Malaysia Umum Peruntukan Lebih Tinggi Dalam Belanjawan 2019

Hadi Azmi
2018.11.02
Kuala Lumpur, Malaysia
181102-MY-Mahathir620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama menteri kabinet berjalan masuk ke dalam bangunan Parlimen untuk mendengar pembentangan Belanjawan 2019, oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur, 2 November, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pentadbiran kerajaan baharu Malaysia pada Jumaat memperkenalkan belanjawan 2019 dengan menyediakan peruntukan yang tinggi berjumlah 314.5 bilion ringgit, dalam keadaan kadar defisit mencecah 3.7 peratus walaupun dihimpit bebanan hutang yang ditanggung melalui skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjumlah lebih 50 bilion ringgit.

Bertemakan ''Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera'',  belanjawan itu dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, menunjukkan peningkatan sebanyak 14.5 bilion ringgit berbanding ‘belanjawan mega’ yang diumumkan perdana menteri pada waktu itu Najib Razak berjumlah 290.4 bilion ringgit pada tahun lalu.

Belanjawan 2019 adalah bajet pertama dalam sejarah penubuhan Malaysia yang dibentangkan oleh gabungan bukan Barisan Nasional yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke 14 pada 9 Mei lepas kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad.

Daripada jumlah tersebut, 259.8 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 54.7 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan.

Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah 2 bilion ringgit, katanya.

Dalam pada itu, Lim semasa membentangkan belanjawan berkenaan turut mengkritik kerajaan terdahulu sambil mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana memilih kerajaan baru menggantikan kerajaan terdahulu yang dibelenggu dengan skandal kleptokrasi.

“Pilihan yang dibuat oleh rakyat sekali lagi telah terbukti betul apabila semalam (Khamis), di Amerika Syarikat, dua bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dan Roger Ng, telah ditangkap dan didakwa oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat,” kata Lim.

Berhujah mengenai skandal antarabangsa itu, beliau memberitahu dewan bahawa sehingga hari terakhir kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak berkuasa, mereka telah membayar hampir 7 bilion ringgit secara senyap untuk melunaskan bayaran yang ditanggung oleh 1MDB.

“Selain itu, Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini,” tambah Lim.

Menggelarkan mereka yang terlibat dalam skandal tersebut sebagai penyangak, Lim berpesan kepada mereka supaya memulangkan kembali wang yang dicuri dari rakyat.

“Pulangkanlah wang kepada negara dan bersedia dihadapkan ke muka pengadilan. Bagi mereka yang masih menyokong penyangak ini, mohon maaflah dan letak jawatan daripada jawatan awam,” tegas beliau.

Selain daripada 1MDB, antara faktor lain yang menyumbang kepada kadar defisit yang lebih tinggi termasuklah bayaran pampasan pengambilalihan sebuah lebuhraya berjumlah 1.3 bilion ringgit, 1.4 billion ringgit untuk projek keretapi Kementerian Pengangkutan dan sebahagian bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah 3.9 billion ringgit.

Ini berbanding dengan kadar defisit belanjawan tahun 2018 yang mana kadar defisit terletak pada paras 2.8 peratus.

Walaupun begitu, kerajaan yakin kadar defisit dapat dikembalikan ke paras sedemikian menjelang tahun 2021 dan terus menurun sekitar 2 peratus untuk jangkamasa pertengahan.

Bantu negara dengan bon jaminan Jepun

Disebalik beban kewangan yang perlu dihadapi, kerajaan berjaya mendapatkan ‘Bon Samurai’ daripada kerajaan Jepun semasa lawatan Perdana Menteri Mahathir ke negara matahari terbit itu pada Jun dan Ogos lalu.

Mengulas mengenai bon tersebut, Mahathir berkata bon berkenaan bernilai 200 billion yen (7.4 billion ringgit) adalah perolehan pertama dan akan digunakan untuk melunaskan hutang berfaedah tinggi yang sedang ditanggung negara.

“Kerajaaan dahulu mengambil hutang pada kadar faedah 6 peratus dan mereka cuma dapat 90 peratus daripada jumlah yang dihutang. Apabila kita ditawarkan hutang pada kadar faedah 0.65 peratus untuk membayar hutang-hutang tersebut, ia jelas lebih baik,” kata Mahathir.

Ketika ditanya mengenai jumlah belanjawan yang meningkat pada tahun ini tanpa sebarang pengurangan, perdana menteri berkata ia berbeza dengan cukai dibawah Najib.

“Kita tidak berbelanja melebihi wang yang ada,” tegas beliau.

Antara langkah yang diambil kerajaan adalah untuk mengurangkan kos membabitkan pembatalan projek mega seperti MRT3, ECRL, projek-projek saluran paip gas dan lain-lain yang berjaya menyelamatkan hampir 300 billion ringgit.

Kerajaan juga memperkenalkan cukai baharu seperti ‘cukai gula’ yang dikenakan ke atas minuman manis dan juga jus buah-buahan.

Kementerian Pendidikan dapat bajet paling besar


Kementerian yang mendapat bahagian terbesar daripada belanjawan yang dibentangkan itu ialah Kementerian Pendidikan dengan memperolehi 60.2 billion ringgit atau 19.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Perdana Menteri berkata ini mengambilkira keperluan pelajar menghadapi realiti pendidikan zaman ini.

“Dulu cuma perlu belajar mengenai Empayar British dan geografi Eropah, kerana itu dianggap penting, namun kini lebih banyak lagi yang murid perlu tahu,” kata Mahathir.

Bercakap mengenai pembentangan belanjawan, Firdaos Rosli, pakar ekonomi dari Institute of Strategic and International Studies (ISIS Malaysia) berkata tidak ada banyak beza cara belanjawan kerajaan baharu ini dibentangkan berbanding dengan kerajaan terdahulu.

“Ternyata banyak maklumat halus dan mendalam tetapi saya masih kabur mengenai gambaran meluas mengenai halatuju kerajaan PH,” kata Firdaos kepada Berita Benar.

Namum begitu beliau berkata adalah sesuatu yang menarik apabila melihat seorang yang bukan perdana menteri membentangkan belanjawan sejak sekian lama portfolio itu dikuasai pemimpin tertinggi kerajaan.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga bekas menteri kewangan semasa ditanya media mengenai belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan PH pada Khamis itu, Najib memberikan kritikannya dengan berkata bahawa belanjawan tersebut gagal menjanjikan inisiatif seperti yang dijanjikan kerajaan beliau terdahulu.

“Saya juga risau ekonomi negara akan bertambah teruk,” kata Najib yang kini menghadapi 38 pertuduhan jenayah rasuah.

Selain Najib, Khairy Jamaluddin, bekas ketua pemuda UMNO yang juga menteri belia dan sukan turut mengeluarkan kritikannya dengan berkata, Belanjawan 2019 dilihat tidak mempunyai elemen sentuhan antara kerajaan dan rakyat.  

“Jika kami menang tempoh hari, BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) akan menjadi 2,000 ringgit berbanding cuma 1,480 ringgit maksimum dalam skim yang ada sekarang,” kata Khairy.

Bagi sudut pertahanan dan keselamatan pula, walaupun diangkat dalam Belanjawan 2019 sebagai satu sektor penting, ia cuma mendapat peruntukan 5.9 bilion ringgit yang dikongsi diantara Angkatan Tentera dan Kementerian Dalam Negeri.

Walau bagaimanapun, Malaysia yang sedang berusaha untuk membenteras gejala rasuah telah  menganugerahkan peningkatan peruntukan sebanyak 18.5 peratus kepada 286.8 juta ringgit bagi perbelanjaan menguruskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jumlah kakitangan akan bertambah seramai 100 orang pada tahun depan bagi memastikan SPRM mempunyai sumber tenaga kerja yang mencukupi untuk menangani rasuah dan pengubahan wang haram dalam sektor awam dan swasta serta mendapatkan balik harta,” kata Lim.

SPRM dalam satu kenyataan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan berkata ia merupakan bukti kebebasan agensi tersebut dalam memerangi rasuah.

“SPRM juga akan terus melaksanakan tanggungjawab dalam menguatkuasakan undang-undang mengikut perlembagaan demi memastikan negara ini bebas daripada rasuah,” kata agensi itu lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.