Kapal Pukat Tunda Bawa 500 Rohingya Dilihat Berhampiran Pantai Bangladesh

Sharif Khiam & Abdur Rahman
2020.04.22
Dhaka dan Cox's Bazar, Bangladesh
200422-BD-rohingya-620.jpg Seorang etnik Rohingya menunggu di luar pusat transit Bangladesh-Myanmar di Teknaf, dalam daerah Cox’s Bazar, Bangladesh, sebelum menaiki sebuah trak untuk dibawa ke sebuah kem pelarian, 16 April 2020.
[Abdur Rahman/BeritaBenar]

Bot-bot nelayan yang membawa beratus-ratus pelarian Rohingya telah dilihat berhampiran bahagian tenggara Bangladesh dan belayar ke arah pantainya, kata seorang komander polis sempadan tempatan pada Rabu, semasa Amnesty International menggesa negara Asia Selatan itu agar menyelamatkan mereka.

Nelayan memberitahu Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) dan pihak berkuasa pengawal pantai bahawa mereka telah melihat dua kapal pukat tunda yang penuh sesak dengan pelarian Rohingya di selatan Teknaf, sebuah subdaerah di Cox’s Bazar, yang terletak berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar.

“Kapal-kapal pukat tunda membawa pelarian Rohingya datang ke arah Bangladesh. Rondaan di kawasan sempadan dan sepanjang pantai telah dipertingkat selepas menerima laporan itu,” kata Leftenan Kolonel Mohammad Faisal Hassan Khan, komander Batalion 2 BGB Teknaf kepada BeritaBenar. “Penduduk tempatan diminta berada dalam keadaan berjaga-jaga agar tiada pelarian baharu Rohingya boleh masuk.”

Terdahulu pada hari sama, pemantau hak asasi global Amnesty International (AI) telah menggesa Bangladesh agar membenarkan kira-kira 500 pelarian Rohingya yang menaiki bot-bot itu memasuki pantai negara itu. Dalam satu kenyataan, AI berkata kedua-dua kapal tunda terbabit telah dihalang memasuki Malaysia susulan kebimbangan mengenai wabak koronavirus.

“Berbeza dengan sikap tidak berperikemanusiaan beberapa kerajaan negara lain, yang secara aktif menghalang kemasukan bot-bot terbabit, Bangladesh telah mengekalkan rekod positifnya dalam memberikan perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan menderita akibat jenayah kejam,” kata Biraj Patnaik, pengarah kumpulan itu di Asia Selatan.

“Kami berharap Bangladesh akan terus menerima pelarian Rohingya pada waktu-waktu yang sukar ini. Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa Bangladesh dalam tugasan ini, termasuk membantu usaha menubuhkan pusat-pusat kuarantin dan menyediakan bantuan perubatan segera yang diperlukan kepada pelarian untuk pulih daripada perjalanan itu serta melindungi mereka daripada penularan virus COVID-19,” tambahnya.

Meskipun terdapat laporan daripada nelayan, komander yang bertugas di stesen pengawal pantai Teknaf berkata tiada kapal pukat tunda dikesan.

“Beberapa orang berkata mereka boleh melihatnya berhampiran Pulau Shahpari,” kata Leftenan Komander M. Sohel Rana kepada BeritaBenar, merujuk kepada sebuah pulau yang terletak di selatan Teknaf.

Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian Bangladesh Mahbub Alam Talukder juga berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai kapal-kapal pukat tunda itu.

“Peranan saya ialah bagi memastikan bantuan kemanusiaan jika seseorang datang ke Bangladesh atau kem-kem pelarian kami. Pada akhirnya, jika ada sesiapa yang datang ke sini, kami akan menjaga mereka,” katanya kepada BeritaBenar.

Asif Munir, seorang penganalisis hal ehwal imigresen dan pelarian, menyalahkan kumpulan penyeludupan manusia antarabangsa dalam kemelut yang dihadapi pelarian terbabit.

“Kegagalan untuk mengenal pasti dan membanteras mereka bukanlah kegagalan mana-mana negara, ia adalah kegagalan pasukan polis antarabangsa termasuk Interpol,” katanya kepada BeritaBenar. “Penyeludupan manusia adalah masalah multinasional yang memerlukan tindakan bersepadu dan jangka panjang.”

Beratus-ratus diselamatkan

Laporan mengenai penampakan bot-bot itu dibuat seminggu selepas pihak berkuasa Bangladesh pada 15 April menyelamatkan hampir 400 pelarian Rohingya, yang menceritakan kisah-kisah menakutkan kerana terpaksa berada di laut di atas sebuah kapal pukat tunda selama hampir dua bulan selepas tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

“Mereka kelaparan... Mereka hanyut selama 58 hari dan sejak tujuh hari lepas (bot-bot itu) telah bergerak ke arah kawasan perairan kita,” kata Sohel Rana, komander pengawal pantai kepada BeritaBenar ketika itu.

Mereka yang terselamat berkata berpuluh-puluh orang maut dan jasad mereka telah dibuang ke laut selepas upacara solat jenazah dilakukan.

Pada hari berikutnya, Tentera Udara Diraja Malaysia mengumumkan bahawa pasukan keselamatan itu telah menghalang percubaan sebuah lagi kapal pukat tunda yang membawa kira-kira 200 pelarian Rohingya untuk memasuki negara itu.

Ia berkata pasukan udara itu telah memaklumkan tentera laut yang menghantar beberapa kapalnya untuk mengiringi kapal tunda tersebut keluar dari perairan Malaysia selepas memberikan bantuan makanan atas “dasar perikemanusiaan.”

Sebelum ini, para pegawai Malaysia berkata mereka telah menahan 202 pelarian Rohingya pada 5 April selepas bot mereka didapati hanyut berhampiran Pulau Langkawi yang terletak di bahagian utara, menurut laporan media. Kesemua pelarian telah diserahkan kepada jabatan imigresen.

Pada 31 Mac, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah memintas sebuah bot yang membawa hampir lima dozen pelarian Rohingya berhampiran pulau sama.

Para pegawai APMM ketika itu berkata pelarian Rohingya terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana mereka ditemui dalam kawasan perairan Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Mereka juga berkata bahawa mereka telah memberikan kelonggaran dalam kes itu atas dasar kemanusiaan.

Amnesty berkata negara terbabit tidak seharusnya menggunakan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pelarian.

“Semua negara di rantau ini mempunyai tanggungjawab bagi memastikan bahawa laut tidak akan menjadi kubur kepada mereka yang mencari perlindungan. Bangladesh tidak boleh dibiarkan menangani situasi ini secara bersendirian,” kata Patnaik. “Hakikat bahawa ia menunaikan tanggungjawabnya dalam isu ini bukanlah satu alasan untuk negara lain mengabaikan tanggungjawab mereka.”


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.