Malaysia roboh penempatan hampir 1,000 etnik Bajau Laut di Sabah
2024.06.11
Kuala Lumpur

Seorang pegawai kanan keselamatan yang mengawal perairan Sabah pada Selasa mempertahankan tindakan merobohkan ratusan rumah kayu atas air yang dibina oleh masyarakat Bajau Laut tanpa kerakyataan pada minggu lalu berkata, pondok itu boleh menjadi tempat menempatkan penjenayah rentas sempadan, merosakkan batu karang dan mencemarkan taman laut.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menggesa suatu penyiasatan dilakukan ke atas tindakan yang dijalankan oleh pihak berkuasa taman laut negeri itu, di mana 237 struktur telah musnah dan menurut aktivis, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal.
“Kemungkinan penyeludup dan penjenayah menggunakan rumah [Bajau Laut] sebagai tempat perlindungan dan ini boleh berlaku. Ia memberikan cabaran kepada bot pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan kerana rumah itu dibina di kawasan cetek.
"Bagi masyarakat Bajau Laut, rumah mereka sebenarnya di atas bot, jadi, adalah tidak benar untuk mengatakan mereka tidak mempunyai rumah kerana budaya dan cara hidup mereka biasanya hidup di atas bot.
"Kami tidak mengganggu bot mereka dan tidak menghalang mereka daripada menetap di darat, tetapi rumah-rumah itu dibina di kawasan taman laut negeri di mana tidak sepatutnya wujud pembinaannya sejak mula lagi, ” kata Victor Sanjos, komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) kepada BenarNews pada Selasa.
Pesisir pantai Sabah menjadi tempat pertempuran berlarutan selama enam minggu antara pasukan keselamatan Malaysia dan sekumpulan pejuang Sulu dari selatan Filipina pada 2013.
Sempadan itu juga terkenal dengan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dan penculikan.
Pada Mei 2022, ESSCOM melancarkan operasi besar-besaran untuk membongkar beberapa pondok laut haram di perairan Timur Sabah untuk memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan tersebut.
Minggu lalu, komuniti pelaut tanpa kerakyatan, yang tinggal di Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat, dan Pulau Sibuan "diusir secara paksa" dari rumah mereka, menurut aktivis.
Mereka berkata pengusiran itu diarahkan oleh Taman-Taman Sabah, sebuah agensi pemuliharaan kerajaan negeri yang menyelia kawasan marin di Semporna, Sabah.
Notis pengusiran dikeluarkan bulan lalu yang mengatakan masyarakat itu telah memasuki kawasan taman dan membina struktur "tanpa permit".
Sebahagian rumah atas air masyarakat Bajau Laut yang dirobohkan di Semporna, Sabah, 9 Jun 2024. [Ihsan Borneo Komrad]
Dalam rakaman video dan gambar yang dikongsi Borneo Komrad, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sabah kepada BenarNews, sekumpulan lelaki dipercayai penguat kuasa Taman-Taman Sabah dilihat merobohkan dan membakar rumah-rumah.
Satu lagi rakaman video menunjukkan sebuah rumah atas air ranap selepas ditarik oleh sebuah bot.
“Ketika ini kebanyakan masyarakat Bajau Laut berpindah ke pulau-pulau berhampiran untuk mencari perlindungan. Ada juga yang pergi ke kampung lain di sekitar Semporna manakala yang lain menumpang di kawasan bandar tersebut,” kata Presiden Borneo Komrad, Mukmin Nantang kepada BenarNews.
Mukmin berkata sebahagian daripada penduduk Bajau Laut kini terpaksa tinggal di rumah yang tiada dinding dan ‘berbumbungkan’ langit.
“Bajau Laut dituduh sebagai peneroka haram di Taman Sabah sedangkan mereka tinggal di sana lama sebelum taman itu diwujudkan,” katanya kepada BenarNews.
Bajau Laut yang kebanyakannya tidak mempunyai kewarganegaraan menjalani gaya hidup nomad berasaskan laut, tinggal dalam bot kayu atau rumah atas air di sekitar Semporna.
Malaysia tidak mempunyai data rasmi mengenai bilangan orang Bajau Laut di kepulauan Borneo.
BenarNews telah menghubungi Taman Sabah dan Majlis Daerah Semporna mengenai rasional di sebalik perobohan itu tetapi masih belum menerima maklum balas.
Hulurkan bantuan
Walaupun pengkritik menyifatkan kejadian itu sebagai tidak sensitif, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pada Selasa berkata kerajaan negeri akan membantu Bajau Laut yang terjejas setelah rumah mereka dirobohkan.
“Kami sedang membuat perancangan untuk membantu mereka. Namun apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa itu adalah kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara kita,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut.
Pada Jumaat, Menteri Pelancongan Sabah Christina Liew berkata pengusiran itu adalah tindakan yang wajar di sisi undang-undang kerana penempatan haram berkenaan terletak dalam kawasan marin yang dilindungi.
Malah jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil pada hujung minggu lalu mengulangi pendirian bahawa negara tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan.
Kumpulan hak asasi manusia menggesa layanan yang lebih baik diberikan kepada komuniti pelaut yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau akses kepada pendidikan, kewangan dan penjagaan kesihatan hingga menyebabkan mereka terdedah kepada tindakan penguatkuasaan.
Gesaan itu dikeluarkan selepas seminggu Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Türk meminta Malaysia agar menamatkan masalah penduduk tanpa kewarganegaraan dalam semua bentuk semasa lawatannya ke negara itu.
Seorang gadis Bajau Laut berjemur di atas bot di kawasan kejiranannya di perairan Laut Sulawesi di sekitar negeri Sabah di Kepulauan Borneo, Malaysia, 17 Feb. 2009. [Bazuki Muhammad/Reuters]
SUHAKAM pada Ahad berkata pihaknya sedang memantau secara dekat tindakan yang diambil terhadap masyarakat Bajau Laut baru-baru ini dan menggesa bantuan segera disalurkan kepada mereka yang terjejas akibat tindakan perobohan itu.
“Bajau Laut adalah komuniti unik dan terpinggir dari segi sejarah yang menghadapi cabaran besar termasuk akses terhad kepada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Dalam mengiktiraf hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan, kami menekankan kepentingan pendekatan seimbang bagi menangani keperluan segera penduduk yang terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia Pusat Komas berkata kerajaan Malaysia mesti berdialog dengan masyarakat tersebut untuk mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan dan adil.
"Pengusiran masyarakat Bajau Laut tanpa perundingan atau penyelesaian yang mencukupi untuk perumahan alternatif menunjukkan kegagalan bagi mengimbangi pembangunan dengan keadilan sosial," katanya pada minggu lalu.