Malaysia tegas tidak lanjut tempoh kemasukan pekerja asing berakhir Mei
2024.06.04
Kuala Lumpur
Malaysia pada Selasa menegaskan yang negara itu tidak akan melanjutkan tempoh masa kemasukan pekerja asing yang berakhir pada 31 Mei lalu, selepas Bangladesh merayu supaya 17,000 lagi warganya yang terlepas tarikh akhir tersebut dibenarkan masuk untuk bekerja atas alasan salah pengurusan oleh pihak agensi pengambilan pekerjaan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata semua pihak telah diberikan masa yang munasabah di mana tarikh akhir diumumkan lebih awal pada Mac untuk mengurus kemasukan pekerja asing itu, manakala pekerja Bangladesh pula mendakwa mereka mengalami kerugian ribuan ringgit selepas membayar caj pengambilan pekerjaan dan tiket penerbangan.
"Kementerian Dalam Negeri tidak akan melanjutkan tempoh masa kemasukan pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk masuk bekerja di negara ini.
"Tempoh yang diberikan itu dianggap munasabah dan hebahan mengenainya telah dibuat lebih awal. Majikan yang ingin membawa masuk pekerja mempunyai masa mencukupi untuk menguruskan apa yang diperlukan," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang pada Selasa.
Saifuddin berkata ketika menetapkan tarikh akhir Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 itu, kementeriannya telah mengambil kira semua proses bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan mengaturkan pembelian tiket.
"Apatah lagi kemasukan baru-baru ini antara 28 hingga 31 Mei yang merekodkan lebih 20,000 kemasukan pekerja asing, dan apabila kita membuat semakan didapati ada kelulusan visa telah mereka peroleh sejak November tahun lalu, maka isunya kenapa perlu tunggu sampai 31 Mei baru hendak bawa masuk?
"Sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh masa, memandangkan ia sudah mencukupi bahkan sudah terlalu lama," tegasnya.
Jelas beliau, melalui kemasukan terbaru pekerja asing itu, kementerian mengunjurkan bilangan mereka mencecah hingga 2.6 juta orang, melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU), kira-kira 2.5 juta.
"Kemasukan pekerja asing bagi sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan itu mencecah sasaran keperluan tenaga asing. Sektor perladangan dan pertanian pula kita akan proses mengikut kelulusan kuota sedia ada. Tiada lagi kelulusan baharu dan sebagainya. Kita akan tengok serta buat pertimbangan berdasarkan kes demi kes," katanya.
Pada Isnin, sebuah portal tempatan melaporkan yang Bangladesh telah merayu kepada Malaysia untuk membenarkan hampir 17,000 pekerja warganya yang mempunyai visa kerja diluluskan, walaupun telah terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba ke Kuala Lumpur.
Shofiqur Rahman Choudhury, menteri kebajikan ekspatriat dan pekerjaan di luar negara, meminta Malaysia memberikan satu tempoh khas kepada pekerja yang mempunyai visa tetapi terkandas untuk memasuki Malaysia.
Beliau berharap pentadbiran Putrajaya mempertimbangkan nasib pekerja "yang masa depan mereka bergantung kepada pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia".
"Jika tidak, mereka akan mengalami kesusahan yang teruk. Ramai daripada mereka telah menghabiskan duit simpanan atau meminjam wang untuk membayar ejen bagi tujuan proses dokumentasi,” kata menteri berkenaan seperti yang dilaporkan.
Beliau berkata bencana taufan, kekurangan penerbangan dan penyelarasan yang lemah oleh ejen telah menghalang ramai daripada pekerja tersebut melakukan perjalanan ke Dhaka dan seterusnya terbang ke Malaysia.
Visa lambat
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Shameem Ahsan memaklumkan yang pihak berkuasa Malaysia telah menangguhkan pengeluaran visa dengan ramai daripada pekerja negara itu hanya menerima visa mereka selepas 20 Mei, sekaligus menjadikannya mencabar untuk mendapatkan tiket dalam masa 11 hari.
Selain itu, diplomat berkenaan berkata terdapat tekanan terhadap pengurusan jemaah haji di Bangladesh ketika itu, dan di sebalik cabaran tersebut, Dhaka telah mengatur sekurang-kurangnya 23 penerbangan tambahan untuk menghantar pekerjanya ke Malaysia.
"Kami meneruskan rundingan diplomatik dengan Malaysia untuk mendapatkan pertimbangan khas bagi mereka yang tidak dapat sampai ke Malaysia walaupun telah memperolehi kelulusan akhir," kata Shameem kepada BenarNews.
Pada Jumaat lalu, Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor mengalami kesesakan ekoran peningkatan mendadak ketibaan pekerja asing apabila majikan membawa mereka masuk pada saat-saat akhir menjelang tarikh tamat Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0.
Jabatan Imigresen dalam kenyataan pada Khamis berkata jumlah ketibaan pekerja asing meningkat kepada 4,500 orang sehari pada 27 Mei lalu berbanding 500 hingga 1,000 orang pada keadaan biasa.
Kementerian Dalam Negeri Malaysia sebelum ini telah menyatakan bahawa tarikh akhir membawa masuk pekerja asing termasuk dari Bangladesh menerusi program itu kekal pada 31 Mei dengan memberi sebab faktor keselamatan negara.
Sementara itu, pakar ekonomi pula berkata polisi kerajaan yang mahu mengehadkan kemasukan pekerja asing mempunyai kebaikan dan keburukan.
“Baiknya ialah majikan terpaksa menggunakan pekerja warga tempatan dan kadar upah akan naik. Peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia juga akan bertambah.
“Keburukannya pula ialah kos pengeluaran akan meningkat kerana kenaikan kadar upah. Majikan mungkin akan pindahkan kilang ke luar negara utk mengurangkan kos,” kata Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya kepada BenarNews.
“Jika keadaan ini berlaku ia akan memburukkan keadaan peluang pekerjaan untuk warga Malaysia. Ekonomi juga akan menjadi perlahan. Kesannya tetap sama tanpa mengira apa juga sasaran kerajaan berkaitan jumlah kemasukan pekerja asing.”