Yang di-Pertuan Agong Isytihar Darurat di Parlimen Batu Sapi Henti Pilihan Raya Kecil

Noah Lee
2020.11.18
Kuala Lumpur, Malaysia
201118-MY-BSapi1000.jpg Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) giat melakukan kerja-kerja persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Penampang, Sabah, 25 September 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu bersetuju mengisytihar Proklamasi Darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah bertujuan menghentikan Pilihan Raya Kecil [PRK] yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember depan, yang dikhuatiri boleh mencetuskan satu lagi gelombang penularan pandemik COVID-19 pada masa Malaysia masih lagi bergelut dengan jumlah kes positif jangkitan yang tinggi.

Bagaimanapun tiada tarikh gantian untuk PRK itu yang diumumkan setakat ini, dengan penganalisis memberitahu BeritaBenar bahawa dua lagi PRK bakal diadakan susulan kematian dua wakil rakyat di Semenanjung Malaysia awal minggu ini, juga berkemungkinan akan menyaksikan langkah serupa.

"Dengan Pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak COVID-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

"Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada lewat Rabu.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah telah memberikan perkenan baginda untuk mengisytiharkan darurat ke atas kawasan P.185 Batu Sapi setelah menerima mengadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta sembah taklimat daripada pegawai-pegawai kerajaan, termasuk Peguam Negara dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan.

PRK Batu Sapi terpaksa diadakan susulan kematian penyandangnya, Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah pada 2 Oktober lepas kerana jangkitan pada paru-paru.

Mengikut Perlembagaan negara, satu pilihanraya mesti diadakan bagi memilih wakil rakyat yang baru dalam tempoh 60 hari selepas berlakunya kekosongan kerusi, kecuali jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum terbubarnya parlimen kerana cukup tempoh lima tahun.

"Perkenan Seri Paduka Baginda ini setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari Pilihan Raya Negeri [PRN] Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan COVID-19 di negara," tambah Ahmad Fadil.

Beberapa jam selepas keluarnya kenyataan dari Istana Negara, Muhyiddin pula tampil di kaca televisyen dalam satu sidang khas untuk mengumumkan keputusan berkenaan, di mana beliau turut menyenaraikan beberapa sebab di sebalik keputusan kabinet untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi.

Beliau menyatakan bahawa pengalaman dari PRN Sabah menunjukkan bahawa pilihanraya yang diadakan ketika pandemik COVID-19 menjadi punca gelombang ketiga wabak itu, dan menyaksikan peningkatan jumlah kes yang mendadak dalam tempoh empat minggu selepas hari mengundi pada 26 September.

"Pada 24 Oktober 2020, Sabah mencatatkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah kes COVID-19 melebihi 10,000 kes. Hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes kumulatif COVID-19 yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian," kata Perdana Menteri itu.

Tambah beliau, walaupun terdapat Prosedur Operasi Standard(SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi membendung penularan wabak ketika pilihanraya, namun pematuhan terhadap peraturan berkenaan didapati amat lemah ketika PRN Sabah sehingga menyebabkan penularan sukar dibendung.

Muhyiddin berkata SPR juga menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya bagi menguruskan PRK Batu Sapi, kerana kebimbangan yang tinggi di kalangan para petugas terhadap risiko dijangkiti koronairus.

Setakat 6 Nov, suruhanjaya itu hanya berjaya melantik seramai 143 orang petugas sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi melaksanakan PRK Batu Sapi.

Selain itu, pergerakan rentas daerah di kalangan petugas pilihanraya dan pengundi juga menjadi satu faktor pertimbangan oleh kerajaan, dan ia meningkatkan risiko virus untuk menular dari satu daerah ke daerah lain di Sabah.

Muhyiddin berkata, Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa PRK Batu Sapi tidak boleh dibatalkan dengan cara lain, melainkan dengan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sahaja.

Tidak akan terjejas

Perdana menteri itu juga memberikan jaminan bahawa perisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat di kawasan berkenaan baik dari segi kegiatan ekonomi mahupun aktiviti sosial.

"Darurat diisytiharkan di bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.

"Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah," kata Muhyiddin.

Kerajaan Perikatan Nasional juga memberi jaminan bahawa PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera apabila pandemik COVID-19 berakhir mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan supaya rakyat dapat melaksananakan hak demokrasi mereka dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram, tambahnya.

Sementara itu, presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan darurat tersebut.

"Warisan percaya Seri Paduka mengeluarkan titah tersebut atas keprihatinan baginda terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan salah satu kawasan merah akibat jangkitan pandemik COVID-19," kata Shafie.

Pada masa yang sama, tambah Shafie yang merupakan Ahli Parlimen Semporna, Warisan juga berharap supaya kerajaan mencari jalan terbaik untuk menetapkan satu tarikh untuk memberitahu rakyat di Batu Sapi bila tempoh darurat itu akan berakhir.

Ini kerana rakyat Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin untuk mewakili mereka, dan Warisan berharap supaya hak rakyat di Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik wabak dapat dikawal dan kerajaan menarik balik perisytiharan darurat.

Tunku Mohar Mokhtar, seorang pakar sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata bahawa tindakan yang diambil itu perlu kerana itu sahajalah pilihan yang ada.

“Kelihatan kerajaan tidak mempunyai pilihan kecuali menangguhkan PRK dan pengisytiharaan darurat merupakan pilihan yang terbaik. Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri kerana pada waktu ini ia lebih wajar daripada cubaan pertama untuk mengadakan darurat seluruh negara,” kata Tunku Mohar.

Menurut beliau, pengisytiharan itu juga jelas bahawa ianya cuma untuk menangguhkan PRK dan tiada tindakan lain selain dari itu dan jika bacaan kes COVID-19 terus meningkat kemungkinan pengisytiharan yang sama akan dibuat bagi menangguhkan dua lagi PRK yang perlu di adakan berikutan kematian wakil rakyat dan juga ahli parlimen di Perak dan Sabah.

“Ya..kemungkinan itu ada [pengisytiharan] jika kes COVID-19 tidak mengalami sebarang penurunan,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.