Follow us

Bangladesh: ‘Etnik Rohingya Tidak Dibenarkan Masuk’

Kamran Reza Chowdhury
Dhaka, Bangladesh
2020-04-23
E-mel
Komen
Share
Etnik Rohingya yang diselamatkan sedang menunggu di luar pusat transit Bangladesh-Myanmar di Teknaf, dalam daerah Cox's Bazar di tenggara Bangladesh, sebelum menaiki trak untuk dibawa ke sebuah kem pelarian, 16 April 2020.
Etnik Rohingya yang diselamatkan sedang menunggu di luar pusat transit Bangladesh-Myanmar di Teknaf, dalam daerah Cox's Bazar di tenggara Bangladesh, sebelum menaiki trak untuk dibawa ke sebuah kem pelarian, 16 April 2020.
[Abdur Rahman/BeritaBenar]

Bangladesh tidak akan membenarkan ratusan etnik Rohingya yang menaiki dua kapal pukat tunda yang terdampar di pesisir tenggara negara itu daripada mendarat, kata menteri luarnya pada Khamis walaupun terdapat gesaan PBB dan kumpulan hak asasi manusia supaya ia menerima pelarian berkenaan.

Bot yang membawa kira-kira 500 pelarian itu dikesan oleh nelayan tempatan pada Selasa di Teluk Benggala berhampiran daerah Cox's Bazar, lapor Amnesty International pada Rabu. Seorang komander polis sempadan daerah itu menyatakan bahawa rondaan telah dipertingkatkan untuk mengawasi kedua-dua pukat tunda itu yang menuju ke pantai daerah berkenaan.

"Saya membantah etnik Rohingya dibenarkan masuk ke negara ini kerana Bangladesh selalu diminta mengambil alih tanggungjawab negara-negara lain," kata Menteri Luar Negeri A.K. Abdul Momen kepada BeritaBenar pada malam Khamis. "Kami tidak lagi boleh membenarkan etnik Rohingya masuk ke negara kami.

“Sebelum ini, kami menerima sekumpulan etnik Rohingya yang ditangkap di Teluk Benggala. Sekarang, lebih banyak kapal yang menunggu untuk memasuki Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata kumpulan antarabangsa selalu beralih kepada Bangladesh bagi mendapatkan tempat berlindung serta menjaga etnik Rohingya. Lebih daripada 1 juta pelarian etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan dari Myanmar berlindung di kem dan penempatan yang meluas di Cox's Bazar.

Seorang komandan pengawal pantai tempatan mengulangi pesanan menteri itu.

"Pendirian kami jelas: Tidak seorang pun etnik Rohingya akan dibenarkan masuk. Bot pukat tunda membawa etnik Rohingya yang cuba memasuki Bangladesh akan diusir,” kata Lt Komander M. Saiful Islam, pegawai Pengawal Pantai Zon Timur Chittagong kepada BeritaBenar.

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke kem dan di sekitar Cox’s Bazar dari negeri Rakhine di Myanmar bermula pada Ogos 2017 selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan keras sebagai membalas serangan maut oleh kumpulan pemberontak di pos-pos keselamatan kerajaan. Mereka menyertai ratusan ribu etnik Rohingya yang sebelum itu melarikan diri daripada keganasan di Myanmar.

Momen, menteri luar negeri pula berkata bahawa Bangladesh kini terpaksa menguruskan ribuan rakyatnya yang pulang kerana wabak COVID-19.

"Oleh itu, kami memang tidak mempunyai ruang untuk melindungi orang asing atau pelarian," katanya.

Pada Khamis, UNHCR, agensi pelarian PBB, menyertai Amnesty International dalam menyeru negara-negara lain supaya menerima pelarian Rohingya.

"Berikutan krisis COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, semua negara perlu menguruskan sempadan mereka dengan sewajarnya. Tetapi langkah-langkah sedemikian tidak harus mengakibatkan penutupan laluan bagi mendapatkan suaka, atau memaksa mereka kembali ke situasi berbahaya,” kata UNHCR dalam satu kenyataan di laman webnya.

Pegawai Malaysia bersuara

Di Malaysia, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menyatakan negaranya tidak boleh menolak etnik Rohingya yang tiba dengan kapal, menurut media Kuala Lumpur.

Menurut laporan, dua kapal pukat tunda yang dilihat di Teluk Benggala dan sebuah pukat tunda yang membawa etnik Rohingya kelaparan yang tiba di Bangladesh minggu lalu, telah cuba berlayar memasuki Malaysia tetapi mereka dipaksa pergi.

"Dalam kita menjaga sempadan, kita tidak boleh membiarkan orang tenggelam, mati dan malah menjadi mangsa kezaliman kerajaan mereka sendiri," kata Anwar, merujuk kepada etnik Rohingya. "Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menjaga mereka dalam bentuk kawalan yang terhad tetapi tidak mengusir sehingga mereka tenggelam atau tidak membiarkan mereka kelaparan," katanya.

NGO Fortify Rights yang berpejabat di Asia Tenggara juga mengeluarkan gesaan sama minggu lalu setelah munculnya laporan mengenai tindakan Malaysia.

"Menghantar kapal pelarian yang serba-serbinya kurang ke laut adalah tidak sah dan merupakan suatu hukuman mati," kata Matthew Smith, ketua pegawai eksekutif NGO itu dalam siaran media pada 17 April. "Kerajaan Malaysia harus menyiasat siapa yang memerintahkan kapal Rohingya itu kembali ke laut dan perlu segera membenarkan misi mencari dan menyelamat dilakukan untuk kapal-kapal lain yang berada dalam kesusahan. COVID-19 bukan alasan untuk menghantar pelarian supaya mati di laut. "

Di Cox's Bazar, seorang pemimpin etnik Rohingya menyuarakan harapannya agar kerajaan Bangladesh akan membenarkan para pelarian di kapal berkenaan mendarat di daerah itu.

“Kami berterima kasih kepada Bangladesh kerana memberi perlindungan kepada kami. Pastinya ramai yang akan gembira sekiranya mereka yang terdampar di laut itu dibenarkan memasuki Bangladesh,” kata Mohammad Shah Alam, seorang pemimpin etnik Rohingya di kem pelarian Kutupalong, kepada BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh