Malaysia perluas tanaman bawang tempatan setelah projek perintis capai kejayaan

Pakar ekonomi anggap tidak mampan bagi Malaysia untuk terus import ratusan ribu tan bawang setiap tahun.
Minderjeet Kaur & Ili Shazwani Ihsan
2024.04.19
Kuala Lumpur
Malaysia perluas tanaman bawang tempatan setelah projek perintis capai kejayaan Tanaman bawang merah kecil varieti BAW-1 pertama di Malaysia dituai di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Perak, 2 April, 2024.
[Ihsan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan/BenarNews]

Kejayaan projek perintis tanaman bawang tempatan meskipun dengan cabaran iklim tropika memberikan perangsang kepada kerajaan Malaysia untuk mencapai status sara diri bagi penghasilan bahan makanan utama dalam masakan negara itu.

Adalah tidak mampan bagi Malaysia untuk terus bergantung kepada sayuran itu dari luar negara memandangkan ia mengimport 687,000 tan bawang pada tahun 2022 dengan 70 peratus daripada bekalan bawang dan bawang merah diperoleh dari India.

Projek perintis pertama negara yang dimulakan pada Januari lalu telah menghasilkan 2.3 tan bawang merah dari 0.6 hektar tanah di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, di Perak.

Walaupun mempunyai permintaan tinggi, bawang tidak ditanam secara tradisional di Malaysia kerana cabaran iklim tropika terutamanya hujan lebat kerana ia sangat sensitif kepada persekitaran lembap.

“Inisiatif itu menandakan langkah penting ke arah mengurangkan pergantungan Malaysia kepada bawang import.

“Projek ini sangat penting dan dapat mengimbangi pasaran domestik selain melindungi pengguna dari kenaikan harga ketara, ” kata Shri Dewi Applanaidu, profesor madya pengajian ekonomi dan perniagaan tani dari Universiti Utara Malaysia kepada BenarNews.

Larangan eksport bawang oleh India pada Disember lalu telah menyebabkan peningkatan mendadak harga komoditi tersebut dari RM4 (AS$ 0.85) kepada RM11 (AS$2.30) sekilogram.

Semasa pandemik Covid-19, harga komoditi tersebut melonjak antara RM16 hingga RM24 (AS $3.3 - AS$5) kg di Malaysia.

Setiap rakyat Malaysia menggunakan hampir 14 kilogram (kg) bawang setahun sekali gus menjadikan keadaan itu kurang mampan bagi negara untuk terus bergantung sepenuhnya kepada bekalan import.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan yang ia telah merancang untuk memperluas tanaman bawang tempatan di kawasan seluar 2 hektar, secara berperingkat di Perak, Perlis, Selangor dan Kelantan, yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) telah berjaya menghasilkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2, and BAW-3. Ia dibangunkan mengikut kesesuaian kepelbagaian jenis tanah termasuk tanah mineral, gambut dan bris yang kandungan pasirnya tinggi serta daya simpanan air rendah.

“Ketiga-tiga varieti bawang merah itu telah terbukti boleh beradaptasi di ‘tanah yang bermasalah’ seperti bekas lombong melalui kejayaan pengeluaran hasil tanaman di Ladang Bikam, Sungkai, Perak,” kata Kementerian itu dalam satu kenyataan kepada BenarNews.

Pada Februari lalu, Ketua Pengarah Mardi Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata Malaysia perlu menanam sekurang-kurangnya 1,447 hektar bawang di seluruh negara untuk mencapai sasaran 30 peratus pengurangan kebergantungan bawang import menjelang 2030.

WhatsApp Image 2024-04-19 at 12.27.55 PM.jpeg

Buruh memunggah guni bawang dari trak di pasar borong, di pinggir Amritsar, India, 1 Mei 2020. [Narinder Nanu/AFP]

Berdasarkan kajian pula, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Haslina Abdul Hamid berkata, satu hektar tanah boleh menghasilkan sehingga 220,000 bawang dengan anggaran antara sembilan hingga lebih 10 tan metrik sehektar.

Pegawai Pertanian dari Daerah Batang Padang di Perak, Siti Ruhaida Che Ani berkata hasil projek penanaman bawang merah kecil fasa kedua dituai pada pertengahan April, manakala fasa ketiga pula pada Mei ini, bergantung kepada keadaan tanaman tersebut.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengambil alih pengurusan hasil tuaian tanaman tersebut dan mengagihkannya kepada beberapa cawangan jualan agensi itu, katanya dipetik dari media tempatan Berita Harian pada 4 April.

Cabaran tanaman bawang

Meskipun projek perintis dilihat membuahkan hasil yang memberangsangkan, secara hakikatnya pembangunan tanaman bawang merah secara meluas di Malaysia mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran.

Fatimah Mohamed Arshad, felo penyelidikan di Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia mengingatkan kejayaan awal projek tersebut adalah berikutan pelaksanaannya yang dibuat dalam persekitaran terkawal manakala cabaran sebenar yang mungkin dihadapi adalah pelbagai.

"Mardi telah menjalankan tugas dengan baik dalam kajiannya dari segi tanah, baja dan jarak penanaman yang optimal.

“Bagaimanapun, selagi ia tidak ditanam di kawasan yang tiada pemantauan rapi, kita tidak dapat memastikan cabaran yang mungkin dihadapi oleh tanaman ini,” katanya kepada BenarNews.

Selain faktor iklim dan penyakit, cabaran lain yang mungkin dihadapi adalah usaha memastikan pekebun mematuhi prosedur operasi standard bagi mengeluarkan hasil yang maksimum.

“Kegagalan pekebun berbuat demikian mungkin boleh menjurus kepada hasil yang tidak konsisten atau berkurangan,” tambah beliau.

Pihak kementerian berkata beberapa strategi boleh dilaksanakan seperti pengurusan air yang lebih baik, pemilihan musim penanaman yang optimal serta mengamalkan langkah pertanian yang mampan.

BAWANG_01.jpg

Seorang suri rumah sedang memotong bawang yang mahu dimasukan ke dalam masakannya di Kajang, Selangor, 19 April 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Kas-kas sebagai alternatif

Di tengah perbincangan luas mengenai keperluan tanaman bawang, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Mahfuz Omar pula tampil dengan cadangan supaya biji kas-kas digunakan sebagai menangani kenaikan harga bawang.

“Kas-kas merupakan alternatif bagi orang ramai mengurangkan kos (berikutan kenaikan harga bawang)," kata beliau kepada BenarNews.

Kas-kas menambahkan keenakan dalam masakan seperti kari manakala makanan yang ditumis dengan bawang menghasilkan aroma wangi serta menambah rasa makanan tersebut.

Sementara itu, seorang pengusaha gerai makan di Kedah, Amirah Abu Osman bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan menggunakan kas-kas.

“Kita tidak boleh ambil ringan masalah bekalan bawang merah kerana ia merupakan ramuan asas yang diperlukan hampir di setiap rumah.”

Amirah yang menyokong projek penghasilan bawang tempatan menyuarakan hasrat agar kerajaan dapat memperluas kawasan penanamannya dengan segera bagi menampung keperluan rakyat Malaysia.

“Kita tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya dengan bekalan import dan berharap harga bawang dapat kembali murah seperti sebelum ini,” kata Amirah.

Bagi Shabudin Alwi, seorang pengusaha kedai makan di Perlis, peningkatan harga bawang merah menjejaskan perniagaannya kerana terpaksa menampung kos tambahan untuk penggunaan 70 kg bawang merah besar dan kecil setiap minggu dalam aneka lauk-pauk yang dijual di restorannya.

“Harga bawang merah melonjak hampir tiga kali ganda. Apabila kos bahan asas meningkat, kos pengurusan kedai makan turut bertambah menyebabkan ramai peniaga terpaksa naikkan harga makanan,” jelasnya.

Rosliza Kamis, 52, yang bergantung kepada pendapatan sebagai tukang cuci untuk menyara ibu dan lima orang anak terpaksa menyagat bawang merah besar bagi menjimatkan penggunaan bahan makanan itu ekoran kenaikan harganya yang ketara.

“Bawang adalah bahan asas untuk melengkapkan rasa masakan, jadi saya tiada pilihan lain dan terpaksa beli.

“Bagi kami yang berpendapatan kecil, kenaikan harga bawang dan barang asas lain memberi impak besar kepada perbelanjaan harian,” tambah Rosliza.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.