Menteri Dalam Negeri Malaysia Campur Tangan Dalam Urusan Polis, Kata Ketua Polis Negara
2021.04.30
Kuala Lumpur
Dalam sidang media terakhirnya pada Jumaat, ketua polis Malaysia mengkritik menteri yang bertanggungjawab bagi Polis Diraja Malaysia kerana bertindak mencampuri urusan harian jabatan sehingga menyukarkan beliau melaksanakan tugasnya dan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam pasukan itu.
Campur tangan itu masih berterusan walaupun beliau telah melaporkan perkara tersebut kepada perdana menteri, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. Namun, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin sebaliknya berkata beliau mempunyai kuasa untuk terlibat dalam urusan polis.
"Beliau [Menteri Dalam Negeri] hanya diberikan kuasa untuk tetapkan dasar... apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah. Bukan tugasnya untuk tentukan siapa yang jadi Ketua Polis Negeri, siapa jadi pengarah sana sini, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya," kata Abdul Hamid kepada wartawan.
“Ini menyukarkan saya menjalankan tugas. Ini menyebabkan ada yang berpuak dengan memihak kepada pegawai berlainan. Saya harap ini tidak berterusan. Ia tidak baik untuk negara, tidak baik. "
Abdul Hamid berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai campur tangan itu.
"Saya telah memaklumkan mengenainya sebanyak dua kali kepada perdana menteri... tetapi tiada apa yang dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata kapasitinya sebagai menteri dalam negeri membolehkan beliau menjadi pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan oleh itu, beliau mempunyai kuasa untuk memutuskan penempatan pegawai polis.
"Saya pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis. Saya ingin memberitahu anda bahawa mengikut Perlembagaan, pengerusi suruhanjaya polis merupakan jawatan tertinggi yang menentukan penempatan bagi pegawai polis,” kata Hamzah pada sidang media awal Jumaat, menurut portal media tempatan, Malaysiakini.
Hamzah berkata demikian semasa mengakui pada Jumaat bahawa beliau merupakan orang yang bercakap dalam satu klip audio yang tular dalam talian sejak awal April di mana beliau bercakap dengan orang yang tidak dikenali mengenai kuasanya untuk menaikkan pangkat dan melantik pegawai kanan polis.
"Itu adalah suara yang benar oleh saya. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Cuma yang salahnya di sini ialah orang yang curi rakam perbualan saya. Itu adalah satu kesalahan. Apa yang saya lakukan, bukan masalah,” kata Hamzah.
Dalam klip audio itu, menteri tersebut kedengaran seperti berkata bahawa beliau akan membuat beberapa pelantikan untuk menggembirakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
"Apa kata kita bagi kepada budak kita, kita patut naikkan pangkat dia... Seri Paduka baginda pasti sukakan dia. Saya sekarang pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis ... itulah sebabnya saya akan pilih mereka yang saya tahu akan disukai oleh Seri Paduka baginda," ujar menteri itu yang kedengaran seperti berkata demikian.
Suruhanjaya Polis ada hadnya
Namun, Abdul Hamid yang akan menamatkan khidmatnya sebagai ketua polis negara dalam beberapa hari lagi, berkata bahawa kuasa menteri dalam negeri berhubung Suruhanjaya Pasukan Polis ada hadnya, dan mendakwa campur tangan Hamzah berhubung pelantikan dan pertukaran pegawai polis menyebabkan kurangnya perhatian diberikan kepada perkara lain.
Menteri itu menyebabkan "puluhan kes disiplin masih tergantung" dan beliau hanya mengadakan empat mesyuarat sejak menjadi menteri dalam negeri pada Mac tahun lalu, dakwa Abdul Hamid.
"Sekiranya kita tidak dapat bermesyuarat dua kali sebulan, sepatutnya kita perlulah bermesyuarat sekali sebulan. Selain itu, SPP tidak mempunyai pejabat.… Bayangkan. Inilah yang ingin saya kongsikan dengan orang awam. Ia langsung tidak mempunyai pejabat. Nasib baiklah tak pasang meja dan payung, " kata ketua polis negara itu.
Selain itu, katanya, menteri berkenaan perlu meneliti dakwaan-dakwaan yang dilontarkan terhadap polis termasuk mengenai kekejaman polis, kematian semasa dalam tahanan, rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut data kerajaan, seramai 257 orang mati semasa dalam tahanan polis di antara 2002 dan 2016.
Selepas Hamzah mengakui bahawa beliau adalah orang yang bercakap dalam klip audio yang membincangkan mengenai pelantikan pegawai kanan polis, ketua pemuda Pakatan Harapan berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap menteri itu di Kuala Lumpur pada minggu depan. Shazni Munir Mohd Ithnin berkata menteri itu telah bertindak di luar bidang kuasanya serta turut melibatkan Yang di-Pertuan Agong semasa perbincangannya dalam klip audio itu.
Sementara itu, Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) juga menyuarakan kebimbangan berhubung perbualan Hamzah dalam klip audio itu.
"Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Hamzah... mesti mengumumkan kriteria yang digunakan untuk melantik KPN bagi membolehkan orang awam menilai pelantikan itu," kata Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
"Proses melantik pegawai awam utama seperti Ketua Polis Negara adalah sangat penting dan mesti dibawa ke Parlimen agar pelantikan itu benar-benar telus, bertanggungjawab, berdasarkan prestasi dan bukan hanya berdasarkan keputusan menteri persekutuan sahaja."
Terdahulu pada Jumaat, Hamzah mengumumkan pelantikan Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara yang baharu bagi menggantikan Abdul Hamid, yang akan menamatkan khidmatnya pada 3 Mei. Sebelum ini, Acryl Sani adalah timbalan ketua polis negara.
Abdul Hamid berkata SPP tidak harus dipengerusikan oleh menteri.
"Adalah lebih baik SPP tidak dipengerusikan menteri. Saya nak cadangkan di sini,” kata ketua polis negara itu.
"Eloklah serah kepada bekas ketua hakim, untuk menjadi pengerusi suruhanjaya ini. Kalau menteri, mereka bawa unsur politik dalam suruhanjaya."