Follow us

Malaysia Siasat Dakwaan Salah Laku Badan Kehakiman – Mahathir Mohamad

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-21
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media ketika mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, 21 Feb 2019.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media ketika mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, 21 Feb 2019.
(S.Mahfuz/BeritaBenar)

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, pada Khamis mengesahkan bahawa kerajaannya akan melancarkan siasatan rasmi terhadap dakwaan salah laku Badan Kehakiman - termasuk kes yang melibatkan pemimpin politik kanan negara Anwar Ibrahim – seperti yang didakwa oleh seorang hakim mahkamah rayuan melalui afidavit setebal 65 muka surat.

Mahathir memberitahu media bahawa kerajaan akan menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer.

"Kami akan menubuhkan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan terpulang kepada mereka untuk menyiasat tuduhan yang dibuat oleh hakim berkenaan," kata Mahathir selepas mengadakan lawatan rasmi di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Antara yang terkandung dalam afidavit Hamid Sultan adalah dakwaan bahawa semasa majlis makan malam dengan beberapa hakim tertinggi sebulan sebelum Pilihan Raya Umum 2018, mereka membincangkan bagaimana mereka boleh dikeluarkan daripada menduduki kerusi hakim, atau tertakluk kepada penyiasatan, jika gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan memenangi pilihan raya tersebut.

"Pada dasarnya, ia adalah pengakuan berkaitan dengan rasa bersalah," kata Hamid Sultan dalam afidavit itu, yang difailkan minggu lalu, dengan merujuk kepada perbualan itu.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kes yang melibatkan Anwar, yang telah disabitkan dengan pertuduhan meliwat dan kekal dalam penjara semasa pilihan raya. Tidak lama selepas Pakatan Harapan menewaskan gabungan Barisan Nasional yang dipimpin bekas perdana menteri Najib Razak pada pilihan raya umum 9 Mei itu, Anwar diberikan pengampunan diraja dan dinamakan sebagai pengganti Mahathir bagi jawatan perdana menteri.

"Dalam kes rayuan oleh Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan, hakim memberitahu saya bahawa korum Mahkamah Rayuan dipanggil ke ruang hakim tertinggi secara kerap dan memberi taklimat mengenai apa yang harus dilakukan," dakwa Hamid Sultan.

Di bawah sistem perundangan Malaysia, RCI merupakan badan siasatan paling berkuasa yang ditubuhkan atas nama Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. RCI hanya terhad kepada terma dan skop perkara yang dipersoalan sahaja.

"Kami belum membuat keputusan itu (terma dan peraturan) tetapi kami akan menubuhkan RCI dan terma rujukan akan ditentukan kemudian," kata Mahathir.

Hamid Sultan turut mendakwa bahawa ahli-ahli ‘skuad sasaran’ hakim yang terdedah kepada pemerintahan mengikut naratif kerajaan Najib telah dimasukkan sebagai ahli panel tiga hakim.

"Saya mempunyai banyak maklumat mengenai salah laku badan kehakiman tertinggi dalam membantu dan bersubahat dengan mereka (kerajaan terdahulu) atau memainkan peranan untuk mengatur kartel perundangan kehakiman," dakwanya.

Sementara itu, Latt Shariman Abdullah, yang pernah berkhidmat dalam kerajaan Najib sebagai pegawai khas, mempersoalkan pengumuman Mahathir berhubung penubuhan RCI itu.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja berdasarkan hanya kepada satu afidavit dan temu bual SPRM selama 20 minit? Paling mengagumkan dan mencatat sejarah," katanya sinis.

"Adakah kita mengharapkan sebuah tribunal untuk membuang para hakim pada akhir penemuan siasatan, selamatkan satu atau dua orang yang bersih sebagaimana Hakim Hamid Sultan katakan (sudah tentu dengan menyelamatkan dirinya sahaja), kerana hakim tidak dapat dibuang oleh RCI tetapi hanya oleh tribunal kehakiman," katanya.

Prosiding mahkamah diteruskan

Dalam pada itu, Peguam Negara Tommy Thomas menegaskan bahawa semua kes di semua peringkat mahkamah atasan atau rendah di Malaysia perlu terus didengar dan diputuskan.

"Penubuhan RCI tidak bermaksud berlakunya penangguhan kesemua kes secara automatik atau menyeluruh," kata Thomas dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memberi contoh dengan memetik kes tribunal pada 1988 berhubung dakwaan salah laku kehakiman serta RCI yang ditubuhkan susulan dakwaan campur tangan luar ke atas pelantikan hakim.

"Urusan di semua mahkamah berjalan seperti biasa dan tiada penangguhan akan dilayan oleh mahkamah," kata Thomas.

Peguam Haniff Khatri, yang mewakili Hamid Sultan, berhujah bahawa kes-kes terdahulu adalah berbeza kerana dakwaan anak guamnya mempengaruhi integriti sistem kehakiman dan bukan hanya kepada beberapa individu.

"Skop RCI ini perlu lebih meluas kerana ia menawarkan peluang sekali seumur hidup untuk membersihkan badan kehakiman dari amalan rasuah yang mencemari maruah kerajaan," kata Haniff kepada BeritaBenar.

Peguam itu juga menggesa kerajaan supaya membenarkan RCI membuka saluran kepada individu lain dari dalam badan kehakiman untuk membuat aduan dalam usaha mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan korupsi.

"Ia bukan sekadar afidavit anak guam saya, walaupun ia mengandungi banyak tuduhan yang mencemarkan," katanya sambil memberitahu kebanyakan ahli badan kehakiman adalah jujur.

"Kita perlu memastikan rakyat di bawah dapat merasakan yang suara mereka didengar dengan kerja jujur mereka dapat dilihat, dan tidak disamakan dengan korupsi di peringkat atasan," katanya.

"Oleh itu, kerajaan perlu memberi mereka peluang untuk bercakap."

Lihat Laman Penuh