Bank Negara: Malaysia dijangka tidak mengalami kemelesetan ekonomi

Bagaimanapun suasana ekonomi dunia yang tidak menentu akan terus menjadi risiko utama kepada perkembangan domestik, kata Gabenor Bank Negara.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.02.10
Kuala Lumpur
Bank Negara: Malaysia dijangka tidak mengalami kemelesetan ekonomi Beberapa orang buruh binaan warga Bangladesh sedang bekerja di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan bersebelahan dengan Kuala Lumpur City Center di Kuala Lumpur, 29 Jun, 2018.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ekonomi Malaysia pada tahun lepas berkembang pada kadar yang paling pesat sejak tahun 2000, menurut Bank Negara pada Jumaat, dan negara itu dijangka tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini seperti dibimbangi ramai disebabkan sokongan oleh permintaan domestik.

Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Yunus berkata peningkatan krisis geopolitik, yang boleh menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan, kekal sebagai salah satu risiko dihadapi negara berkenaan namun ia tidak akan menyebabkan Malaysia jatuh ke dalam kemelesetan ekonomi.

Menurut Nor Shamsiah, inflasi umum dan inflasi inti (core) pada 2022 direkodkan pada purata 3.3 peratus dan 3.0 peratus, dan ia dijangka sederhana tahun ini tetapi kekal pada tahap tinggi disebabkan tekanan permintaan serta kos yang berlarutan.

"Mengenai perkembangan ekonomi pada 2023, permintaan dalam negara akan terus menjadi pemacu utama perkembangan memandangkan permintaan global yang semakin perlahan.

"Saya ingin menekankan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun ini. Tetapi, suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan sangat mencabar akan terus menjadi risiko utama kepada perkembangan domestik," kata beliau kepada media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin pula berkata ekonomi Malaysia pada tahun lalu merekodkan peningkatan sebanyak 8.7 peratus, satu pencapaian yang tertinggi dalam tempoh 22 tahun.

"Pada suku keempat 2022, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 7 peratus, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan dalam pasaran buruh, permintaan produk E&E (elektrik dan elektronik) yang berdaya tahan dan pemulihan aktiviti pelancongan.

"Saya ingin menyimpulkan bahawa pencapaian ekonomi Malaysia secara keseluruhannya telah mengembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022, yang mana ia adalah peningkatan paling tinggi pernah direkodkan sejak tahun 2000," kata beliau.

Sidang media bersama antara Nor Shamsiah dan Mohd Uzir itu yang dibuat bagi mengumumkan mengenai statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat tahun 2022.

Pada minggu lalu, Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkannya menjangkakan inflasi umum bagi harga pengguna pada tahun ini akan menjadi sederhana antara 2.5 peratus dan 3 peratus.

Menurut laporan akhbar tempatan, kesederhanan itu disebabkan oleh penstabilan harga komoditi global dan pelonggaran kekangan bekalan global.

Badan itu turut menjangkakan bahawa Malaysia yang mempunyai ekonomi terbuka akan terus berdepan risiko besar daripada situasi semasa di peringkat dunia.

"Kejutan pada perkembangan ekonomi global - termasuk inflasi yang lebih tinggi berbanding jangkaan, syarat kewangan yang semakin ketat, ekonomi utama yang semakin lembap, perang Rusia-Ukraine yang berlarutan, serta penutupan dan penyekatan (lockdowns) di China yang berlanjutan - boleh menyebabkan kelembapan perkembangan ekonomi global yang lebih buruk daripada jangkaan," demikian menurut laporan Bank Dunia seperti disiarkan akhbar tempatan.

Reformasi ekonomi

Sementara itu, ahli ekonomi Ramon Navaratnam, yang merupakan bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan negara berkata, permintaan terpendam telah membantu negara menjadi ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi itu mungkin tidak bertahan lama sekiranya reformasi tidak dilakukan segera terhadap struktur ekonomi Malaysia.

"Walaupun kadar perkembangan yang lebih tinggi ini dialu-alukan, ia mungkin tidak dapat bertahan lama kerana kita masih belum membuat reformasi terhadap struktur ekonomi.

"Ini mungkin sekadar di peringkat permukaan (superficial) dan bukan sesuatu yang berstruktur atau berpanjangan. Ia mungkin hanyalah satu fenomena singkat. Oleh itu, adalah baik jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil langkah reformasi ekonomi secara serious," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Ramon, walaupun negara tidak akan mengalami kemelesetan, perkara itu dijangka tidak membawa impak secara langsung kepada rakyat, kerana terdapat ketidaksepadanan antara perkembangan ekonomi di peringkat negara dengan pendapatan per kapita sebenar.

"Dalam bahasa mudah, sekiranya ekonomi kita tidak mengalami kemelesetan, golongan berpendapatan rendah masih akan terus hidup dalam kemelesetan kerana masalah seperti kadar pengangguran yang tinggi. Cabarannya ialah bagaimana kita mahu memastikan perkembangan ekonomi yang berjalan baik ini dapat dikongsi dengan orang miskin."

Pakar ekonomi Jalilah Baba yang turut bersetuju dengan jangkaan pihak berkuasa kewangan Malaysia itu berkata ekonomi negara juga melihat trend pelaburan yang stabil disebabkan keyakinan pelabur asing.

"Jika kita lihat daripada pelaburan masuk ke dalam negara kita, dan juga trend pelaburan daripada dalam negara pun, nampaknya sangat stabil. Ini berdasarkan pengamatan saya. Oleh itu, Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan tahun depan," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Jalilah, yang merupakan bekas ketua pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, walaupun kadar kemasukan pelaburan tidak begitu memberangsangkan seperti apa yang diharapkan, ia adalah situasi yang dihadapi oleh semua negara disebabkan senario ekonomi global.

Akan tetapi, pelabur masih tetap masuk ke Malaysia kerana mereka yakin bahawa negara itu akan terus stabil dan menjadi antara destinasi utama di Asia Tenggara disebabkan landskap ekonominya, kata beliau.

"Kita juga tidak bergantung sepenuhnya kepada pelabur asing. Sudah tentu kita memerlukan mereka, tetapi kita juga perlu pelaburan dalam negara dikembangkan. Jadi perlu ada usaha berterusan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana," kata Jalilah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.