Bajet Malaysia 2023 lebih kecil, pembentangan terakhir sebelum pilihan raya

Penganalisis politik berkata bajet populis ini merupakan bajet pilihanraya kerana melibatkan hampir kesemua segmen masyarakat.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah, Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.10.07
Kuala Lumpur
Bajet Malaysia 2023 lebih kecil, pembentangan terakhir sebelum pilihan raya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 7 Oktober, 2022.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Malaysia pada Jumaat membentangkan Bajet 2023 yang lebih kecil dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberi amaran tentang perkembangan ekonomi yang dijangka perlahan tahun hadapan.

Bajet berjumlah RM372.3 bilion (AS$80 bilion) dan bertemakan 3R – Responsive, Responsible, Reformist (Responsif, Bertanggungjawab, Reformis) itu, adalah yang terakhir sebelum pilihan raya yang perlu diadakan sebelum September 2023.

Semasa membentangkan Bajet 2023 selama dua jam 10 minit di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan itu turut menyenaraikan pemotongan cukai serta pemberian bantuan wang tunai kepada isi rumah yang berpendapatan rendah dalam usaha melindungi kebajikan rakyat.

“Situasi ekonomi global masih perlukan kita untuk sentiasa berwaspada. Kemungkinan pergolakan dalam geopolitik dan penurunan pertumbuhan ekonomi dunia yang pastinya menuntut setiap negara, bukan sahaja Malaysia, untuk bersedia anjal menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan Kerajaan dalam jangka panjang. Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang,” kata Tengku Zafrul dalam pembentangan beliau di Parlimen.

Seorang penganalisa politik berkata bajet populis itu yang menawarkan ‘imbuhan’ kepada hampir semua segmen populasi rakyat di negara itu menunjukkan ianya adalah bajet pilihan raya.

“Ini adalah bajet populis pilihanraya. Setiap segmen masyarakat mendapat sesuatu. Golongan wanita, golongan pertengahan dan berpendapatan rendah antara yang mendapat manfaat terbanyak,” menurut James Chin, penganalisa politik dari Universiti Tasmania dalam ciapannya selepas pembentangan.

Menurutnya lagi, bantuan kewangan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga akan memberikan manfaat kepada sebahagian besar segmen pengundi di Malaysia.

“Berdasarkan pembentangan itu, pihak pembangkang harus tampil memberikan reaksi yang lebih baik,” tambah James.

Namun begitu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dalam program perbincangan Bajet 2023 di sebuah stesen televisyen tempatan menyatakan keraguan terhadap bajet yang dibentangkan.

Ini adalah kerana jumlah yang dibentangkan kali ini adalah sedikit berbanding Bajet 2022.

“Walaupun ramai yang menggelar ini sebagai bajet pilihan raya, ia lebih kecil daripada perbelanjaan negara 2022.

“Jadi, tertanya-tanya sama ada Bajet 2023 boleh membawa kepada kesan berganda memandangkan RM385 bilion yang dibelanjakan pada 2022 hanya membuahkan hasil yang ‘suam-suam kuku,” katanya semasa sesi siaran langsung itu.

Sumber kewangan

Tahun lalu Malaysia menyaksikan peruntukkan ditambah dari jumlah RM332.1 bilion(AS$71 bilion) kepada RM385 bilion(AS$ 82.7 billion) yang merupakan peruntukan terbesar negara kerana ia bertujuan membantu menjana ekonomi negara dan juga rakyat berikutan kesan dari pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan dari parti pembangkang Warisan pula mempersoalkan punca sumber kewangan yang akan digunakan bagi merealisasikan Bajet 2023 tersebut.

“Dari mana wang itu akan datang? Sedangkan ekonomi negara dijangka akan perlahan,” persoal Rozman Isli semasa dihubungi BenarNews.

Profesor Emeritus di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai pula berpendapat pada keseluruhan Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan itu adalah sangat terperinci dan menyeluruh.

“Ia merupakan proses kesinambungan, yang mengambil kira model Bajet 2022,” katanya kepada BenarNews, sambil berpendapat yang Bajet 2023 akan mempunyai kesinambungan.

“Berkemungkinan akan ada satu lagi pembentangan bajet selepas pilihan raya kerana dijangka akan ada pilihan raya sebelum bajet ini diluluskan,” kata beliau.

Bila ditanya samada bajet kali ini merupakan bajet “gula-gula pilihan raya”, Barjoyai berkata ia mempunyai elemen itu.

“Memang ada aspek “gula-gula” sebab itulah (juga) yang diharapkan oleh pembayar cukai,” katanya sambil menambah yang Kerajaan tidak menangani aspek dalam jangka pertengahan dan masa panjang, tetapi berasaskan kepada jangka masa pendek.

Perkara itu turut dikongsi ahli akademik di Universiti Nottingham Malaysia, Bridget Welsh yang berkata Bajet yang disediakan itu mempunyai beberapa pakej khas untuk tempoh yang singkat, sekaligus memberikan gambaran bahawa pilihan raya bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Keseluruhan bentuk perbelanjaan mengiktiraf betapa mereka adalah kumpulan yang penting dalam kalangan senarai pengundi,” katanya dalam siri ciapan di media sosial.

Ini merupakan pembentangan Bajet kedua di bawah pemerintahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Pembentangan Bajet kali ini yang sepatutnya diadakan pada 28 Oktober telah diawalkan berikutan ura-ura akan berlakunya pilihan raya yang dijangka berlaku sebelum akhir tahun ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.