Follow us

Ahli Perniagaan Malaysia Harap Anak Perempuan Dikaitkan Dengan IS Dapat Kembali Dari Syria

Amy Chew
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-02-28
E-mel
Komen
Share
Anggota tentera mengawal keadaan di sebatang jalan di Deir ez-Zor, Syria, 15 Sept 2017.
Anggota tentera mengawal keadaan di sebatang jalan di Deir ez-Zor, Syria, 15 Sept 2017.
[AP]

Lebih empat tahun telah berlalu sejak Lidia, seorang juruteknik perubatan rakyat Malaysia, hilang dari rumah bersama bayi lelaki dan suaminya.

Graduan universiti yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin itu, kini berusia 29 tahun adalah antara 102 rakyat Malaysia yang meninggalkan negara untuk berhijrah ke Syria atau Iraq dan tinggal dengan kumpulan pelampau Negara Islam (IS) yang digelar khalifah.

Minggu lepas bapanya, seorang ahli perniagaan dari negeri Johor, berkata beliau telah menerima satu teks daripada Lidia memaklumkan beliau bahawa dia telah meninggalkan wilayah IS di timur laut Syria dan ingin kembali ke tanah air. Wanita itu adalah antara enam rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan IS yang masih berada di Timur Tengah namun telah meluahkan hasrat ingin kembali ke tanah kelahiran mereka, kata polis.   

“Ketika ini beliau berlindung di kem Al-Hol di al-Hasakah,” kata bapanya yang enggan dikenali kepada BeritaBenar dalam satu temu bual menerusi telefon. Lidia adalah nama sebenar anak perempuannya namun beliau enggan memberikan nama penuh dan meminta agar ia dirahsiakan atas alasan keselamatan.

“Dia telah berjalan selama lima hari bersama dua anak lelakinya, kini berusia dua dan empat tahun, untuk tiba di kem itu dari Mayadin. Seorang lagi rakyat Malaysia bernama Aisyah turut melakukan perjalanan itu dengannya,” tambah bapa Lidia.

Al-Mayadin adalah sebuah pekan dalam kawasan gabenor Deir ez-Zor di mana anggota IS rakyat Malaysia dipercayai bersembunyi, menurut Polis Diraja Malaysia.

Selama bertahun-tahun, bapanya telah merayu agar dia kembali ke tanah air, namun tidak dihiraukan.

“Saya percaya dia kini ingin pulang kerana kedua-dua suaminya telah meninggal dunia,” kata bapa Lidia.

“Dia juga ada berkata terdapat banyak serangan bom di sekitar rumahnya,” tambah bapanya lagi.

Bapa dan anak perempuan itu hanya berkomunikasi sekali sekala sejak anaknya meninggalkan Malaysia, dan mesej teks baru-baru ini adalah yang pertama dihantar selepas lebih enam bulan, kata ahli perniagaan tersebut.

“Dia baru sahaja mendaftarkan diri dengan Palang Merah. Saya harap beliau akan pulang ke tanah air bersama kedua-dua anak lelakinya dengan selamat,” katanya.

Lidia meninggalkan Malaysia pada Oktober 2014, beberapa bulan selepas melahirkan anak sulung yang hanya tiga kali pernah dilihat oleh bapanya.

Bapanya langsung tidak tahu bahawa dia akan meninggalkan negara.

“Suami beliau yang membawanya ke sana. Dia tidak faham apa itu IS sebelum ini,” katanya.

Selepas suami pertamanya terkorban, Lidia enggan pulang ke tanah air meskipun dirayu bapanya. Dia kemudiannya berkahwin lain. Suami keduanya juga telah terbunuh.

Lidia adalah antara ribuan rakyat asing dan keluarga yang menyertai Negara Islam, namun kini melarikan diri daripada serangan bertubi-tubi ke atas benteng terakhir kumpulan ekstremis itu di Syria.

Kem al-Hol di kawasan gabenor al-Hasakah yang terletak di timur laut Syria berada di bawah penguasaan Kurdish.

“Dia mempunyai makanan dan tempat untuk berlindung. Bagaimanapun tempat itu tidak selesa untuk beliau dan anak-anak lelakinya. Dia ingin pulang ke tanah air secepat mungkin,” kata bapa Lidia.

Syriamap2-01.jpg

 

‘Satu pengajaran untuk dia’

Polis Malaysia berkata mereka kini berusaha membawa pulang sekurang-kurangnya enam anggota IS rakyat Malaysia, yang kini terkandas di Syria yang mahu kembali ke tanah air.

“Kami sedang cuba untuk membawa mereka pulang. Tetapi anda tahu situasi di sana adalah sukar kerana ia membabitkan banyak pihak dari negara berbeza,” kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua bahagian anti-keganasan di Cawangan Khas, kepada BeritaBenar.

Cawangan Khas adalah cabang risikan Polis Diraja Malaysia.

Daripada sejumlah 102 rakyat Malaysia yang berhijrah ke Syria dan Iraq sejak 2013 untuk menyertai Negara Islam (IS), 40 orang telah terbunuh dalam pertempuran atau atas sebab lain, termasuk enam terlibat dalam pengeboman bunuh diri manakala 11 lagi telah pulang ke tanah air, kata Ayob.

Sejumlah 51 rakyat Malaysia, termasuk Lidia dan 17 kanak-kanak lagi, masih berada di Syria, menurut seorang pegawai tinggi polis.

Ditanya sama ada mereka yang kembali akan dipenjara, ketua cawangan anti-keganasan itu berkata setiap kes akan dinilai secara individu dan tidak semua yang pulang akan dihukum.

“Bagaimanapun mereka perlu menjalani program pemulihan dan deradikalisasi,” kata Ayob.

Bagi bapa Lidia, beliau hanya ingin anaknya dibawa pulang meskipun ini bermakna dia mungkin terpaksa meringkuk dalam penjara.

“Saya tidak kisah dengan kemungkinan bahawa dia akan ditahan. Saya hanya ingin dia pulang ke tanah air dan melihat cucu-cucu saya,” kata bapanya.

“Biarlah pengalamannya semasa hidup di bawah IS menjadi satu pengajaran buat dia. Kini telah terbukti bahawa Malaysia adalah lebih baik daripada kerajaan Khalifah IS. Kini dia boleh membuat perbandingan itu,” katanya kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh