Malaysia Tidak Mempunyai Angka Mutlak Bilangan Pekerja Bangladesh

Fahirul N. Ramli
2016.02.11
160211-my-bangla620 Beberapa buruh sedang menjalankan kerja di atas bumbung sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur, 13 Mei 2010.
AFP

Malaysia mungkin tidak akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh pada tahun akan datang, kerana masih tidak mempunyai angka mutlak bilangan sebenar, selepas pentadbiran Putrajaya mendapat bantahan daripada kumpulan masyarakat sivil di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang Khamis menyebut “tiada satu angka mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kerana ianya bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat,”

“Pengambilan pekerja Bangladesh adalah tertakluk kepada permintaan industri dengan konsep permintaan dan penawaran.... Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas di dalam media sebenarnya merupakan jumlah rakyat negara itu yang berdaftar dengan Kerajaan Bangladesh untuk tujuan pekerjaan,” kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu bagaiamanapun dilihat sedikit bercanggah dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, pada Jun tahun lepas yang antara lain berkata, Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun untuk menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Dalam pada itu, pada Isnin lalu Kabinet Bangladesh telah meluluskan draf perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus), untuk menghantar 1.5 juta pekerja dalam tempoh tiga tahun.

Setiausaha Kabinet Bangladesh Shafiul Alam berkata, kerajaan negara itu telah meluluskan draf perjanjian itu yang sekaligus membolehkan agensi swasta di negara berkenaan menjalankan proses penghantaran 1.5 juta pekerja secara berperingkat bagi tempoh yang ditetapkan.

Malaysia pernah menandantangi perjanjian G2G dengan Bangladesh pada tahun 2012 dengan jumlah kemasukan seramai 50,000 pekerja, namum selepas tiga tahun, rekod menunjukkan hanya sekitar 10,000 pekerja dibawa masuk ke Malaysia.

Antara punca utama kegagalan program itu dipercayai disebabkan ramai pekerja Bangladesh menjadi mangsa penipuan agensi tenaga kerja di negara itu atau terperangkap dengan sindiket penyeludupan manusia.

Selain itu, kegagalan perjanjian berkenaan juga dikatakan berpunca daripada pekerja Bangladesh yang dibawa masuk tidak mengetahui mereka akan ditempatkan di sektor perladangan - mereka bukan sahaja tidak ada kemahiran tetapi tidak menggemari pekerjaan tersebut, menyebabkan ramai daripada mereka memutuskan untuk pulang ke tanah air.

‘Bukan keputusan kerajaan’

Terdahulu itu dalam satu sidang media di Putrajaya pada Khamis,  Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menafikan pengambilan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh ke Malaysia adalah keputusan kerajaan, ia sebaliknya di atas permintaan "industri bagi sektor yang dibenarkan, persatuan dan dewan perniagaan".

Katanya, hanya majikan di kalangan ahli-ahli industri di Malaysia yang memenuhi syarat yang ditetapkan layak memohon tenaga kerja asing dari Bangladesh yang perlaksanaan akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Tidak... tidak semua akan masuk secara serentak, selain perlu mematuhi undang-undang buruh asing yang sedia ada, hanya mereka yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh akan dibenarkan bekerja di Malaysia,” tambah beliau.

‘Tangguh kenaikan kadar levi’

Ahmad Zahid memberitahu, Kementerian Sumber Manusia akan memuktamadkan mengenai perjanjian itu, antara Malaysia dan Bangladesh di Dhaka pada 18 Februari ini, sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perlaksaaan kadar baru levi pekerja asing buat sementara iaitu sehingga pertemuan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dengan wakil indutri berlangsung pada 20 Feb ini.

Sementara itu, pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan mengenai melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mulai 15 Febuari ini, yang sekaligus membolehkan kira-kira dua juta pekerja asing haram, yang berada di Malaysia boleh memiliki permit kerja yang sah.

Beliau berkata, fasa pertama program itu akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai tarikh berkenaan, dengan memberi peluang kepada pekerja asing haram mendaftar melalui talian tanpa melalui agen pekerjaan untuk mendapatkan permit sah mereka.

Kedua-dua pengumuman yang dibuat kerajaan itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat sivil di Malaysia dengan Perkasa, sebuah kumpulan pendesak orang Melayu, berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

"Bagaimana dengan penduduk tempatan? Kadar pengangguran terus meningkat. Kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas dan tegas.,” kata Presiden Perkasa Ibrahim Ali dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) mengancam untuk mengadakan demonstrasi di hadapan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh jika kerajaan Malaysia tidak menarik keputusan dalam tempoh sebulan.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata kemasukan pekerja Bangladesh itu akan menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan dan ramai rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

“Kerajaan patut berhenti memberi alasan orang Melayu malas sebaliknya orang Cina, India turut memilih pekerjaan dan dalam isu ini, IKHLAS lihat orang politik cuba mengambil peluang” katanya.

Ridzuan juga mendakwa, jumlah pekerja asing di Malaysia akan mencecah 11.2 juta jika kerajaan meneruskan program penggajian semula serta meneruskan program pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Bursa Malaysia pada Khamis memaklumkan, MY E.G. Service Bhd (MyEG), sebuah agensi kerajaan telah menerima surat pelantikan daripada KDN berkaitan pengurusan program penggajian semula pekerja asing tanpa izin yang akan berkuatkuasa dari 15 Feb hingga 15 Ogos.

Haireez Azeem dan Suhana Osman turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.