Malaysia Teruskan Projek Berbilion Ringgit Yang Dikaitkan Dengan China

Hadi Azmi
2019.04.19
Kuala Lumpur, Malaysia
190419-MY-CH-Bandar1000.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa menjawab soalan pada sidang media di bangunan Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, 19 April, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia akan meneruskan projek hartanah berbilion ringgit yang dihentikan dua tahun lepas dengan pembinaannya diteruskan oleh kontraktor asal, termasuk syarikat milik China, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Jumaat sebelum lawatannya ke Beijing.

Mahathir berkata anggota kabinetnya telah memutuskan untuk meneruskan semula projek Bandar Malaysia seluas 486 ekar (197 hektar) dengan pembangunan bercampur di Kuala Lumpur yang kosnya dijangka mencecah 140 bilion ringgit (AS$33.8 bilion).

"Selepas perbincangan sewajarnya, kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan Bandar Malaysia," kata Mahathir kepada pemberita.

Projek itu termasuk pembinaan 10,000 unit rumah kos rendah dan taman rakyat. Rancangan awalnya untuk menempatkan terminal utama bagi laluan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, adalah antara perjanjian infrastruktur yang dibatalkan oleh kerajaan Mahathir tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Najib Razak pada pilihan raya umum Mei 2018.

Mahathir membuat pengumuman itu beberapa hari selepas kerajaannya menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disokong oleh China setelah kontraktor bersetuju mengurangkan satu pertiga daripada kosnya kepada 44 bilion ringgit (AS$11 bilion).

Perdana menteri itu berkata projek Bandar Malaysia dikembalikan kerana ia dapat meningkatkan pelaburan asing dan memperkukuh hubungan ekonomi dengan Beijing, sambil merujuk rundingan semula ECRL yang ditandatangani dengan China pada 12 April.

"Kedua-dua projek utama ini juga akan menjadi sumbangan penting kepada Inisiatif ‘Belt and Road’ yang mana Malaysia berharap akan turut mendapat manfaat daripadanya," kata Mahathir, merujuk kepada inisiatif besar-besaran China, One Belt One Road (OBOR) yang membiayai dan membina projek infrastruktur di seluruh dunia.

"Ia akan menarik institusi kewangan utama dunia dan syarikat multinasional," katanya sambil menamakan gergasi teknologi China seperti Alibaba dan Huawei sebagai antara yang menunjukkan minat untuk membuka pejabat mereka di Bandar Malaysia.

Mahathir dijangka bertemu pemimpin China Xi Jinping semasa forum kedua OBOR di Beijing minggu depan. Menteri Luar China Wang Yi berkata forum itu akan menghimpunkan 37 ketua negara dan kerajaan.

Najib Razak, bekas pemimpin negara yang mula-mula meluluskan perjanjian Bandar Malaysia pada 2011, menyindir pengumuman Mahathir mengenai pengembalian semula projek itu.

"Jadi adakah ini bermakna bahawa negara telah dijual? Adakah projek itu telah ditipu? Tunduk  kepada China? " kata Najib di laman Facebooknya selepas Mahathir membuat pengumuman itu.

"Mereka mengatakan semua ini kepada kerajaan terdahulu," katanya, merujuk kepada kritikan yang dilemparkan terhadap tawaran kerajaannya kepada China yang dilemparkan oleh Pakatan Harapan pimpinan Mahathir. "Sekarang kita boleh tanya mereka perkara yang sama."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.