PM Najib Bentangkan 'Ibu Segala Bajet'

Ray Sherman
2017.10.27
Kuala Lumpur
171027-MY-budget-620.jpg Rakyat Malaysia sedang menonton siaran langsung pembentangan Bajet 2018 di sebuah restauran di Kuala Lumpur, 27 Okt, 2017.
[HadiAzmi/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Jumaat mengumumkan belanjawan yang paling besar bagi negaranya, ketika beliau berusaha melonjakkan sokongan pengundi terhadap partinya dalam menghadapi pilihan raya umum yang perlu diadakan pada Ogos depan.

Najib memberikan penilaian penuh yakin terhadap ekonomi negara ketika beliau membentangkan belanjawan RM280 bilion (AS$66.1 bilion) bagi tahun depan, yang disifatkannya sebagai  "ibu segala bajet."

Cadangan perbelanjaan itu merangkumi pakej bantuan untuk para pengundi penting kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) yang memerintah, kata perdana menteri, yang menyandang jawatan itu pada 2009 dengan tempohnya akan tamat pada Jun 2018.

"Belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya, baik sepanjang 22 tahun, malah selama 60 tahun kita bernegara sendiri," kata Najib, yang juga menteri kewangan, semasa berucap selama tiga jam untuk membentang belanjawan itu di Parlimen.

Dalam ucapannya pada Jumaat, Najib menegaskan tentang pilihan raya umum yang akan datang.

"Marilah kita bersama-sama memastikan kemenangan besar bagi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14," kata Najib, yang memakai baju Melayu berwarna biru. Biru adalah warna rasmi BN, gabungan parti pemerintah yang menguasai politik tempatan sejak beberapa dekad lalu.

Cadangan belanjawan itu adalah melebihi peruntukan perbelanjaan pada 2017 dengan sebanyak RM19.45 bilion (AS$ 4.58 bilion). Sebelum ini, bajet pertama yang dicadangkan Najib pada 2009 adalah RM191.5 bilion (AS$ 45.2 bilion).

"Bajet ini adalah yang paling penting kerana ia merangkumi semua inisiatif yang telah mendorong ekonomi negara sejak saya mengambil alih jawatan pada 2009," kata Najib. "Sememangnya, ia adalah salah satu kad laporan utama saya."

Ahmad Zahid Hamidi, timbalan perdana menteri, berkata, Malaysia tidak pernah melihat belanjawan sedemikian dalam sejarah 60 tahunnya.

"Ia akan menjadi bajet terbesar setakat ini, terdapat peningkatan hampir RM20 bilion," katanya kepada pemberita, menurut laporan Malay Mail.

Beliau mengakui bahawa belanjawan yang dicadangkan itu berkaitan dengan pilihan raya akan datang.

"Ya, betullah tu," kata Zahid. "Apa lagi yang boleh dikatakan?"

Ekonomi kukuh

Malaysia, sebuah negara pelbagai etnik dengan lebih daripada 30 juta penduduk, telah berkembang menjadi satu daripada  ekonomi Asia yang paling kukuh sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada Ogos 1957. Ekonomi Malaysia dijangka berkembang dengan lebih pesat di antara 5.2 hingga 5.7 peratus tahun ini, berbanding 4.2 peratus pada 2016.

Indeks harga pengguna (CPI) Malaysia - barometer inflasi utama negara - meningkat 4.3 peratus pada September daripada 3.7 peratus pada bulan sebelumnya, menurut angka terbaru daripada Jabatan Perangkaan.

CPI melonjak pada kadar yang lebih pantas daripada yang dijangkakan, kebanyakannya kerana harga runcit minyak yang lebih tinggi, tetapi ahli-ahli ekonomi memberitahu New Straits Times bahawa mereka meramalkan inflasi tahun penuh adalah sekitar 3.7 peratus.

Harga minyak yang lebih tinggi mendorong pertumbuhan ekonomi dan pendapatan bagi tahun ini, yang membolehkan Najib mencadangkan perbelanjaan yang lebih tinggi, menurut ahli-ahli ekonomi, yang turut mengunjurkan defisit fiskal yang lebih rendah bagi tahun depan berbanding pada 2017.

Tertakluk kepada kelulusan Parlimen

Bajet 2018, yang kini dikemukakan untuk kelulusan Parlimen Malaysia, turut mengandungi peruntukan bagi subsidi pengangkutan dan sejumlah RM6.8 bilion (AS$ 1.6 bilion) untuk program bantuan tunai tahunan.

Najib juga mencadangkan pakej bantuan bernilai RM6.5 bilion (AS$ 1.5 bilion) untuk golongan petani, nelayan dan penoreh getah, yang merupakan antara pengundi penting bagi kerajaan.

Selain itu, bajet yang dicadangkan itu turut merangkumi pembayaran khas sebanyak RM1,500 (AS$353) seorang kepada 1.6 juta penjawat awam di negara itu, yang dari segi sejarah, telah menjadi antara penyokong pemerintah yang paling boleh dipercayai, lapor Wall Street Journal.

Perdana menteri Najib juga berdepan tekanan untuk mendapatkan sokongan pilihan raya ketika beliau menghadapi kontroversi yang melibatkan dana negara yang dilanda skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diasaskannya pada 2009 sebagai jentera untuk menarik pelaburan dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

Najib didakwa terlibat selepas penyiasat menyatakan bahawa hampir AS$700 juta wang yang dikaitkan dengan 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013. Tetapi, Najib menafikan sebarang salah laku jenayah, dengan menyatakan bahawa wang itu didermakan oleh keluarga diraja Arab Saudi dan tidak digunakan untuk kepentingan peribadinya.

Belanjawan pembangkang

Terdahulu minggu ini, pakatan pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan membentangkan bajet alternatif yang dicadangkannya.

Antara lain, ia bertujuan melupuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular di negara itu, yang diperkenalkan Najib pada kadar 6 peratus pada 2015, dan menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus di negeri yang mengeluarkan minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Akibat dibelenggui skandal 1MDB, Najib dijangka membentangkan belanjawan yang popular di kalangan rakyat.

Dalam ucapannya, Najib juga berkata, beliau telah memperuntukkan RM24 bilion (AS$ 5.6 bilion) untuk pasukan pertahanan dan keselamatan Malaysia bagi 2018, yang berkurangan kira-kira RM9.1 bilion (AS$ 2.14 bilion) berbanding peruntukan pada 2017.

Tetapi, unit anti-keganasan polis negara itu diberi peruntukan RM50 juta (US$ 11.78 juta) bagi menaik taraf senjatanya, kata beliau.

"Dua ratus lima puluh juta ringgit (US $ 58.9 juta) diberikan kepada ESSCOM untuk meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50 juta ringgit (US$ 11.7 juta) bagi radar pengawasan pantai," katanya, merujuk kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

ESSCOM ditubuhkan selepas kejadian pencerobohan oleh kumpulan bersenjata dari kepulauan Sulu di selatan Filipina, yang dapat digagalkan pasukan keselamatan Malaysia.

Pada Februari 2013, kira-kira 200 orang lelaki bersenjata tiba dengan sejumlah besar bot lama dari kepulauan Sulu yang terletak berhampiran dan menduduki sebahagian daripada kawasan pantai Sabah, yang terletak di Borneo Malaysia, selama beberapa minggu semasa mereka mengemukakan tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah. Lebih daripada 70 orang mati dalam pertempuran di antara penceroboh itu dan pasukan keselamatan.


Hadi Azmi, N. Nantha dan Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

 

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.