Ujian DNA Tentukan Mayat – Polis Malaysia
2015.11.19
Polis Malaysia akan mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada keluarga Bernard Then Ted Fen, mangsa culik yang dibunuh kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada Selasa, secepat mungkin untuk digunakan dalam ujian DNA bagi menentukan identiti mayat yang ditemui di negara itu.
Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama rapat dengan polis Filipina dalam menjalankan ujian DNA terhadap mayat itu yang ditemui di Indanan, Jolo pada Rabu.
"Semalam, satu mayat telah ditemui di Indanan, Jolo (selatan Filipina) dan mayat itu kini disimpan di sebuah hospital di Filipina," kata Khalid seperti yang dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), di Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Sambil berharap ujian DNA itu dapat dilakukan segera, Khalid berkata, jika mayat berkenaan disahkan milik Bernard Then, maka pihak berkuasa Malaysia akan berusaha memastikan penghantaran pulang mayat tersebut secepat mungkin.
Menurutnya, pihak berkuasa Filipina telah memaklumkan kepada beliau bahawa badan dan kepala mayat itu dijumpai di lokasi berasingan.
“Bahagian badan mayat ditanam di sebuah lokasi namun digali semula oleh pihak berkuasa Filipina sebelum disimpan di sebuah hospital sementara menunggu ujian DNA dijalankan,” jelas Khalid.
"Apa yang kita (polis Malaysia) dimaklumkan, berlaku pertempuran antara pihak berkuasa Filipina dan kumpulan militan Abu Sayyaf...dalam keadaan kelam kabut apabila mereka (penculik) diserang, ada mangsa-mangsa yang ditembak kemudian terus ditanam.
"Jadi kami ingin mengesahkan (sama ada mayat itu milik Then atau tidak) secara saintifik dan rasmi," katanya.
Khalid berkata, beliau akan ke Manila secepat mungkin untuk menemui rakan sejawatnya berhubung perkara itu.
Pada Rabu, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengesahkan pembunuhan Bernard Then dan beliau mengutuk tindakan kejam itu sambil menggesa Filipina memburu dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Najib berkata, Malaysia sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Filipina dalam usaha mengambil tindakan dan membawa penculik berkenaan ke muka pengadilan.
Pada 14 Mei lepas, jurutera elektrik Bernard Then, 39, adalah antara dua mangsa yang diculik empat lelaki bersenjata dari selatan Filipina dipercayai kumpulan Abu Sayyaf, yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah.
Seorang lagi ialah Thien Nyuk Fun, 50, pengurus restoran berkenaan. Pada 8 Nov lepas, Selepas enam bulan diculik, Thien dibebaskan oleh kumpulan penculik itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan.
Media asing melaporkan bahawa Then, 39, yang berasal dari Sarawak, dipenggal kepalanya kira-kira 4 petang pada Selasa lepas di kubu kuat Abu Sayyaf yang terpencil di Jolo di wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila.
‘Cuba sedaya upaya’
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mencuba sedaya upaya membebaskan Bernard Then sebelum mangsa dilaporkan dibunuh.
Beliau berkata, kumpulan yang menculik Bernard Then pada awalnya berjanji dengan pihak perunding Malaysia untuk membebaskannya dan Thien.
"Malangnya mereka letak beberapa syarat tambahan dan ini amat tidak dialu-alukan oleh pihak perunding berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas menandatangani Perjanjian Mencegah dan Membanteras Jenayah Berat bersama Amerika Syarikat pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata, dalam hal ini, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan Filipina tetapi pasukan perunding yang melaksanakan tugas itu perlu menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya.
Belum reda kisah Bernard Then dibunuh, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurrul Izzah Anwar menambahkan kepedihan rakyat Malaysia secara amnya dan penduduk Sabah khususnya berikutan penyebaran gambarnya bersama-sama Jacel H. Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, yang mengarahkan pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013.
Gambar mengenai pertemuan itu dimuat naik oleh Jacel pada 9 Nov dalam akaun Facebook beliau.
Akibatnya, beliau dikecam banyak pihak termasuk pembangkang yang menganggap perbuatannya itu telah melukai perasaan penduduk Sabah terutamanya di Lahad Datu yang menerima kesan buruk insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina itu.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein turut menyifatkan tindakan Nurul Izzah sebagai tidak bertanggungjawab.
"Saya tengok tindakan itu boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian. Sekiranya ada ancaman berhubung kait kedaulatan keselamatan maruah negara kita, sekiranya ia benar," katanya.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan pula menuntut anak sulung bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim itu, memohon maaf kepada rakyat Malaysia terutama di Sabah berikutan tindakannya itu.
Abdul Rahman, yang juga anak jati Sabah, berkata Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai tidak boleh memberi sebarang alasan kerana tiada satu alasan pun boleh 'menghalalkan' perbuatannya itu.
"Untuk Nurul Izzah bertemu dan bermesra dengan individu yang secara terbuka menyokong pencerobohan bersenjata di Sabah adalah sesuatu yang tak boleh diterima," kata Abdul Rahman dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
‘Mengaku bertemu’
Sementara itu, Nurul Izzah mengakui beliau bertemu Jacel semasa berada di Filipina bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, sebagai sebahagian daripada rombongan PKR untuk bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.
Majlis itu dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina, katanya dalam satu kenyataan pada petang Khamis.
Selain Jacel, pemimpin lain yang ditemui termasuk bekas gabenor dan anggota kongres Batangas Hermilando Mandanas, anggota kongres Regina Reyes, anggota kongres Silvestre Bello, dekan undang-undang Amading Valdez, bekas anggota kabinet Romy Nery, dan bekas setiausaha kehakiman Wencie Andanar dan anggota kakitangan naib presiden Flipina dan datuk bandar Manila.
"Dalam pertemuan itu, saya tekankan mengenai sokongan kami untuk inisiatif kerajaan Malaysia dalam rundingan damai di selatan Filipina. Saya ingin mengulangi sokongan saya dalam mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia," katanya.
Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pertempuran tercetus pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo.
Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.
Sehari selepas itu, enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh semasa bertempur berikutan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.