Mahkamah Guantanamo Tetapkan Tarikh Praperbicaraan Suspek Pengeboman Bali

John Bechtel
2022.08.22
Washington
Mahkamah Guantanamo Tetapkan Tarikh Praperbicaraan Suspek Pengeboman Bali Kem Kehakiman di Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo, Cuba, kelihatan dalam foto ini yang telah disemak oleh pegawai tentera AS, 28 Ogos 2021.
(Alex Brandon/AP)

Seorang rakyat Indonesia dan dua rakyat Malaysia yang telah ditahan lebih 15 tahun di Teluk Guantanamo, Cuba berhubung pertuduhan keganasan dikaitkan dengan pengeboman Bali pada 2002, dijadual dibawa ke mahkamah untuk prosiding praperbicaraan pada akhir Oktober, umum pegawai pertahanan AS pada Isnin.

Jika semuanya berjalan lancar, rakyat Indonesia iaitu Encep Nurjaman (juga dikenali sebagai Hambali) serta dua rakyat Malaysia iaitu Nazir Bin Lep dan Farik Bin Amin akan hadir di mahkamah tentera di Guantanamo dari 31 Okt hingga 4 Nov – kehadiran kedua mereka sejak ditahan di Thailand pada 2003. Perbicaraan mereka akan berlangsung lebih dua minggu selepas ulang tahun ke-20 pengeboman Bali – serangan pengganas paling tragis dalam sejarah Indonesia.

Apabila ketiga-tiganya ditahan 19 tahun lepas, mereka telah ditahan ke beberapa ‘kawasan hitam’ rahsia yang dikendalikan oleh CIA sebelum dipindahkan ke penjara tentera AS di Cuba pada 2006, menurut laporan Senat AS pada 2014.


Mahkamah tentera dan Jabatan Pertahanan AS tidak mengeluarkan butiran terperinci mengenai perbicaraan yang dirancang untuk ketiga-tiga suspek, “yang didakwa bersama bagi peranan mereka dalam pengeboman di Indonesia pada 2002 dan 2003,” dalam notis kepada media yang berminat membuat liputan mengenai prosiding di Pangkalan Tentera Laut AS di Guantanamo.

Kali pertama mereka hadir ke mahkamah tentera ialah ketika ketiga-tiganya didakwa pada Ogos 2021. Ketika itu, peguam mereka mengemukakan bantahan di hadapan Hakim Hayes Larsen mengenai kualiti teruk audio terjemahan yang diterima oleh mereka dan anak guam mereka.

Dirujuk sebagai “musuh asing beligeren yang tidak mempunyai keistimewaan” dalam beberapa dokumen mahkamah, Nurjaman, Nazir dan Farik berdepan pertuduhan berkaitan pengeboman berganda yang meragut 202 nyawa di Bali pada Oktober 2002 serta pengeboman di Hotel J.W. Marriott di Jakarta pada 2003. Mereka tidak membuat sebarang pengakuan semasa dihadapkan ke mahkamah itu pada Ogos 2021.

Sebagai usaha memperbaiki mutu terjemahan, Larsen mengarahkan pihak pendakwaan tentera mengambil jurubahasa yang berkelayakan untuk prosiding mahkamah selanjutnya.

“Pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka memerlukan jaminan bagi membolehkan mereka menggunakan jurubahasa pertahanan yang dibekalkan oleh kerajaan masing-masing untuk komunikasi antara peguam dan pelanggan,” menurut Larsen dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada Januari menjelang prosiding praperbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada akhir Februari.

Sebagai respons kepada hakim itu, pihak pendakwaan menyatakan melalui dokumen yang difailkan pada 1 Feb bahawa mereka sedang mencari empat jurubahasa sepenuh masa iaitu dua bagi setiap bahasa.

“Memandangkan garis masa tidak menentu yang terlibat dalam pengambilan jurubahasa yang tidak mendapat pelepasan, adalah terlalu spekulatif untuk menganggarkan bila jurubahasa sepenuh masa akan diberi pelepasan sepenuhnya untuk membantu prosiding ini,” kata mereka.

James Hodes, yang mewakili Hambali, telah menyelar pihak pendakwaan dan berkata mereka mempunyai masa selama 18 tahun untuk melakukan melakukan persediaan berhubung kes terhadap anak guamnya, termasuk mengambil “jurubahasa mahkamah yang berkelayakan.”

“Ini adalah tugas anda dan anda telah gagal melakukannya,” kata beliau kepada BenarNews pada awal tahun ini ketika menyifatkan ketiadaan jurubahasa sebagai “penghalang besar dalam usaha mendapatkan perbicaraan yang adil.”

Hodes bagaimanapun tidak dapat dihubungi pada Isnin untuk mendapatkan komen beliau mengenai tarikh prosiding praperbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Pengebom diberikan parol di Indonesia

Pengumuman Pentagon itu dibuat sehari selepas kerajaan Indonesia berkata Umar Patek, yang disabitkan oleh sebuah mahkamah di negara itu pada 2012 kerana peranannya dalam pengeboman Bali dan dihukum penjara lebih 20 tahun, akan dibebaskan tidak lama lagi dengan parol. Pengumuman itu telah mencetuskan kemarahan pegawai kerajaan Australia kerana 88 rakyatnya terbunuh dalam insiden serangan bom tersebut.

Memandangkan Umar mendapat pengurangan tempoh hukuman selama lima bulan sempena Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos selain pengurangan yang diberikan sebelum ini, dia boleh dibebaskan beberapa hari lagi kerana telah menjalani tempoh hukuman yang melayakkannya mendapat parol, menurut para pegawai. Jika parol ditolak, dia akan meringkuk dalam penjara sehingga 2029, menurut laporan media.

“Kami harap dengan pembebasannya, kami boleh melibatkan Umar Patek dalam lebih banyak program deradikalisasi,” kata Akhmad Nurwahid, Pengarah Pencegahan di Agensi Counter-Terrorism Nasional Indonesia kepada BenarNews minggu lepas.

Ideologi Umar telah dilihat agak sederhana sejak dia berikrar untuk taat setia kepada Republik Indonesia di penjaranya di Sidoharjo, Jawa Timur, kata Akhmad.

Dyah Ayu Kartika, seorang penganalisis di Institut Analisis Dasar Konflik, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Jakarta serta mengkhusus kepada penyelidikan berkaitan terrorisme, berkata ketika berada dalam penjara, Umar telah bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dalam program deradikalisasi.

“Dia telah banyak membantu kerajaan (Indonesia) termasuk menjadikan isterinya (seorang rakyat Filipina) sebagai rakyat Indonesia. Ini juga adalah faktor yang penting bagi deradikalisasi beliau,” katanya.

Kusumasari Ayuningtyas di Klaten, Indonesia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.