Adakah Azura “Puteri Rasulullah” masih mampu beryaqazah?
2024.12.13
Kuala Lumpur

Azura Md Yusof yang digelar “Puteri Rasulullah” oleh pengikut al-Arqam, kumpulan ajaran sesat diharamkan oleh kerajaan yang kemudian dijenamakan semula sebagai Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) menjadi tokoh kontroversi berelemen spiritualisme.
Dia menjadi figura utama bukan saja dalam hierarki GISBH, konglomerat yang dianggotai saki baki anggota al-Arqam, malah mempunyai pengaruh ketika pengasasnya Ashaari Muhammad masih lagi hidup.
Kisah Azura yang kini merupakan isteri pemimpin tertinggi GISBH, Nasiruddin Mohd Ali mencerminkan bagaimana elemen spiritualisme digunakan sebagai alat untuk menyokong struktur kuasa dan memastikan kesetiaan anggota jemaah kumpulan berkenaan.
Azura menurut anggota kumpulan itu dikatakan mampu mencapai tahap ‘yaqazah’, satu keadaan spiritual yang membolehkannya ‘berhubung’ dengan Nabi Muhammad.
Kisahnya buat pertama kali dibongkar sekitar 1998, selepas al-Arqam diharamkan oleh kerajaan.
Kini Azura, 57, dan suaminya Nasiruddin serta beberapa ahli GISB ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012, sejak Oktober lepas.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penahanan kesemua mereka atas pertuduhan jenayah terancang selepas pihak berkuasa Malaysia menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak dan remaja dari rumah amal kendalian GISBH dalam ‘Op Global’ di Selangor dan Negeri Sembilan pada September lepas.
Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seterusnya mendapati GISBH telah melakukan pelbagai salah laku, termasuk amalan tarekat Al-Arqam yang difatwakan sesat, penghambaan dan eksploitasi pekerja, serangan seksual, penderaan, penyelewengan dana, dan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada September lalu menyatakan siasatan pihak polis mendapati pemimpin dan anggota GISBH didapati masih berpegang kepada Aurad Muhammadiah, zikir yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam hingga menjadi salah satu punca al-Arqam diharamkan.
Persoalannya adakah dakwaan berhubung ‘keupayaan’ Azura itu masih kekal? Atau ia sudah tidak wujud lagi selepas kumpulan bekas anggota al-Arqam menghadiri majlis istitabah (taubat) pada 2013.
Justeru itu, adakah dakwaan berkaitan kemampuan untuk beryaqazah turut masih dipercayai dalam kalangan ahli GISBH?
Bagi merungkai perkara itu, BenarNews baru-baru ini menemu bual beberapa bekas ahli GISBH termasuk anak perempuan Ashaari, Ummu Atiyah, 41, yang mendedahkan siapakah sebenarnya Azura.
Namun demi keselamatan diri, dua bekas ahli konglomerat itu enggan didedahkan identitinya.
Anggota polis membongkar buku-buku hasil tulisan pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad yang ditanam di tebing sungai di Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan, 21 September 2024. [K. Ahmad/BenarNews]
“Azura adalah sumber "wahyu ghaib" yang dipercayai membantu Ustaz Ashaari membuat ramalan masa depan, politik serta merancang strategi jemaah, termasuk cita-cita beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Dalam sesi yaqazah, Azura dikatakan menyampaikan mesej ghaib yang dianggap sebagai jawapan langsung daripada Rasulullah kepada Ustaz Ashaari,” dakwa seorang bekas ahli jemaah GISBH yang enggan dikenali atas faktor keselamatan semasa ditemui BenarNews baru-baru ini.
Beliau mendakwa, Yaqazah yang dilalukan oleh Azura seolah-olah seperti orang menurun atau dirasuk jin mula diamalkan sekitar 90-an lagi walaupun selepas al-Arqam diharamkan pada 1994.
“Antara 2007 sehingga Ashaari meninggal pada 2010, penggunaan Azura untuk yaqazah semakin kerap, sepanjang tahun-tahun tersebut, ada kalanya hampir setiap malam, atas permintaan Ashaari.
“Selepas kematian Ashaari, isterinya yang dikenali Ummu Jah turut menggunakan Azura untuk melakukan yaqazah,” tambah bekas jemaah yang dilahirkan dan dibesarkan dalam al-Arqam di mana ibu dan bapanya merupakan anggota kumpulan itu.
Dakwanya lagi, Azura telah dilatih menjadi "perantara ghaib" oleh salah seorang pemimpin kanan dalam jemaah al-Arqam yang turut dikenali sebagai "bapa kerohanian" dan melalui latihan intensif dan keupayaannya itu dikatakan membolehkan dia memiliki kuasa luar biasa sehingga menjadi figura yang dipandang tinggi oleh pengikut al-Arqam.
Menurut beliau, wanita itu pada asalnya hanya seorang ahli biasa dalam al-Arqam, dengan kehidupannya berubah apabila dikahwinkan dengan seorang lelaki bernama Mashaal, warga Arab-Sweden yang pada awalnya menyertai kumpulan itu, tetapi meninggalkan kumpulan tersebut selepas mendapati ajaran dan amalannya menyimpang.
“Azura memilih untuk kekal (dalam al-Arqam) sekali gus membawa kepada perubahan dramatik dalam hidupnya, apabila beliau dikahwinkan dengan Nasiruddin yang pada masa itu hanyalah seorang pemandu kepada Ashaari” tambah bekas ahli GISBH yang pernah aktif dalam al-Arqam.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 pengikutnya dibawa anggota polis bagi menghadapi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Selayang, Selangor, 23 Oktober 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kelebihan Azura beryaqazah itu membuatkannya menjadi lebih dekat dengan Ashaari, walaupun dia bukan kalangan pemimpin wanita dalam al-Arqam seperti Ummu Jah, isteri Ashaari.
Seorang lagi bekas jemaah al-Arqam dan GISBH yang hanya mahu dikenali sebagai Taqwa mendakwa, Ashaari masih mempercayai Azura sebagai ‘penghubung’ dengan Nabi Muhammad walaupun selepas pengasas kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia itu keluar daripada tahanan ISA.
Selain itu, dakwa beliau, Azura adalah satu-satunya ahli lembaga penasihat GISBH wanita di mana beliau sangat dihormati oleh suaminya Nasiruddin sehingga tidak berani berkata apa-apa setiap kali Azura menyampuk dalam perbincangan, sesuatu yang jarang berlaku bagi jemaah wanita.
Ramai pengikut al-Arqam percaya bahawa apa yang dinyatakan Ashaari sebelum ini adalah benar dan dari situ jemaah al-Arqam menyedari betapa pentingnya peranan Azura sehingga ia membolehkan Nasiruddin menjadi ketua selepas Ashaari meninggal.
Bangunan pejabat urusan Global Ikhwan Service dan Business Holdings (GISBH) di Bandar Country Home, Rawang, Selangor,21 September, 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Selepas era Ashaari dan sifat agresif
Menurut bekas jemaah yang enggan namanya disiarkan, perkahwinan Azura dengan Nasiruddin telah membuka laluan kepada suaminya itu untuk mendaki hierarki kepimpinan jemaah kumpulan tersebut selepas Ashaari meninggal dunia.
Kemampuan Azura itu telah menjadi asas terhadap banyak keputusan besar termasuk strategi perniagaan GISBH yang berkembang pesat di peringkat antarabangsa, dengan ramai jemaah percaya beliau adalah kunci kepada kumpulan berkenaan.
Azura juga didakwa sebagai seorang yang agresif, dengan banyak kes di mana jemaah wanita dicederakan secara fizikal olehnya.
“Azura merosak dan mencaturkan jemaah… selain seorang yang agresif, dengan banyak kes jemaah wanita dicederakan secara fizikal sehingga beberapa laporan polis telah dibuat.
“Ada wanita yang melarikan diri dari rumah Azura akibat dipukul dengan teruk, dan terdapat juga wanita yang pernah ditampar oleh Azura sebanyak 10 kali yang turut pernah diceritakan di hadapan Menteri Agama,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Atiyah yang merupakan anak kepada Ashaari semasa ditemui BenarNews baru-baru ini mendakwa yang Azura adalah seorang yang agresif dan beliau pernah didera, ditengking oleh wanita itu selain berpengalaman direndam dalam air kerana tidak mengikut arahannya.
BenarNews cuba mendapatkan komen daripada peguam GISBH berhubung dakwaan bekas-bekas ahli mengenai Azura, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.
Anak pengasas al-Arqam, Ummu Atiyah Ashaari, 41 bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, 18 Oktober 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Gelaran “Puteri Rasulullah”
Atiyah mendakwa beliau menemui sepucuk surat dari dalam begnya di mana surat tersebut mengandungi arahan supaya anaknya menulis surat kepada Azura dengan gelaran “Puteri Rasulullah”.
“Dia (Azura) merasakan dirinya sudah sama ‘level’ dengan puteri Nabi,” tambah Atiyah.
Beliau berkata, yang dia tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan Azura yang dikenalinya sejak kecil.
“Saya hanya berjumpa dengan Azura sekali-sekala apabila dia datang bersama suaminya, Nasiruddin yang ketika itu merupakan pembantu Abuya [bapa]…
“Dan saya juga tidak mengetahui sejauh mana arwah Abuya mempunyai hubungan rapat dengan Azura, yang sentiasa bersama suaminya.
“Jika Azura dalam keadaan beryaqazah di dalam bilik bersama Abuya, ibu Ummu Jah akan turut hadir sekali,” tambah Atiyah lagi.
Kisah Azura seperti yang diceritakan oleh bekas-bekas ahli dilihat sebagai simbol eksploitasi elemen spiritualisme untuk memanipulasi kepercayaan dan kesetiaan, walaupun al-Arqam sudah diharamkan, tetapi kini menjadi teras GISBH, sebuah organisasi yang dalam konteks semasa sedang berdepan siasatan serius oleh pihak berkuasa atas pelbagai tuduhan berat.