Pihak Berkuasa Malaysia Tahan Presiden JMM Ugut Mahu Serang Balai Polis

Hadi Azmi & Noah Lee
2018.12.26
Kuala Lumpur, Malaysia
181226-MY-NGO-Arrest1000.jpg Anggota Polis Malaysia semasa mengawal pintu masuk kuil Sri Maha Mariamman di Subang, Malaysia, 27 November 2018.
AP

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu telah menahan Presiden sebuah badan bukan kerajaan yang mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan ke atas pemaju dan peguam yang terlibat dalam rusuhan di Kuil Hindu Subang Jaya pada November lepas sehingga menyebabkan kematian seorang anggota bomba.

Menurut polis, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah membuat kenyataan berbaur ugutan itu semasa berucap di Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Menteri P Waytha Moorthy di Klang pada Selasa.

“Azwanddin Hamzah telah ditahan pada jam 2.40 petang pada Rabu di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan.

“Siasatan lanjut perlu diteruskan atas ugutan untuk menyerang balai polis, dan beliau akan direman di Mahkamah Klang jam 9.00 pagi Khamis,” tambah kenyataan itu.

Fadzil juga menambah dengan berkata, Azwanddin akan disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina seorang individu.

Menurut beliau, Azwanddin ditahan untuk membantu siasatan kes ugutan jenayah dan jika didakwa dan disabitkan kesalahan, beliau berdepan dengan hukuman penjara sehingga 7 tahun.

Dalam ucapannya pada Selasa, Azwanddin mempersoalkan kenapa pihak yang terlibat dalam rusuhan tersebut tidak ditahan oleh pihak berkuasa dan menuntut pentadbiran  Putrajaya bertindak jika tidak mahu “diserang habis-habisan”.

“Amaran saya kepada mereka, segera tangkap pemaju, tangkap peguam, jika tidak, kita akan serang Balai Polis Klang," katanya pada himpunan di Dataran Seni Klang itu.

Penganjur, Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) menganggarkan lebih kurang 3,000 orang menghadiri perhimpunan tersebut manakala polis menganggarkan cuma 1,200.

Insiden kekecohan di kuil Hindu di Seafield, Subang Jaya pada 26 Nov lalu itu dilaporkan berpunca dari pertikaian penempatan semula rumah ibadat berkenaan yang berlarutan sejak 2014 di antara pemaju dan juga pihak pengurusan kuil tersebut.

Seramai tujuh orang mengalami kecederaan selepas sekumpulan 50 lelaki menyerang mereka yang berada di dalam Kuil Sri Maha Mariamman, yang terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaraan Subang Jaya, kata polis.

Lapan belas kereta serta dua motosikal turut musnah akibat dipecah atau dibakar dalam kejadian sebulan selepas itu.

Dalam kekecohan susulan rusuhan itu, pada 27 Nov lepas, anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mengalami cedera parah di bahagian rusuk setelah dikatakan dipukul oleh perusuh ketika cuba memadamkan kebakaran kereta di lokasi sebelum meninggal dunia 21 hari kemudian di Institut Jantung Negara kerana komplikasi.

Selain daripada ugutan menyerang balai polis, Azwanddin di pentas yang sama turut mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Menteri Perpaduan Waytha Moorthy yang dikaitkan sebagai penyebab kematian anggota bomba tersebut.

“Kita ada pejuang yang berjaya menghimpunkan orang Melayu dan Islam pada hari ini iaitu tidak lain tidak bukan, saudara Adib kita.

“Ini amaran kita. Ini bukan Waytha Moorthy, ini ‘p****h’ Moorthy,” kata Presiden Jaringan Melayu Malaysia itu dihadapan orang ramai yang hadir di perhimpunan tersebut.

Kenyataan tersebut diulang beberapa kali oleh Azwanddin ketika berucap di atas pentas yang sama.

Ekoran daripada kenyataan Azwanddin itu, polis membuka satu lagi siasatan terhadap beliau di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Waytha Moorthy dikecam hebat berikutan kenyataan beliau dan beberapa ahli parlimen lain yang mempersoalkan tindakan polis yang dikatakan lambat bertindak dalam meleraikan rusuhan itu. Beliau turut didesak meletakkan jawatan berikutan video viral beliau yang dikatakan berbaur hasutan.

Dalam video dua minit dan 39 saat yang dirakamkan di luar negara 11 tahun lalu, Waytha Moorthy berkata puluhan ribu kuil hindu dirobohkan di Malaysia dan turut berkata, orang India di Malaysia didiskriminasi bermula dari hak beragama dan dipaksa bertukar agama jika mahu bekerja di dalam kerajaan dan untuk mendapatkan biasiswa.

Pihak berkuasa sudah beberapa kali memberi amaran kepada orang ramai dan ahli politik untuk tidak menyebar atau membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu gugat keamanan negara yang berbilang bangsa dan agama berhubung kejadian rusuhan di kuil tersebut.

Azwanddin turut berhadapan dengan tuntutan saman 30 juta ringgit daripada Menteri Industri Utama Teresa Kok atas tuduhannya yang mengaitkan menteri berkenaan dengan pihak pemaju One City yang terbabit dalam isu tanah kuil tersebut.

"Syarikat pemaju itu melibatkan Teresa Kok, pendedahan mengenainya telah dibuat berulang kali, namun tidak ada sebarang tindakan. Teresa sehingga kini tidak berani sama sekali membuat laporan polis atau kenyataan media menafikan perkara ini,” kata Azwanddin.

Teresa pada 27 Nov lalu telah mengeluarkan kenyataan kepada media melalui laman Twitternya bagi membidas dakwaan yang tular di media sosial itu.

“Tolong henti libatkan saya dalam kekacauan di kuil Hindu di USJ. Saya tidak ada pertalian saudara dengan pemaju dan tidak ada kena mengena dengan projek itu,” kata Teresa.

Kira-kira 61 peratus daripada 32.4 juta rakyat Malaysia beragama Islam manakala 1.6 juta lagi beragama Hindu.

Walaupun terdapat pelbagai budaya dan kebebasan awam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara, Malaysia pernah berdepan dengan kekecohan perkauman termasuk rusuhan selepas pilihan raya umum pada 1969.

Selain Azwanddin, polis juga menahan seorang individu Melayu yang didapati membawa kayu sebagai senjata ke perhimpunan pada sambutan Hari Krismas itu.

Polis telah membuka lima kertas siasatan berhubung dengan perhimpunan pada Rabu yang turut melibatkan penganjur di bawah Akta Perhimpunan Aman.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.