Batang Kali: Keluarga mangsa mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan

Mereka mempersoalkan naratif kerajaan, dan menyatakan bahawa terdapat tambak yang dibuat oleh manusia di lokasi kejadian tanah runtuh.
Minderjeet Kaur
2023.12.15
Kuala Lumpur
Batang Kali: Keluarga mangsa mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Anggota Jabatan Bomba Malaysia, Pasukan Mencari & Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Unit Anjing Pengesan K9, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan tentera sedang menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat baki sembilan lagi mangsa tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, 20 Disember 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Loh Teng Shui dan isterinya masih bergelut dengan perasaan marah bercampur rasa bersalah setiap kali mengenangkan tragedi tanah runtuh yang berlaku ketika keluarga mereka sedang menikmati perkhemahan hujung minggu setahun yang lalu.

Kehidupan suami isteri itu berubah dengan sekelip mata apabila runtuhan tanah dan batu menimpa tapak perkhemahan tidak berlesen di pinggir bandar Kuala Lumpur pada 16 Disember itu.

Kejadian itu meragut nyawa 31 mangsa termasuk anak mereka Zech Loh Qi, 7, yang sedang nyenyak tidur semasa kejadian berlaku.

Pada Sabtu ini, Loh bersama beberapa lagi keluarga mangsa lain akan melaksanakan upacara memperingati insan tersayang mereka yang terkorban di bekas tapak perkhemahan Batang Kali, yang terletak kira-kira 48km (30 batu) dari pusat bandar Kuala Lumpur.

"Kami harap diberikan ruang untuk bersendirian tanpa gangguan orang ramai (semasa upacara) kerana kami kehilangan ahli keluarga jadi ianya amat sukar bagi kami," kata Loh, 45, kepada BenarNews.

Bapa yang masih meratapi kehilangan anaknya itu berkata beberapa keluarga mangsa tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana persoalan mengenai isu tanggungjawab dan keadilan masih berlegar di benak mereka, terutama sekali selepas laporan rasmi kerajaan berkenaan tragedi tersebut dikeluarkan pada Oktober lalu.

Laporan itu menyalahkan hujan lebat berterusan sebagai punca tanah runtuh, sekaligus menafikan faktor perbuatan manusia sebagai penyebab.

Seramai 92 orang sedang tidur di tapak perkhemahan yang terletak di sebuah ladang organik apabila tanah dan batu dari sebuah jalan yang berada kira-kira 30 meter (100 kaki) di atas runtuh dan menimbus kawasan sekitar 1 hektar (3 ekar).

Kebanyakan daripada mereka yang terlibat adalah keluarga yang sedang menikmati percutian hujung tahun dengan berkhemah di lokasi berkenaan, yang tidak jauh daripada pusat pelancongan popular Genting Highlands.

Mangsa paling muda dalam kejadian itu adalah seorang bayi berusia setahun dengan pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang ibu dan anak sedang berpelukan, manakala seorang lelaki pula ditemui dalam timbunan tanah dalam keadaan masih memegang anjingnya.

Laporan setebal 143 muka yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyatakan bahawa faktor utama yang menyebabkan kejadian tanah runtuh tersebut adalah kejadian semula jadi, yang berkemungkinan dipengaruhi hujan dan geologi.

NADMA dalam laporannya itu turut menyatakan bahawa dua kejadian tanah runtuh besar berlaku dalam masa selang 20 minit itu, dengan yang pertama disebabkan oleh ketepuan air dan menyaksikan zon runtuhan bersaiz 120 meter (393 kaki) panjang dan 14 meter (46 kaki) dalam.

"Tiada bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik, merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh," kata laporan itu, menggunakan perkataan yang merujuk kepada perubahan alam sekitar yang dikaitkan atau disebabkan dengan aktiviti manusia.

Naratif kerajaan

Loh bagaimanapun mempersoalkan naratif kerajaan, dan menyatakan bahawa terdapat tambak yang dibuat oleh manusia di lokasi kejadian tanah runtuh.

"Ada aktiviti manusia, terdapat tambak dibuat manusia di bahagian atas daripada tebing di mana tanah runtuh terjadi. Kenapa runtuhan itu tidak berlaku di tempat yang tiada aktiviti manusia?," soal beliau.

Kecewa dengan apa yang dilihat sebagai kekurangan tindakan di pihak kerajaan serta laporan yang dilihat melepaskan mereka daripada sebarang kesalahan, Loh berkata keluarga mangsa mungkin akan memilih jalan perundangan.

"Seramai 31 nyawa telah hilang, dan tidak ada tindakan daripada kerajaan sementara laporan dikeluarkan pula melepaskan semua pihak daripada sebarang kesalahan. Kami mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang," tambahnya lagi.

Wong Wai Foong, seorang lagi mangsa yang terselamat bersama isteri dan dua anak mereka berkata bahawa adalah sukar untuk mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana mahu menceritakan perasaan saya. Ia amat sukar," kata Wong.

Hampir kesemua mangsa yang terselamat dan keluarga yang terkesan dengan tanah runtuh itu akan berkumpul di lokasi kejadian pada 16 Disember bagi meratapi dan memperingati kesemua yang terkorban, kata beliau.

Kira-kira dua minggu lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengusaha pusat perkhemahan diberikan dua tahun untuk mematuhi garis panduan tapak khemah yang dikeluarkan kerajaan bagi memastikan semua pihak menjalankan tugas masing-masing dengan baik.

Enam garis panduan itu meliputi aspek keselamatan, keselesaan, kelestarian, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi, dan kepatuhan undang-undang. Ia termasuk syarat bahawa tapak perkhemahan mesti terletak sekurang-kurangnya 10 meter daripada kawasan air terjun.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.