Bangladesh Tolak Dakwaan Burukkan Panglima Tentera Darat Dan Tiga Adik Lelaki

Tentera Bangladesh beli peralatan pengawasan telefon bimbit buatan Israel, dakwa Al Jazeera dalam sebuah dokumentari baru.
John Bechtel
2021.02.02
Washington
Bangladesh Tolak Dakwaan Burukkan Panglima Tentera Darat Dan Tiga Adik Lelaki Panglima Tentera Darat Bangladesh Jeneral Aziz Ahmed (kanan) meninjau satu program yang diadakan di kem pelarian Rohingya di Ukhia, Cox’s Bazar, 24 November 2019.
[AFP]

Pihak berkuasa Bangladesh menolak dakwaan dalam satu laporan penyiasatan berita bahawa panglima tentera darat melindungi adik beradiknya yang melarikan diri ke luar negara selepas disabitkan dengan pembunuhan serta negara itu membeli sistem pemantauan telefon bimbit buatan Israel walaupun adanya larangan perdagangan dengan negara Yahudi itu.

Laporan itu yang disiarkan minggu ini oleh rangkaian televisyen yang berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, mendakwa bahawa panglima tentera darat Jeneral Aziz Ahmed menjalin hubungan rapat dengan dua adik lelakinya yang berada di luar negara setelah mereka melarikan diri daripada badan penghakiman selepas disabitkan dengan satu kes pembunuhan pada 1996.

Dokumentari Al Jazeera juga mengaitkan Aziz, yang kini dalam lawatan rasmi ke Amerika Syarikat, membuat perjanjian rasuah dengan sekurang-kurangnya seorang adik lelakinya, yang menurut laporan itu, dapat mengunjungi Bangladesh untuk bertemu panglima tentera darat itu walaupun menjadi buruan pihak berkuasa.

Aziz merupakan pegawai yang amat rapat dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang menurut laporan itu, sebelum ini telah mengambil dua adiknya itu, Haris dan Anis Ahmed, menjadi pengawal peribadinya semasa beliau menjadi pemimpin pembangkang. Dokumentari itu mendakwa bahawa kekayaan adik beradik itu "diperoleh daripada hubungan yang sudah lama terjalin" dengan Hasina.

Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan Bangladesh menolak dakwaan itu yang terkandung dalam dokumentari televisyen Al Jazeera yang disiarkan selama sejam bersama-sama berita iringan.

Kementerian Luar Negeri Bangladesh dalam satu kenyataan pada Selasa menggambarkan laporan itu sebagai "palsu dan memfitnah" selain menjadi "propaganda anti-Bangladesh."

Namun, laporan itu tidak secara khusus menyatakan sebarang dakwaan terhadap Aziz Ahmed.

"Laporan itu tidak lebih daripada himpunan sindiran dan dakwaan mengelirukan dalam apa yang nampaknya 'kempen buruk' yang bermotifkan politik oleh individu terkenal," menurut kenyataan itu, yang mengaitkannya dengan "kumpulan ekstremis" Jamaat-e-Islami iaitu satu daripada parti Islam terbesar di Bangladesh.

Laporan Al Jazeera menyatakan bahawa Haris Ahmed kini tinggal di Hungary dengan menggunakan nama samaran Mohammad Hasan manakala Anis Ahmed memiliki sebuah rumah di Kuala Lumpur. Kedua-duanya melarikan diri dari Bangladesh berikutan sabitan kes pembunuhan mereka manakala adik lelaki ketiga didapati bersalah atas pertuduhan pembunuhan yang sama dan menjalani hukuman penjara 20 tahun sebelum mendapat pengampunan daripada presiden negara itu.

Timbalan Ketua Polis Malaysia, Acryl Sani, berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada Anis Ahmed berada di negara itu. Pegawai-pegawai menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang makluman daripada rakan sejawatan di Bangladesh.

"Kami perlu memeriksanya terlebih dahulu sama ada lelaki itu masih berada di negara ini, jika dia dikehendaki oleh Interpol dan sebagainya," kata Acryl kepada akhbar tempatan Berita Harian pada Isnin.

Al Jazeera melaporkan bahawa tiada seorang pun daripada adik beradik Ahmed - atau mana-mana pegawai Bangladesh yang disebutkan dalam laporan itu, termasuk perdana menteri, menteri dalam negeri, ketua polis negara dan pesuruhjaya polis - yang melayani permintaan bagi mendapatkan komen sebelum laporan itu disiarkan.

Peralatan pengawasan

Kerajaan Bangladesh juga menolak dakwaan Al Jazeera bahawa pihaknya secara sulit membeli peralatan pengawasan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat Israel yang, menurut laporan itu, menyenaraikan Hungary sebagai negara asal.

Al Jazeera mendakwa bahawa para pegawai Bangladesh dilatih oleh pakar Israel untuk menggunakan peralatan itu, yang dapat memantau beratus-ratus telefon bimbit dalam satu masa.

Siasatan Al Jazeera menunjukkan bahawa Haris Ahmed adalah dalang utama dalam perjanjian itu.

Tetapi, Kementerian Pertahanan Bangladesh menafikan dakwaan itu dengan menyatakan bahawa ia adalah berdasarkan "maklumat palsu."

"Sebenarnya peralatan itu diperoleh dari Hungary untuk satu daripada kontinjen tentera yang akan dikerahkan bagi menyertai Misi Pengaman PBB," kata Rashadul Alam Khan, penolong pengarah Direktorat Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan di Kementerian Pertahanan.

"Tiada langsung pada peralatan itu dinyatakan/ditulis bahawa ia dihasilkan di Israel. Tidak ada skop kerjasama/pemerolehan pertahanan dari Israel kerana Bangladesh tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan negara itu."

Negara Asia Selatan itu tidak mengiktiraf Israel dan rakyat Bangladesh dilarang mengunjungi Israel atau melakukan sebarang perdagangan dengan warganegara Israel.

Lawatan AS

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa mereka menyedari adanya dakwaan yang dilemparkan ke atas Aziz Ahmed, yang mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dari 30 Januari hingga 12 Februari.

Seorang pegawai Pentagon berkata bahawa Aziz Ahmed akan bertemu dengan rakan sejawatannya dan pegawai lain di AS tetapi tidak memberi butiran terperinci mengenai jadual perjalanan panglima tentera darat Bangladesh itu di AS atas alasan keselamatan.

"Kami menyedari adanya dakwaan dalam (dokumentari) Al Jazeera. Sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan pertahanan dan keselamatan, kami menerima tetamu tentera dari negara rakan,” kata jurucakap Tentera AS Leftenan Kolonel Curtis Kellogg kepada BeritaBenar pada Selasa.

"Tentera AS dan Bangladesh mempunyai kerjasama yang erat yang diperincikan menerusi eksesais gabungan, pertukaran pendidikan dan latihan serta sokongan kepada Operasi Pengaman PBB. Kedua-dua negara kami mempunyai komitmen untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini. "

Pada Selasa, Kedutaan Bangladesh di Washington tidak segera melayani permintaan BeritaBenar untuk menemu bual panglima tentera darat itu atau menjawab dakwaan yang berkaitan dirinya seperti yang terkandung dalam laporan Al Jazeera.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.