Follow us

Malaysia Batal Bazar Ramadan, Tarik Balik Kebenaran Operasi Perniagaan Tiga Sektor

Noah Lee
Putrajaya, Malaysia
2020-04-13
E-mel
Komen
Share
Orang ramai membeli makanan untuk berbuka puasa di sebuah gerai di bazaar Ramadan yang terletak di bandar Kuala Terengganu, Terengganu, 27 Mei 2017.
Orang ramai membeli makanan untuk berbuka puasa di sebuah gerai di bazaar Ramadan yang terletak di bandar Kuala Terengganu, Terengganu, 27 Mei 2017.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Isnin mengeluarkan arahan tidak membenarkan bazaar Ramadan beroperasi sepanjang tempoh berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah dilanjutkan sehingga 28 April, dengan Putrajaya menarik balik keputusan Jumaat lalu membenarkan perkhidmatan gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi semula.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari yang sama telah mengumumkan bahawa pihak berkuasa kesihatan itu mengesan sejumlah 25 kluster jangkitan COVID-19 di negara itu yang kini telah mencatatkan 77 kematian dengan lebih 4,800 kes positif pandemik berkenaan.

Keputusan tidak membenarkan bazar Ramadan sewaktu PKP dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah mengambil kira nasihat pakar dan KKM, demikian menurut Menteri Kanan kluster keselamatan, Ismail Sabri Yaakob.

“Bazar Ramadan - Keputusan Perdana Menteri semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya pada Isnin.

Tambahnya, Muhyiddin juga membuat keputusan menarik balik kebenaran yang diberikan pada Jumaat lepas terhadap tiga perkhidmatan perniagaan iaitu kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata.

Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) turut mengeluarkan senarai perkhidmatan perniagaan yang dibenarkan selepas Perdana Menterin tampil memberi ucapan yang disiarkan secara langsung di semua platform media di seluruh negara pada Jumaat lepas.

Selain itu, menurut Ismail, Muhyiddin turut mengarahkan supaya semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus masing-masing supaya terus kekal di premis di mana mereka berada.

"Kerajaan sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat termasuk pakar-pakar dan badan-badan bukan kerajaan. Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat tiga keputusan iaitu operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan sama sekali beroperasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Pelajar IPT juga diminta kekal di kampus universiti masing-masing sepanjang tempoh PKP," kata Ismail Sabri.

Perintah pembatalan bazar Ramadan oleh Kerajaan Persekutuan hadir selepas minggu-minggu yang penuh kekeliruan samaada bazar Ramadan akan dibenarkan operasi pada 24 April sehingga Ramadan berakhir.

Muhyiddin pada Jumaat memberikan gambaran bahawa bazar Ramadan dan sembahyang Tarawikh berjemaah di masjid-masjid mungkin tidak akan dibenarkan selepas berkata orang Islam di Malaysia perlu melakukan sedikit perubahan dalam menyambut bulan puasa nanti dengan ketiadaan bazar Ramadan, sembahyang Tarawikh dan majlis berbuka puasa.

Beliau turut memberikan gambaran bahawa mungkin ramai juga tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga pada Mei nanti.

Tujuh negeri-Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Penang, Melaka dan Kedah – mengumumkan tiada bazar di negeri masing-masing minggu lepas sebelum kerajaan persekutuan mengumumkan perkara yang sama.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa pula dalam satu sidang Facebook Live di laman media sosialnya pada Isnin mengumumkan bahawa Wilayah Persekutuan juga akan membatalkan bazar Ramadan.

"Saya hendak tegaskan sekali lagi bahawa setelah berunding dengan semua pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KKM, perbadanan-perbadanan, serta semalam saya habiskan tiga jam berbincang dengan persatuan-persatuan penjaja, kita semua sepakat tahun ini tidak ada bazar Ramadan sama sekali," kata Annuar.

Tambahnya, mereka juga bersetuju bahawa segala jenis bayaran untuk Bazar Ramadan tahun ini, termasuk deposit tapak, bayaran kepada persatuan yang menganjurkan bazar dan sebagainya akan dibawa ke tahun hadapan.

Namun, walaupun kerajaan telah mengumumkan bahawa Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP, Annuar membayangkan bahawa konsep baru bazar mungkin akan diperkenalkan untuk tahun ini bagi mematuhi nasihat KKM.

Katanya, DBKL dan Perbadanan Putrajaya akan membuat satu pembentangan mengenai tiga konsep baru bagi Bazar Ramadan di hadapan Jawatankuasa Khas Menentang COVID-19 termasuk konsep bazar drive-thru (pandu lalu).

"Bila kata drive thru, mereka nak tahu di mana tempatnya, macam mana dengan susun aturnya, berapa orang yang boleh berniaga di situ, dan adakah ianya menepati kriteria penjarakan sosial dan sebagainya," kata Annuar.

Dua konsep lagi, menurut Annuar, adalah konsep pesanan awal yang akan diambil oleh pelanggan sebaik siap di tapak bazar, dan konsep pesanan awal yang akan dihantar ke lokasi pelanggan menggunakan khidmat servis penghantar makanan.

Keputusan ditarik balik

Pengumuman oleh Ismail Sabri berkenaan keputusan Perdana Menteri itu muncul tiga hari selepas MITI mengeluarkan satu senarai industri dan perniagaan yang akan dibenarkan membuka operasi mereka secara berperingkat semasa Fasa 3 PKP.

Senarai berkenaan menjadi sabjek kritikan oleh masyarakat termasuk Persatuan Pendandan Rambut Malaysia yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan pelanggan dan penyedia khidmat gunting rambut untuk beroperasi ketika COVID-19 masih menular.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah turut menyuarakan rasa tidak setuju atas keputusan MITI membenarkan kedai gunting rambut dibuka sewaktu PKP.

Ketika ditanya pemberita semasa sidang media pada Sabtu lepas, beliau menyatakan bahawa kerajaan patut mempertimbangkan untuk menunda keputusan berkenaan sehingga situasi COVID-19 di Malaysia bertambah baik.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan menarik balik kebenaran berkenaan, pakar ekonomi Ramon Navaratnam berkata ia satu langkah yang memang patut diambil oleh kerajaan.

"Isu di sini adalah berkait dengan persoalan samada kita patut memberikan keutamaan kepada kesihatan dan kebajikan rakyat, atau memikirkan mengenai isu perniagaan, peluang pekerjaan dan keuntungan.

"Kita mesti ada keseimbangan di antara dua perkara ini. Dalam erti kata lain, kita perlu menyelamatkan nyawa terlebih dahulu dan mengurangkan kadar jangkitan virus, dan selepas itu bolehlah lihat bagaimana hendak menyelamatkan ekonomi," kata beliau semasa dihubungi BeritaBenar.

Bagi pemimpin pembangkang Khalid Abdul Samad, bekas menteri dan pengarah komunikasi Parti Amanah Negara, situasi yang dicetuskan terhadap senarai yang dikeluarkan MITI itu menunjukkan bahawa tiada komunikasi dan koordinasi yang berkesan di antara kementerian-kementerian, termasuk MITI dan KKM.

Katanya, memang kerajaan ada keperluan untuk memastikan rantaian bekalan makanan tidak terputus serta membenarkan industri-industri tertentu untuk dibuka bagi menjana ekonomi, namun status jangkitan virus dalam negara juga mesti diambil kira.

"Mereka patut kumpulkan semua data dan maklumat, dan kenalpasti di manakah aktiviti-aktiviti (ekonomi) ini boleh dilaksanakan dengan tahap kebebasan yang sesuai. Jika ia ada keperluan, maka ia mestilah dilakukan di bawah kawalan yang betul-betul ketat.

"Sekarang ini, mereka tidak ada koordinasi. Mereka membuat keputusan bahawa mereka perlukan sektor ekonomi beroperasi, dan menyenaraikan beberapa industri yang boleh dibenarkan. Tapi mereka nampaknya tidak merujuk dengan KKM, Kementerian Pertanian dan Kementerian Pengangkutan dan sebagainya," kata Khalid.

KKM kesan 25 kluster dan sub-kluster

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu sidang media bahawa pihaknya mengesan sejumlah 25 kluster dan sub-kluster jangkitan Covid-19 setakat ini.

Menurut beliau, KKM bagaimanapun hanya mengumumkan kluster-kluster besar, dan kluster yang paling besar setakat ini masih kluster perhimpunan tabligh di Sri Petaling pada hujung bulan Februari yang melibatkan lebih kurang 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia.

Paling baru dikesan ialah dua sub-kluster yang berkait antara satu sama lain, membabitkan satu kes indeks yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia dan telah menjangkiti seramai 14 orang dan melibatkan satu kematian.

Selain itu, KKM juga telah mengesan sebanyak 69 kes sporadik, iaitu kes-kes yang tidak dapat dikenalpasti punca jangkitan mereka.


Lihat Laman Penuh