Gabenor Baru Bank Negara Pernah Letak Jawatan Selepas Siasat 1MDB

Hadi Azmi
2018.06.22
Kuala Lumpur, Malaysia
180622-MY-bank-620.jpg Gabenor baru Bank Negara Malaysia, Nor Shamsiah Mohd Yunus (kiri), mengiringi Menteri Kewangan Lim Guan Eng selepas satu mesyuarat kementerian di Putrajaya, Malaysia, 22 Jun 2018.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Seorang pegawai kanan lama bank pusat Malaysia, yang pernah menyiasat skandal 1MDB sebelum meletakkan jawatan pada 2016, diumumkan sebagai Gabenornya yang baru oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat.

Nor Shamsiah Mohd Yunus, 54, menyertai Bank Negara Malaysia pada  1987  dan berkhidmat sebagai timbalan gabenor dari 2010 hingga November 2016. Selepas meninggalkan bank pusat itu, beliau menjadi penolong pengarah bahagian pasaran kewangan dan modal di Tabung Kewangan Antarabangsa.

"Bank Negara Malaysia akan terus menumpukan kepada melaksanakan mandatnya bagi mengekalkan kestabilan kewangan demi kepentingan  negara," kata Nor Shamsiah pada sidang berita bersama-sama Lim.

Lim mengumumkan bahawa pelantikan bagi tempoh lima tahun itu akan bermula pada 1 Julai ini.

Semasa berkhidmat di bank pusat itu, Nor Shamsiah bertanggungjawab terutamanya bagi perkhidmatan sektor perbankan, risikan kewangan, dan penguatkuasaan, kata Kementerian Kewangan. Beliau juga pernah membantu sektor kewangan pulih daripada krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an.

Beliau turut membantu siasatan 1MDB ketika di bawah penerajuan bekas Gabenor bank pusat itu, Zeti Akhtar Aziz, yang bersara pada April 2016.

"Beliau sangat berpengalaman dan akan melaksanakan tugasnya dengan baik,” lapor Malay Mail yang memetik Zeti sebagai mengulas tentang pelantikan Nor Shamsiah.

"Dengan melantiknya, kerajaan menunjukkan rasa penghormatan terhadap institusi itu, dan saya fikir ini adalah apa yang ingin dilihat oleh pasaran, sebuah institusi yang kekal bebas dalam melaksanakan fungsinya," kata Zeti.

Peletakan jawatan Nor Shamsiah pada 2016 membangkitkan spekulasi tentang konflik dengan pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung tugasnya menyiasat 1MDB, lapor Bloomberg News. Najib, yang telah menafikan sebarang peranan dalam skandal 1MDB, juga pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan.

Pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menggambarkan 1MDB sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama" dengan mengatakan bahawa lebih daripada $4.5 bilion (RM17.9 bilion) telah dicuri daripada dana pelaburan negara itu yang diasaskan Najib pada 2009 sebelum lembaga penasihatnya dibubarkan pada 2016 .

Mengubah barisan kepimpinan


Nor Shamsiah menggantikan Muhammad Ibrahim, yang meletakkan jawatan sebagai gabenor bank pusat itu pada 6 Jun setelah menyatakan beliau  kehilangan keyakinan awam selepas wang sebanyak $520 juta hasil penjualan tanah oleh bank pusat itu digunakan untuk membayar beberapa hutang 1MDB.

Muhammad turut menegaskan bahawa bank pusat itu tidak terlibat dalam skandal 1MDB.

"Bank Negara Malaysia tidak akan menjadi pihak kepada sebarang aktiviti  yang boleh mengkhianati kepercayaan orang ramai terhadap kami. Kami menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, "katanya semasa meletakkan jawatannya.

Pelantikan Nor Shamsiah adalah sebahagian daripada rombakan jawatan tertinggi dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan sejak pakatan pimpinan Mahathir Mohamad menggulingkan kerajaan Najib Razak pada pilihan raya umum  Mei lalu.

Awal bulan ini, Mahathir mempersoalkan kesetiaan kakitangan awam yang secara terbuka memperjuangkan gabungan parti Najib, dengan menyatakan bahawa individu berkenaan boleh menimbulkan masalah dalam pentadbiran barunya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Azizuddin Mohd Sani memberitahu BeritaBenar bahawa pemimpin kerajaan baru biasanya akan membawa orang baru untuk mengisi jawatan-jawatan tinggi.

"Apabila [berlakunya perubahan] kerajaan dan pentadbiran baru mula menjalankan tugasnya, perkara pertama yang biasanya mereka lakukan adalah mengubah barisan kepimpinan," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.