Banduan akhir kini boleh rayu hukuman di mahkamah
2023.09.11
Kuala Lumpur
Lebih 1,000 banduan yang sedang menanti hukuman mati atau berhadapan dengan pemenjaraan sepanjang hayat kini boleh membuat permohonan hukuman yang lebih ringan bermula pada Selasa, demikian diumumkan Menteri Undang-Undang Malaysia, dengan langkah tersebut merupakan usaha awal kerajaan untuk memansuhkan hukuman mandatori secara total.
Pakar perundangan dan aktivis menyifatkan pengumuman tersebut sebagai inisiatif yang membawa Malaysia menuju ke arah norma hak asasi manusia di peringkat antarabangsa, namun pada masa yang sama mengingatkan bahawa semakan ke atas kes setiap individu adalah sesuatu yang rumit dan mengambil masa lama.
Seramai 1,020 banduan layak untuk memfailkan semakan bagi hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka, kata Menteri Undang-Undang Malaysia Azalina Othman pada Isnin.
“Jemaah Menteri telah bersepakat meluluskan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah yang berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat pada 30 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan media.
“Keutamaan akan diberikan berdasarkan faktor usia, tahap kesihatan dan tempoh hukuman penjara yang telah dijalani oleh banduan berkenaan, antara pertimbangan lain,” jelas Azalina.
Sidang Parlimen Malaysia pada April telah meluluskan pemansuhan hukuman mati mandatori serta pemenjaraan sepanjang hayat, dengan menyatakan bahawa hukuman mati sebagai langkah pencegahan tidak mampu mengurangkan kadar jenayah.
Namun demikian, para hakim masih diberikan pilihan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka yang disabitkan dengan 11 jenis kesalahan termasuk kes bunuh dan keganasan.
Kini terpulang kepada mahkamah untuk mengikut jejak kerajaan dalam menyampaikan mesej bahawa hukuman mati bukanlah komponen yang diperlukan dalam sistem perundangan jenayah di Malaysia, kata Dobby Chew, seorang penyelaras eksekutif di The Anti-Death Penalty Asia Network.
“Kita juga harus melihat isu dadah yang menyumbang kepada dua pertiga daripada bilangan banduan hukuman mati,” katanya kepada BenarNews.
“Kaedah menghukum yang diguna pakai dalam menangani isu penyalahgunaan dan pemerdagangan dadah hanya membawa kepada kesesakan di dalam penjara selain lonjakan kes berkaitan dadah secara berterusan di Malaysia.”
Sementara itu, peguam jenayah K.A Ramu memuji proses permohonan semakan hukuman itu yang secara tidak langsung memberikan peluang kedua kepada individu yang telah pun bertaubat atau sebelum ini dimanipulasi oleh pihak lain untuk melakukan jenayah. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tindakan meringankan hukuman semata-mata tidak boleh mengatasi isu yang lebih besar.
“Dalam mengekang seseorang daripada melakukan jenayah berat seperti pembunuhan dan pemerdagangan dadah, kerajaan harus menangani faktor-faktor yang menjurus ke arah perbuatan tersebut seperti menumpaskan sindiket yang memanipulasi mereka yang kurang berpendidikan untuk dijadikan keldai dadah,” katanya kepada BenarNews.
Harapan Baharu
Adik perempuan kepada seorang banduan akhir menyifatkan pengumuman kerajaan mengenai perkara itu sebagai sinar harapan yang membolehkannya bersatu semula dengan abangnya, yang telah menghabiskan masa selama 20 tahun sembilan bulan di sebalik tirai besi.
Abangnya itu baru berusia 23 tahun apabila dijatuhkan hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, kata Amelia yang enggan memberikan nama penuhnya.
“Ketika ditahan, abang saya baru berusia 20-an,”katanya.
“Amat menyedihkan apabila mengenangkan betapa lama sisa usianya dihabiskan di dalam penjara.
“Ibu kami meninggal dunia dua tahun lalu tanpa sempat melihatnya untuk kali yang terakhir. Itulah saat yang paling memilukan bagi kami semua.”
Amelia berkata bapanya kini berusia 77 tahun dan mengalami masalah kesihatan.
“Ia merupakan suatu rahmat seandainya abang saya dapat pulang ke pangkuan kami sekeluarga,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Bagaimanapun, Chew berpendapat bahawa pengendalian proses permohonan tersebut akan menjadi sukar bagi ramai banduan dan ahli keluarga mereka.
“Sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan mereka yang menunggu untuk disemak semula hukumannya akan melalui pelbagai proses seperti semakan semula fail selain mengenal pasti faktor mitigasi yang direkodkan semasa hukuman terdahulu dijatuhkan. Selain itu, terdapat juga keperluan untuk menganalisis kesihatan mental dan fizikal mereka,” katanya kepada BenarNews.
Kita juga harus mengambil kira kebarangkalian adanya isu tambahan yang berbangkit ketika prosiding di Mahkamah Rayuan berlangsung, yang mana akan semakin merumitkan lagi proses semakan hukuman, katanya.
Azalina berkata khidmat guaman dari pihak mahkamah atau Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan diberikan kepada banduan yang tidak berkemampuan untuk membayar khidmat peguam.
Inisiatif semakan hukuman ini jelas menunjukkan prinsip ‘keadilan restoratif’ sentiasa dipelihara di Malaysia dan Kerajaan Perpaduan prihatin dalam memberikan peluang kedua kepada banduan,” katanya.
Pada Mac, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang Parlimen memberitahu bahawa seramai 78,236 banduan ditahan di penjara seluruh Malaysia, yang mana melebihi kapasiti hampir 6,000 tahanan.