan luar negara.

Pada 25 September tahun lalu, Azeez dan Latif telah ditahan oleh SPRM berhubung kes penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek dan telah ditahan reman selama 10 hari berkaitan kes tersebut.

Kedua mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin 500,000 ringgit setiap seorang dengan dua penjamin selepas tempoh tamat reman.

Sebulan selepas itu, pada Oktober lepas, agensi pencegahan rasuah itu menahan pula anak sulung Azeez selama sehari kerana dipercayai menjadi orang tengah di antara bapanya dan syarikat kontraktor berkenaan.

Sebelum ditahan reman, SPRM juga pernah menyerbu kediaman Azeez dan merampas wang tunai bernilai 500,000 ringgit (AS$122,140) selain mata wang lain - bernilai kira-kira 1.2 juta ringgit (AS$293,136).

Azeez pernah memberitahu pemberita bahawa wang yang ditemui di rumahnya adalah milik UMNO, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, sebuah parti terbesar orang Melayu di Malaysia dan ianya adalah untuk membayar zakat sempena Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum ini juga, satu laporan polis telah dibuat terhadap Azeez oleh Lembaga Tabung Haji dan laporan tersebut menyatakan bahawa Program Yayasan Tabung Haji (YTH)  2017, di mana dana berjumlah lebih daripada 22.0 juta ringgit(A.S$5.37juta)  telah dikeluarkan untuk aktiviti berunsur politik.

Selain Azeez, nama lain yang turut disebut dalam laporan polis itu termasuk nama mantan Ketua Pegawai Eksekutif Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Beberapa nama pengurusan kanan juga disebut dan antara mereka adalah Pengurusan kanan ialah Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi) dan Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Menurut laman web Tabung Haji, Yayasan Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan dan sumbangan untuk golongan kurang berkemampuan dan miskin serta mereka yang memerlukan.

TH menyumbang sebanyak 7 juta ringgit (AS$1.71juta) kepada program tersebut.

Selepas laporan polis itu dibuat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarah menyiasat perkara itu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, memberitahu pemberita pada Disember tahun lepas bahawa beliau telah mengarahkan JSJK membuat siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Skandal Tabung Haji didedahkan kepada umum sejurus selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan Putrajaya daripada Barisan Nasional.

Kesemua skandal tersebut berlaku sewaktu Azeez menjadi pengerusi badan yang bertanggungjawab mentadbir wang simpanan umat Islam Malaysia yang ingin menunaikan ibadat haji di Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa juga pernah mendedahkan kepada pemberita beberapa salah laku melibatkan wang simpanan.

Lihat Laman Penuh