Pekerja Bangladesh, Kerajaan Patut Teliti Kegagalan Perjanjian Lama

Oleh Hata Wahari
2015.08.21
150821-MY-BANGLAKERJA620 Sekumpulan pekerja asing warga Bangladesh di luar Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur, Malaysia. 25 Disember 2007.
AFP

Pengumuman kerajaan Malaysia pada Jun lalu untuk membawa masuk 1.5 juta tenaga kerja dari Bangladesh ke negara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang mendapat pelbagai reaksi daripada sektor pengambilan pekerja asing.

Lebih-lebih lagi, perjanjian tersebut dibuat selepas kegagalan program Government to Government (G2G) di antara kedua-dua negara yang ditandatangani pada November 2012.

Berdasarkan perjanjian tersebut, majikan dari Malaysia bercadang untuk mengambil 50,000 pekerja dari Bangladesh. Namun selepas tiga tahun, rekod menunjukkan hanya sekitar 10,000 pekerja dari negara itu dibawa masuk ke Malaysia.

Antara punca utama kegagalan program tersebut adalah kerana ramai pekerja Bangladesh yang dibawa masuk tidak mengetahui mereka akan ditempatkan di sektor perladangan - mereka bukan sahaja tidak ada kemahiran tetapi tidak menggemari pekerjaan tersebut, menyebabkan ramai daripada mereka memutuskan untuk pulang ke tanah air.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Jun lepas berkata, Malaysia akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

"Kami jangka akan memeterai perjanjian mengenainya dan para pekerja ini akan diambil bekerja di dalam pelbagai bidang terutama perladangan bagi memenuhi permintaan pasaran pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, inisiatif ini hanya melibatkan pekerja yang 'fresh' (baru tiba) dari Bangladesh. Pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh yang bekerja di negara ini tidak terlibat dan kita akan tetap hantar mereka pulang," katanya.

Pada 8 Ogos lepas, semasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali di pejabatnya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Meteri berkata, proses perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Bangladesh dibuat mengikut garis panduan antarabangsa dan berdasarkan amalan perjanjian Bangladesh dengan negara-negara luar termasuk Asia Barat.

“Persetujuan dua negara ini adalah bagi mengelakkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk melalui jalan darat atau laut yang boleh mengakibatkan berlakunya kematian oleh pelbagai faktor,” katanya.

Kaji perjanjian lama

Mengulas mengenai kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh itu, Pengurus besar Agensi Pekerjaan Sri Nadin, Fiona Low berkata, antara sebab kegagalan perjanjian itu adalah kerana ia tidak mencapai sasaran disebabkan pekerja yang dibawa masuk tidak sesuai bekerja di sektor perladangan seperti dalam perjanjian.

"Pekerja-pekerja dari Bangladesh ini pada dasarnya tidak berminat untuk bekerja di dalam sektor 3D (Merbahaya, Sukar dan Kotor-Dangerous, Difficult, Dirty).

"Sebaliknya mereka lebih suka bekerja di dalam sektor 3B iaitu sektor yang menawarkan gaji besar, bersih dan berprestij seperti sektor perkhidmatan di stesyen minyak ataupun di hotel-hotel," katanya kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, pekerja-pekerja dari Bangladesh ini ada yang berpendidikan tinggi tetapi mereka merahsiakan kelulusan mereka kerana tujuan mereka bekerja di Malaysia adalah untuk menimba pengalaman dan mengumpulkan modal untuk memulakan perniagaan di tanahair sendiri.

"Kebanyakan mereka lebih berminat untuk bekerja di hotel-hotel, sektor perkhidmatan, peruncitan dan pelbagai lagi sektor yang dapat memberi manfaat dari segi pengalaman untuk mereka memulakan perniagaan apabila kembali ke negara asal," katanya.

Kenyataan Fiona itu disokong oleh seorang pekerja Bangladesh, Rijaul Abdul Goni, 25, yang kini bekerja di sebuah stesyen minyak di Jalan Tun Razak - salah satu jalan yang paling sibuk dan menjadi nadi kepada pergerakan trafik di bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau yang mempunyai pengalaman bekerja di sektor perladangan semasa mula tiba di negara itu telah “beralih” ke sektor perkhidmatan selepas setahun bekerja di ladang.

"Jika saya terus bekerja dalam ladang kelapa sawit, saya tidak akan dapat memanfaatkan pengalaman itu apabila pulang ke Bangladesh kerana kelapa sawit bukanlah komoditi utama negara saya," ujarnya kepada BeritaBenar.

"Sejak bekerja di stesen minyak ini, saya banyak belajar bagaimana mengendalikan sebuah stesyen minyak yang dilengkapi dengan kedai serbaneka.

"Pengalaman ini amat berguna untuk saya menceburi bidang peruncitan apabila pulang ke tanahair berbekalkan modal dari pekerjaan saya di sini," katanya.

Alim Sandar, 24, seorang lagi pekerja Bangladesh yang ditemui BeritaBenar menanam cita-cita untuk mengusahakan perniagaan bakeri dan pastri di tanahairnya nanti.

Beliau sanggup bersusah payah mengumpulkan RM9,000 ($168,000.00 Taka) (AS$2,160) sebagai modal dalam menampung segala perbelanjaan untuk mencuba nasib datang bekerja di Malaysia tahun lalu.

Alim bersyukur kerana mendapat pekerjaan di bahagian bakeri di sebuah hotel mewah di Putrajaya, dengan pendapatan yang lumayan berbanding bekerja di negaranya.

Beliau kini giat mempelajari selok-belok pengurusan sebuah cafe, termasuk cara melayan pelanggan, khususnya golongan kelas atasan dan bercitarasa tinggi.

"Saya mempunyai perancangan masa depan. Setelah tamat kontrak dan mengumpulkan modal yang cukup, saya bercita-cita untuk pulang ke kampung halaman dan mengusahakan café bakeri seperti di hotel ini.

"Konsep cafe bakeri mungkin sesuatu yang baru di Bangladesh, tapi saya percaya dalam masa beberapa tahun akan datang ia akan mendapat sambutan di kalangan rakyat negara saya," katanya.

Kegagalan komunikasi

Bagi Pengarah Agensi Pekerjaan HR-Access Sdn Bhd Chan Keen Cheng pula, pengambilan pekerja asing dari Bangladesh tidak akan menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh sektor perladangan terutama di Sabah dan Sarawak.

"Kita tahu keadaan di Sabah dan Sarawak berbeza dengan di Semenanjung dari segi budaya dan bahasa. Saya yakin cadangan membawa pekerja dari Bangladesh ini akan menimbulkan pelbagai masalah khususnya untuk menyesuaikan diri di negeri-negeri itu," katanya.

Beliau menggambarkan bahawa masalah utama yang bakal dihadapi apabila pekerja Bangladesh ditempatkan di Sabah dan Sarawak adalah mereka tidak akan dapat berkomunikasi dengan baik dengan penyelia, penolong pengurus dan pengurus ladang yang kebanyakannya adalah penduduk tempatan.

"Kegagalan komunikasi ini mungkin akan menyebabkan ramai pekerja asing ini tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik dan akhirnya mereka akan meminta untuk kembali ke negara asal," katanya.

Sabah dan Sarawak memerlukan di antara 62,000 hingga 100,000 pekerja asing untuk mengisi keperluan sektor perladangan dan pada masa ini belum ada pekerja Bangladesh yang ditempatkan di dalam sektor perladangan di kedua-dua negeri itu.

Pada masa ini terdapat kira-kira 300,000 pekerja sah dari Bangladesh di Malaysia tetapi semuanya bekerja di sektor pembinaan dan pembuatan.

Senario ini diakui oleh presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Raja Zulkepley Dahalan.

Menurut Raja Zulkepley, kerajaan perlu mengambil iktibar dari kegagalan perjanjian sebelum ini dan memastikan pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk benar-benar memahami tentang sektor pekerjaan yang mereka akan ditempatkan.

"Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar melaksanakan ketelusan dalam mengambil pekerja ini, terutama dalam memberi penerangan jelas tentang pekerjaan yang mereka akan lakukan apabila tiba di Malaysia nanti.

"Kita tidak mahu berulang lagi masalah beberapa tahun dulu di mana perjanjian dengan kerajaan Malaysia dan Bangladesh gagal kerana ramai pekerja yang dibawa masuk tidak mengetahui mereka akan ditempatkan di sektor peladangan,” katanya.

Tegasnya, perlu ada latihan dan ketelusan dalam mengambil pekerja dari Bangladesh ini memandangkan ada di antara mereka yang tidak berminat dengan kerja berorientasikan 3D.

Raja Zulkepley berkata, walaupun langkah untuk membawa pekerja Bangladesh adalah baik dalam mengimbangi kebergantungan Malaysia kepada pekerja Indonesia yang menjadi sumber tenaga kerja utama negara ini, banyak perkara perlu penelitian semula.

Beliau menegaskan terdapat beberapa perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan dalam membawa masuk pekerja-pekerja asing, antaranya memastikan pengurusannya dikendalikan oleh agensi-agensi pekerjaaan yang berdaftar di Malaysia dan Bangladesh.

"Selain itu, urusan membawa masuk pekerja asing perlu dihadkan kepada syarikat-syarikat besar sahaja kerana mereka mempunyai infrastruktur yang baik seperti hostel, sistem gaji dan pekerjaan yang digemari oleh pekerja asing terbabit," katanya.

Raja Zulkepley juga berkata, urusan pendaftaran pekerja asing juga memerlukan sistem yang teratur, tetapi ia tidak perlu dikendalikan oleh kerajaan, di mana kerajaan boleh melantik tiga hingga lima syarikat bagi mengendalikan pendaftaran dan pengambilan pekerja asing bagi mengelakkan monopoli.

Katanya langkah-langkah ini adalah penting untuk memastikan rakyat Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia tidak terpedaya oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Tegas beliau, sindiket-sindiket ini sering kali mengaku mereka adalah agensi berdaftar tetapi kemudiannya menyeludup warga asing ke Malaysia melalui jalan laut dan menempatkan mereka di kem-kem pemerdagangan manusia di Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Persoal jumlah kemasukan

Rancangan di antara kerajaan kedua-dua negara untuk membawa masuk pekerja 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia mendapat perhatian dari akhbar berbahasa Inggeris di Bangladesh, The Daily Star.

Dalam laporan khas 3-siri pada awal Ogos, akhbar itu mengetengahkan beberapa isu penting berhubung perancangan mengembalikan sistem pengambilan pekerja asing dari G2G kepada sektor swasta B2B (business to business) berikutan kegagalan program G2G lalu.

Antara isu yang diberi perhatian adalah sejauh mana perlu membawa masuk 1.5 pekerja Bangladesh ke Malaysia, seperti yang disuarakan oleh setiausaha agung Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Krishnam yang mempersoalkan rancangan berkenaan.

Menurut akhbar itu, Gopal berkata, kerajaan Malaysia bercadang menghantar pulang 1.5 juta pekerja migran tanpa izin dan ironinya pada masa yang sama ingin mengambil 1.5 juta pekerja dari Bangladesh.

Katanya, kerajaan Malaysia melaporkan terdapat 2.4 juta pekerja asing berdaftar bekerja di negara itu manakala 4.6 juta lagi adalah pekerja tanpa izin dan dari jumlah 60,000 pekerja Bangladesh yang berada di Malaysia, 30,000 dipercayai bekerja secara tidak sah.

"Kerajaan sewajarnya perlu mengatasi masalah pekerja tanpa izin dahulu, sebelum membawa masuk pekerja baru dan salah satu pilihan adalah dengan membenarkan pekerja tanpa izin untuk mendapat status pekerja sah kerana mereka sudah berkemahiran dan memahami bahasa tempatan," katanya.

Setiausaha Agung Kongres itu yang ditemui di Kuala Lumpur menambah, adalah lebih wajar sekiranya penduduk tempatan disediakan pakej gaji yang menarik serta latihan agar mereka juga boleh melakukan kerja yang merbahaya, sukar dan kotor .

"Ganjaran yang tinggi akan menarik minat penduduk tempatan menceburi bidang 3D (dangerous, difficult and dirty). Kini terdapat beribu-ribu pekerja Malaysia yang berulang alik setiap hari ke Singapura untuk bekerja. Kenapa? ‘’ katanya sambil mengaju soalan mengapa keadaan itu berlaku.

Katanya, ramai pekerja dari Malaysia sanggup berulang alik ke negara jiran itu dan melakukan kerja 3D kerana ganjarannya lebih tinggi dan setaraf dengan kerja yang dibuat.

Dalam pada itu, akhbar The Daily Star turut menyentuh mengenai dakwaan penglibatan pihak-pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik dalam urusan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia itu.

Laporan beberapa portal berita Malaysia minggu lalu menyebut sebuah syarikat yang dimiliki oleh adik Ahmad Zahid sedang berbincang dengan Dhaka dan Putrajaya untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Real Time Networking Sdn Bhd, di mana adik Zahid - Abdul Hakim Hamidi - adalah pengerusi eksekutifnya, mencadangkan penyediaan satu sistem dalam talian itu, dengan bayaran, pekerja boleh didaftar dan dipantau dari Bangladesh dan Malaysia

Akhbar The Daily Star yang berpengkalan di Dhaka itu, turut mempersoalkan mengapa negara Bangladesh tidak tersenarai di antara 12 negara sumber yang membekalkan pekerja asing ke Malaysia biarpun negara itu beberapa kali telah mengemukakan permohonan.

Ketika menjawab persoalan mengenai status perjanjian baru B2B itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Shahidul Islam memberitahu akhbar berkenaan, yang proses rundingan masih berjalan dan belum ada perkara yang telah diputuskan.

"Malaysia kekurangan 57,000 pekerja dan jika rakyat Bangladesh tidak mengambil peluang ini, orang lain akan mengambilnya," katanya kepada akhbar itu.

Nani Yusof dan S. Adie Zul menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.