Malaysia Masih Menunggu Maklumat Dari Bangladesh
2015.09.18
Polis Malaysia masih menunggu maklumat dari Bangladesh mengenai penangkapan beberapa anggota sindiket termasuk “Raja” penyeludupan manusia di negara itu baru-baru ini.
“Polis Malaysia belum mendapat sebarang maklumat dari pihak berkuasa Bangaladesh, kita akan jalankan siasatan sekiranya punya maklumat” kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi BeritaBenar semasa meminta mengulas mengenai penahanan itu, pada lewat petang Jumaat di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, seorang pegawai polis Teknaf, Ataur Rahman Khandakar memberitahu BeritaBenar bahawa, mereka telah menahan penyeludup utama sindiket pemerdagangan manusia yang dikenali sebagai Asyraf Dil Mohammad, 45 dan Mohammad Yunus, 40 di sekitar Shah Porir Dip di daerah Teknaf pada 12 Sept lepas.
Ataur berkata, Asyraf Dil didapati mempunyai tiga kes pemerdagangan manusia melibatkan perjalanan dari Thailand ke Malaysia, dan turut terlibat dalam penyeludupan beratus-ratus warga Bangladesh dan Rohingya.
Katanya selain itu, lelaki tersebut juga menjalankan sindiket memperdagangkan manusia melibatkan warga Islam Rohingya dari Myanmar yang mahu ke Bangladesh sejak tahun 1990-an lagi.
Beliau berkata, Asyraf Dil juga didapati sering berulang-alik ke Thailand dan Malaysia berkaitan urusan “perniagaannya” itu.
Ataur berkata, Mohammad Yunus pula mempunyai sekurang-kurangnya lima kes sindiket pemerdagangan manusia itu.
“Dil Mohammad adalah orang yang paling dikehendaki Polis Malaysia dan Thailand dan semasa di Bangladesh, dia dan Yunus merupakan dua penyeludup utama dalam senarai Kementerian Dalam Negeri Bangladesh,” katanya.
Pada Khamis Agence France-Presse (AFP) melaporkan Polis Bangladesh menahan seorang ‘raja’ pemerdagangan manusia dalam satu tindakan tegas terbaru terhadap penyeludup, di tengah-tengah kebimbangan tentang kemunculan semula sindiket yang mencetuskan krisis migran serantau awal tahun ini.
Polis negara itu, telah menahan sekurang-kurangnya 20 penyeludup pada bulan lalu termasuk Asyraf Dil Mohammad yang didakwa memainkan peranan utama pemerdagangan manusia pada hujung minggu lalu di bandar penyeludupan selatan Teknaf yang bersempadan dengan Myanmar.
AFP melaporkan Inspektor polis Teknaf Kabir Hossain sebagai berkata, Asyraf Dil ditahan selepas tiba di Bangladesh dari Malaysia.
“Asyraf Dil sememangnya dikehendaki di Malaysia dan Thailand kerana menyeludup beratus-ratus warga Bangladesh miskin ke Malaysia dengan menggunakan bot-bot usang di Teluk Bengal," kata Hossain kepada AFP.
Bangladesh menyasarkan para penyeludup pada Mei lalu selepas Rohingya yang dianiaya dari Myanmar dan migran ekonomi dari Bangladesh ditinggalkan di lautan ketika mereka dalam perjalanan ke Asia Tenggara.
Satu tindakan keras oleh Thailand telah merungkai rangkaian penyeludupan manusia yang menyaksikan ribuan migran yang terkandas di lautan luas dan dibuang di kem-kem hutan.
Sembunyikan diri
Para penyeludup Bangladesh yang menyembunyikan diri mereka pada masa itu, telah pulang ke kampung mereka selepas berakhirnya musim monsun.
"Secara beransur-ansur para penyeludup yang melarikan diri itu kembali ke kampung mereka selepas berakhirnya musim monsun," kata Hossain.
Dengan laut dijangka lebih tenang dalam beberapa minggu akan datang, pakar-pakar berkata para penyeludup itu bersedia memulakan semula pelayaran ke Thailand dan Malaysia.
"Para penyeludup itu mengumpul tenaga untuk kembali memulakan perniagaan mereka. Kami menerima laporan bahawa operasi akar umbi mereka semakin aktif," kata Shakirul Islam, pakar penghijrahan, kepada AFP.
Krisis pada Mei lepas menarik perhatian ramai terhadap industri penyeludupan manusia yang berkembang pesat dengan mencari mangsa daripada kalangan beribu-ribu orang yang terdesak untuk melarikan diri daripada kitaran kemiskinan di Bangladesh atau penganiayaan di Myanmar.
Pada Mei, polis Bangladesh berkata, mereka menembak mati empat orang penyeludup semasa insiden berbalas tembakan dan menahan 90 yang lain berikutan penemuan kubur-kubur migran di Thailand dan Malaysia.
Hata Wahari di Kuala Lumpur dan Shahriar Sharif di Dhaka menyumbang untuk laporan ini.