Percutian Keluarga Tukar Tragedi
2015.08.18

Percutian keluarga dari Butterworth, Pulau Pinang ke Thailand, bertukar menjadi tragedi apabila empat daripada mereka, iaitu seorang ibu, anak lelaki, menantu lelaki serta cucunya terbunuh dalam satu serangan bom di tengah bandaraya Bangkok pada Isnin.
Dalam kejadian pada petang Isnin itu, 19 orang awam termasuk lima pelancong asing terkorban dan 117 lagi cedera apabila sebuah bom meletup di sebuah kuil Hindu, Erawan Shrine di Rajaprasong Intersection, Bangkok.
Siasatan awal menunjukkan serangan itu melibatkan bom paip dipercayai diletakkan di dalam kuil berkenaan - terletak di tengah-tengah kawasan pelancongan, kompleks membeli belah dan hotel-hotel di Bangkok.
Jiran keluarga dari Malaysia yang terbabit, Lim Gim Seong, yang telah mengenali keluarga itu selama 10 tahun berkata, dia amat terkejut apabila mendapat tahu tentang berita yang menyedihkan itu.
Beliau memberitahu media yang Lee Tze Siang, 35, bersama isterinya, Neoh Yee Ling, 33, yang sedang mengandung lima bulan, serta anak perempuan pasangan itu, Lee Jing Xuan, 4, berlepas ke Bangkok dengan menaiki keretapi pada Sabtu lalu, untuk bercuti dan dijadualkan pulang ke Pulau Pinang pada Selasa.
Empat lagi ahli keluarga yang turut bersama mereka adalah ayah Yee Ling, Neoh Hock Guan, 55, ibunya Lim Saw Gek, 49, dan adiknya Neoh Jai Jun, 20, serta ibu saudaranya, Lim Saw See, 52.
Kesemua empat mangsa yang terbunuh ialah Lim Saw Gek (ibu), Neoh Jai Jun (anak lelaki), Lee Tze Siang (menantu lelaki) dan Lee Jing Xuan (cucu).
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussain ketika dihubungi BeritaBenar berkata, “Dua lagi yang disahkan terkorban ialah Lee Tze Siang dan anak perempuannya Lee Jing Xuan, juga dari keluarga yang sama (Lim Saw Gek dan Neoh Jai Jun) yang telah disahkan oleh Wisma Putra. ”
Wisma Putra dalam kenyataan terbaru berkata,"Kementerian dengan ini mengesahkan kematian dua lagi rakyat Malaysia berikutan kejadian letupan bom di daerah Ratchaprasong, Thailand pada 17 Ogos, menjadikan jumlah kematian melibatkan rakyat Malaysia kepada empat.
“Mayat Lee Tze Siang dan anak perempuannya, Lee Jing Xuan kini berada di Police General Hospital dan Chulalongkorn Hospital di Bangkok untuk proses bedah siasat," menurut kenyataan media tersebut.
Kenyataan sama juga menyebut, jumlah rakyat Malaysia yang tercedera dalam kejadian itu telah meningkat kepada tiga orang dan mereka sedang mendapat rawatan di hospital di Bangkok.
Tiga orang mangsa yang cedera ialah Tan Rui Hun dan Tan Kim Siok, dan Neoh Hock Guan.
"Pihak Kementerian Luar juga telah membuka bilik operasi di Bangkok dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui pejabat Kedutaan Malaysia," menurut kenyataan media itu.
Dalam pada itu, Gim Seong berkata keluarga tersebut merancang bercuti ke Bangkok, sempena kepulangan Jai Jun, pelajar sebuah universiti di Taiwan yang sedang bercuti.
Menurutnya lagi, Yee Ling yang terselamat dalam serangan bom itu telah menghubungi adiknya Neoh Hui Sin bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
"Yee Ling berkata hanya dia dan bapa mereka (Hock Guan) terselamat, tetapi Hock Guan mengalami kecederaan ringan di belakang dan lengan kanan," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga tersebut di Taman Dedap, Butterworth.
Perbuatan kejam
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam reaksinya mengecam insiden berkenaan dan menganggapnya sebagai perbuatan kejam ke atas orang awam yang tidak berdosa.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut mengecam serangan berkenaan dan melahirkan rasa sedih di atas kehilangan nyawa yang melibatkan rakyat Malaysia.
"Kita berharap keluarga mereka terus tabah. Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan bantuan bagi keluarga mangsa di waktu sukar ini," katanya pada Selasa.
Pihak berkuasa Thailand berkata terlalu awal untuk mengesahkan sama ada serangan tersebut bermotifkan politik atau perbuatan kumpulan pengganas.
Ketua polis Thai Pol. Gen. Somyos Poompanmuang dilaporkan sebagai berkata serangan itu sememangnya bertujuan untuk membunuh seramai mungkin mangsa.
Menurut media tempatan, Timbalan Perdana Menteri Thai yang juga Menteri Pertahanan Prawit Wongsuwan berkata, serangan itu bertujuan melemahkan ekonomi negara berkenaan, termasuk sektor pelancongan yang muncul sebagai antara sektor yang sedang berkembang pesat di Thailand.
"Adalah jelas mereka (kumpulan penyerang) berniat mahu melumpuhkan ekonomi dan sektor pelancongan kerana ia berlaku betul-betul di kawasan pusat perniagaan," lapor Bangkok Post.
Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini