Malaysia Bentang Belanjawan RM322.1 Bilion Bantu Rakyat, Ekonomi Terkesan COVID-19

Bajet ini mungkin juga bajet pilihan raya jika pilihan raya diadakan pada tahun hadapan, kata penganalisis politik.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.10.29
Kuala Lumpur
Malaysia Bentang Belanjawan RM322.1 Bilion Bantu Rakyat, Ekonomi Terkesan COVID-19 Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (baju melayu biru) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz (baju merah pic lembut) hadir bagi pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 29 Oktober 2021.
[Edaran Jabatan Penerangan Malaysia/BenarNews]

Kerajaan Malaysia membentangkan belanjawan terbesar RM322.1 bilion [AS$80.1 bilion] pada Jumaat, dengan majoriti peruntukan dikhususkan kepada sektor sosial, tatkala rakyat melalui fasa pemulihan daripada kemelesatan pendapatan berpunca dari gelombang COVID-19 terbaru awal tahun ini, menurut Menteri Kewangan.

Tengku Zafrul Aziz berkata peruntukan yang lebih besar itu akan dibiayai oleh dana dari cukai pendapatan, pinjaman dan aset-aset kerajaan.

Belanjawan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ – yang pertama di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, bersandarkan tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan.

“Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah RM332.1 bilion yang menyaksikan nilai peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini. Daripada jumlah tersebut kerajaan bercadang untuk menyediakan belanja mengurus sebanyak RM223.5 bilion (AS$53.85 bilion), RM75.6 bilion (AS$18.21 bilion) bagi belanja pembangunan, RM23 bilion (AS$5.5 bilion) untuk Kumpulan Wang COVID-19 dan RM2 bilion (AS$481 juta) pula bagi simpanan luar jangka.

“Sungguhpun ini merupakan bajet yang mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 peratus pada 2021,” kata Tengku Zafrul dalam ucapaan belanjawannnya di Dewan Rakyat.

Menurutnya unjuran KDNK itu berdasarkan jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi 2022 kepada RM234 bilion (AS$56.3 bilion) dengan ekonomi dilihat “lebih cerah tahun hadapan”.

Bajet ini melihatkan peruntukan kebajikan bersasar kepada rakyat – yang dijenamakan semula kepada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), ditingkatkan kepada RM8.2 bilion (AS$1.97 bilion) berbanding 7 bilion (AS$1.68 bilion) di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi tahun 2021.

Ianya akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima berbanding 8.6 juta dibawah skim sebelum ini dengan peningkatan bantuan terutamanya bagi keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 (AS$600).

"RM2,000 bantuan one-off tertinggi untuk isi rumah tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan, peningkatan berbanding RM1,800 iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat sebelum ini," katanya lagi.

Kerajaan turut mencadangkan peruntukan RM2.4 bilion (AS$578 juta) bagi bantuan tambahan sebanyak RM500(AS$120) lagi kepada ibu atau bapa tunggal, RM300(AS$72) kepada isi rumah warga emas, manakala syarat kelayakan kebajikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169(AS$281) berbanding RM980(AS$236) sebelum ini.

"Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan 440,000 isi rumah yang memerlukan,” ujarnya.

Cukai Makmur

Buat julung kalinya, kerajaan akhirnya bersetuju untuk memperkenalkan ‘windfall tax’ yang dinamakan Cukai Makmur secara ‘one-off’ kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

“Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta (AS$24 juta) pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” jelas Tengku Zafrul dalam pembentangan itu.

Menurutnya, kerajaan akan turut memperkenalkan cukai baharu di bawah langkah kemampanan hasil, selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa.

Antaranya adalah cukai pendapatan kepada pemastautin Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara di Malaysia mulai 1 Januari 2022; cukai jualan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara; dan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk platform e-Dagang.

Pertahanan, keselamatan dapat RM33 bilion

Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan RM16 bilion (AS$3.85 bilion) kepada Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion (AS$4 bilion) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi Bajet 2022.

Daripada jumlah itu, RM1.6 bilion (AS$385 juta) diperuntukkan bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membabitkan RM14 juta (AS$3.3 juta) bagi mengganti peralatan utama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) seperti payung terjun, alat selam litar tertutup dan bot.

Sebanyak RM230 juta (AS$55.4 juta) adalah bagi kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), selain peruntukan membabitkan penggantian dan pembaikan lif serta kuarters Polis Diraja Malaysia.

Bagi memperkukuh kedaulatan negara, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA), antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan yang berterusan oleh anggota penguatkuasaan.

"Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh di Sarawak, bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan melalui imigresen susulan perubahan ibunegara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo, jajaran Telok Melano,” umum Tengku Zafrul.

Lai Yew Meng, penganalisis keselamatan serantau dari Universiti Malaysia Sabah berkata ketiadaan peningkatan ketara kepada sektor pertahanan dan keselamatan sememangnya dijangka.
“Ini adalah kerana cabaran fiskal kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang telah dirumitkan lagi dengan ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan mencabar ini, adalah dijangka penekanan kurang diberikan kepada dua sektor ini berbanding agenda-agenda lain yang lebih mendesak,” ujarnya.

Peruntukan khas terhadap wanita dan kanak-kanak

Dalam pembentangan itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan khas RM13 juta (AS$3.13 juta) bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah bagi memerangi keganasan dan jenayah terhadap golongan kanak-kanak dan wanita.

Menurutnya, kerajaan bersetuju mewujudkan 100 perjawatan baharu bagi Bahagian D11 dan menambah program kesedaran komuniti berhubung keganasan wanita dan rumah tangga.

Badan yang memperjuangkan hak wanita, Women’s Aid Organisation (WAO) menyambut baik langkah berkenaan, namum menegaskan peruntukan tambahan perlu diberikan kepada bantuan sokongan.

“Selain daripada pelaburan dalam D11, kita tidak mendengar peningkatan peruntukan untuk perkhidmatan penting seperti Pusat Krisis Sehenti di hospital awam adan peningkatan bilangan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujar Sumitra Visvanathan, pengarah eksekutif WAO dalam satu kenyataan.

Menurutnya, biarpun terdapat beberapa pengumuman yang baik antaranya bantuan lampin wanita untuk keluarga berpendapatan rendah dan meluaskan pelindungan sosial untuk sektor tidak rasmi, namun bajet itu seharusnya lebih berani dalam menangani isu jurang jantina yang semakin meruncing akibat pandemik.

Ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Tunku Mohar Mokhtar berkata Belanjawan 2022 adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan sememangnya dijangka kerana peruntukan-peruntukan tersebut diperlukan untuk menangani impak pandemik COVID-19.

“Selain itu, perlu diambil kira bahawa bajet ini mungkin juga bajet pilihan raya jika pilihan raya diadakan pada tahun hadapan, iaitu apabila perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan berakhir.

“Kalau dilihat dari bajet, kerajaan memperuntukkan jumlah bantuan paling besar kepada pelbagai sektor awam terutamanya kepada mereka dalam golongan B40.

“Bonus bagi penjawat awam juga lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini, dan golongan ini secara tradisinya adalan pengundi Barisan Nasioanal,” katanya kepada BenarNews pada Jumaat.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.