Balai Seni Negara Sahkan Empat Karya Ahmad Fuad Osman diturunkan

Noah Lee & Ali Nufael
2020.02.10
Kuala Lumpur, Malaysia
200210-MY-AhmadFuadOsman1000.jpg Ruangan yang kini kosong sebelum ini pernah dipenuhi dengan poster-poster Anwar Ibrahim dengan sebelah matanya lebam hasil karya artis seni komtemporari visual Malaysia Ahmad Fuad Osman selama lebih tiga bulan di galeri Balai Seni Negara, Kuala Lumpur, 11 Feb, 2020.
[Ihsan Ahmad Fuad Osman]

Balai Seni Negara mengesahkan empat karya milik artis seni kontemporari visual Malaysia Ahmad Fuad Osman yang sedang dipamerkan di balai seni itu sejak Oktober lepas telah diturun, dengan artis berkenaan mendakwa penurunan hasil karya beliau dikatakan berusur politik dan berbaur lucah.

Pengesahan mengenai penurunan hasil karya yang telah dipamerkan sejak tiga bulan lepas dikeluarkan oleh Balai Seni Negara melalui satu kenyataan media pada Isnin dengan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kata putus mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Bilangan 4/2019, tanpa memberi tarikh mesyuarat berkenaan.

“Balai Seni Negara dengan ini mengesahkan telah menurunkan 4 karya Ahmad Fuad Osman bertajuk Untitle 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain 2004, dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik, bersempena dengan pameran “At The End Of The Day, Even Art is Not Important,” kata kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur itu.

Karya-karya tersebut adalah sebahagian dari pameran Ahmad Fuad bertajuk 'At The End Of The Day Even Art Is Not Important (1990-2019)' yang dibuka sejak 28 Oktober sehingga 29 Febuari ini.

Pada pameran itu, Shabbir Hussain Mustafa, kurator kanan dari Galeri Nasional Singapura turut diberi tanggungjawab untuk mengkuratorkan sebanyak 60 karya pada pameran tersebut.

Ahmad Fuad semasa dihubungi BeritaBenar turut mengesahkan empat karyanya telah diturunkan selepas beliau mendapat notis rasmi daripada Balai Seni Negara pada 21 Januari dan pada 4 Febuari lalu, kesemua empat hasil karyanya telah diturunkan.

“Balai [Seni Negara] memberitahu empat karya yang diturunkan ialah tempelan poster-poster Anwar Ibrahim dengan mata lebam yang memenuhi salah satu dinding di ruang pameran; arca sosial berbentuk tujuh ekor babi dan gunung emas yang tercetus ideanya dari skandal kewangan melibatkan 1Malaysia Development Berhad; lukisan lelaki asia berbogel berbaring di gunung salji dan tiga imej pemimpin politik negara yang dicetak pada cermin iaitu imej Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Azmin Ali,” kata Ahmad Fuad kepada BeritaBenar pada lewat Isnin.

Beliau turut menyoal tindakan Balai Seni Negara itu, sedangkan karya-karya yang mahu dipamerkan sudah dibincangkan terlebih dahulu, diberikan kelulusan dan telahpun dipamerkan berbulan lamanya.

“Saya diberitahu bahawa keempat karya yang mempunyai maksud tersendiri telah dikeluarkan dari pameran kerana ada yang mengadu bahawa ianya lucah dan bersifat politik,” kata Ahmad Fuad.

Beliau berkata, “Seni kontemporari sentiasa mencabar norma dan sentiasa memberikan komentar berkaitan politik. Kenapa empat karya ini sahaja yang diturunkan? Kenapa yang lain tidak? Banyak lagi karya yang mencabar dalam pameran ini,”

Terdahulu itu, Ahmad Fuad yang tidak berpuas hati dengan tindakan Balai Seni Negara itu telah mengeluarkan surat terbuka kepada pengurusan balai berkenaan juga pada Isnin yang antara lain meluahkan rasa kecewanya kerana tindakan itu dilihat sebagai menyekat kreativiti seorang artis.

“Balai beritahu keputusan mereka berdasarkan aduan salah seorang ahli lembaga yang mengatakan karya tersebut lucah dan berbaur politik. Ini tidak masuk akal,” kata beliau dalam surat terbuka itu sambil menpersoal siapakah ahli lembaga yang memberi arahan tersebut.

"Kedudukan Balai (Seni Negara) mengenai perkara ini harus dinyatakan kepada awam. Harus ada akauntabiliti dan ketelusan. Alasan mesti dijelaskan, dipertahankan di khalayak ramai, dan tertakluk kepada penelitian dan perbahasan.

"Kita akan menyangka dalam Malaysia hari ini, selepas keputusan pilihan raya bersejarah yang digerakkan oleh permintaan rakyat atas dasar pertanggungjawaban dan ketelusan, institusi kebudayaan utama negaralah yang wajar menghargai dan menegakkan nilai-nilai ini,"

"Pada 7 Februari, saya menulis kepada Balai Seni Negara dengan menyatakan saya mendapati tindakan penapisan ini sangat merisaukan dan tidak dapat diterima. Ia adalah sewenang-wenangnya, tidak wajar dan menyalahgunakan kuasa institusi,” kata Ahmad Fuad dalam surat terbukanya.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad dalam kenyataan itu juga dipetik sebagai berkata “Pameran adalah merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran, proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita.”

Isu penurunan karya bukanlah suatu perkara yang mustahil di dalam proses berpameran di galeri tersebut.

“Balai Seni Negara tidak menyentuh kredibiliti pelukis dari segi komentar dan juga kebolehannya, walau bagaimanapun pihak Balai Seni Negara berpendapat karya-karya tersebut memerlukan bimbingan, penerangan dan pemahaman seni yang tinggi untuk dihayati supaya tidak disalah erti. Tindakan ini diambil merujuk kepada respon dan aduan masyarakat yang diterima,” kata kenyataan itu lagi.

“Prosedur Operasi Piawai (SOP) Balai Seni Negara dalam mana-mana perjanjian diantara Balai Seni Negara dan mana-mana pihak yang berpameran, menerangkan bahawa Balai Seni Negara berhak menurunkan karya-karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara,” kata kenyataan itu lagi.

Desak Balai Seni Negara tarik balik arahan

Berikutan pendedahan Ahmad Fuad, individu, artis dan aktivis sosial mendesak Balai Seni Negara untuk menarik balik keputusan mereka.

Perkara itu turut mencetuskan gerakan petisyen yang memanggil artis visual untuk menandatanganinya sebagai simbol solidariti bersama Ahmad Fuad serta menggesa Balai Seni Negara untuk meletakkan semula karya-karya tersebut sehingga tamat pameran.

Petisyen itu turut menggesa BSN menamakan individu yang meminta dan mengarahkan tapisan itu.

Amir Abdul Hadi, kordinator program bagi badan bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang memperjuangkan hak asasi manusia turut menyatakan kebimbangan atas kejadian tersebut dan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam pertadbiran Malaysia baharu yang menjanjikan kebebasan ekspresi.

“Kami bimbang dengan kejadian yang berlaku dan mendesak jawapan dari Balai Seni Negara kenapa karya itu di turunkan setelah diberikan kebenaran pada awal pameran.  Perkara ini tidak harus berlaku dalam pemerintahan kerajaan sekarang. Karya seni harus bebas dari sebarang bentuk gangguan. Artis sepatutnya tidak dikongkong,” kata beliau.

Manakala artis pelbagai disiplin, Chi Too berkata tapisan pada Fuad terjadi kerana ada orang yang lebih menjaga kepentingan sendiri dari artis dan seni itu sendiri.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.