ASEAN, Rakan Dialog Sedia Meterai Perjanjian Perdagangan Serantau Besar-besaran
2020.11.11
Washington
KEMASKINI pada 7.15 petang waktu tempatan ETS - 2020-11-11
Kesemua sepuluh negara anggota ASEAN dan lima lagi negara rakan dialognya dijangka menandatangani perjanjian perdagangan terbesar yang disokong China pada Ahad bagi memotong tarif serta menetapkan peraturan bersama untuk perdagangan, e-dagang dan harta intelek, kata pegawai serta laporan media pada Rabu.
Perjanjian itu dijangka ditandatangani semasa sidang kemuncak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Ahad, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Mohamed Azmin Ali.
"Seperti yang kita semua ketahui, sejarah perundingan RCEP, yang telah berjalan sejak lapan tahun lalu, merupakan satu perjalanan yang panjang dan sukar namun akhirnya kita kini berada di garisan penamat," menurut Azmin dalam kenyataan yang dikeluarkannya pada Rabu selepas menghadiri mesyuarat akhir peringkat menteri bagi Perjanjian RCEP bersama para pegawai dari 14 negara lain.
Sepuluh anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bersama-sama China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand dijangka menandatangani perjanjian itu pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung selama empat hari.
Negara peserta RCEP yang mengambil bahagian menyumbang hampir 30 peratus populasi dunia dan Keluaran Dalam Negara Kasar, menurut laporan oleh Brookings Institution, sebuah kumpulan penyelidikan yang berpusat di Washington pada Julai lalu.
Rundingan bermula pada 2012 dengan institut itu menyifatkan ia mungkin adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar yang pernah wujud. India dan Amerika Syarikat tidak mengambil bahagian dalam Perjanjian RCEP yang mungkin dimeterai.
Semasa India menarik diri daripada rundingan pada November lalu, di tengah-tengah kebimbangan bahawa membuka akses pasaran akan meningkatkan defisit perdagangannya dengan China, kesemua 15 negara yang dijangka menandatangani perjanjian itu telah membuat persediaan khas bagi membolehkan New Delhi menyertai semula perjanjian itu, lapor Kyodo News Jepun.
"Saya ingin menegaskan bahawa perjanjian ini akan mempertingkatkan integrasi ekonomi serantau kita dengan kesan pengganda yang besar,” kata Azmin. “Ini termasuk membuka peluang pasaran kepada hampir satu pertiga penduduk dunia yang akan membawa manfaat kepada peniaga dan pedagang,"
“Apabila perjanjian itu ditandatangani, ia memberikan isyarat positif kepada dunia bahawa Malaysia bersama negara-negara peserta RCEP yang lain, telah memilih untuk membuka pasaran kita daripada menggunakan langkah-langkah perlindungan pada masa sukar ini,” kata Azmin merujuk kepada pandemik COVID-19 yang kini melanda dunia.
Di peringkat global, lebih 51.8 juta orang telah dijangkiti COVID-19 dengan lebih 1.27 juta dilaporkan maut akibat pandemik itu, demikian menurut pakar penyakit di Universiti Johns Hopkins yang berpusat di Amerika Syarikat.
Azmin berkata penglibatan Malaysia dalam RCEP telah dibincangkan dengan para pegawai kerajaan di peringkat nasional dan kerajaan tempatan bersama-sama pihak berkepentingan dalam negara.
“Apa yang penting di sini adalah kita harus mencapai keseimbangan antara mempromosikan perdagangan antarabangsa dan melindungi serta memberi ruang industri dalam negara untuk berkembang. Saya rasa itulah prinsip asas yang kami pakai selama rundingan dalam RCEP ini,” kata Azmin kepada media di Kuala Lumpur.
Menteri Perdagangan Agus Suparmanto berkata penyertaan Indonesia dalam RCEP boleh menambah 0.05 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar negara itu setiap tahun dari 2021 hingga 2032.
"RCEP akan mempunyai satu kesan positif terhadap ekonomi negara kerana 29.6 peratus perkongsian pasaran global adalah daripada negara-negara peserta RCE," kata Agus dalam sidang akhbar pada Rabu.
RCEP akan membuka akses pasaran yang lebih luas bagi Indonesia dan meningkatkan penyertaan negara itu dalam rantaian bekalan global, katanya.
Ketiadaan kehadiran
Sementara itu, beberapa penganalisis berkata ketiadaan Washington mungkin memberi peluang kepada Beijing untuk mencari rakan kongsi perdagangan baharu dalam rantau itu.
“Adakah China akan menggunakan kelebihan ini untuk memajukan kepentingan politik jangka pendek – seperti strategi ‘China dahulu’ – atau membina satu sistem berasaskan peraturan yang turut berfungsi bagi negara-negara lain, mungkin sebagai satu model bagi kerjasama global?” soal Brookings.
“Bagaimana para pemimpin China menjawab soalan ini akan membentuk landskap ekonomi dan politik pada tahun-tahun akan datang.”
Pengarah Pusat bagi Politik Ekonomi Antarabangsa di Universiti Peking, Wang Yong, memaklumkan South China Morning Post bahawa perjanjian itu boleh membantu usaha China meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Australia dan beberapa negara serantau yang lain.
“China dan Australia masih mempunyai kepentingan bersama dan berdasarkan perkara itu, kedua-dua negara masih boleh meneroka kerjasama dalam konteks serantau dan rangka kerja pelbagai hala,” kata Wang merujuk kepada ketegangan yang berlaku antara kedua-dua negara baru-baru ini.
“Dengan China dan negara-negara Asia berada di landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi selepas kita berjaya membendung pandemik koronavirus, hubungan antara China dan negara-negara jirannya akan menjadi semakin erat.”
AS pada 2017 telah menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ketika di bawah pimpinan Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada polisinya iaitu ‘Utamakan Amerika.’ TPP dirundingkan oleh pendahulu Trump iaitu Presiden Barack Obama, sebagai satu strategi terhadap Asia.
TPP kemudian dinamakan sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan berkuat kuasa pada 2018.
Naib Presiden Obama iaitu Joe Biden telah diisytiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden 2020 minggu lepas oleh kebanyakan pertubuhan berita di AS namun Trump belum mengaku kalah.
Noah Lee di Kuala Lumpur dan Ahmad Syamsudin di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.