Malaysia: Belanjawan 2021 Bernilai RM322.50 Bilion, Terbesar Dalam Sejarah

Nani Yusof, Muzliza Mustafa & Hadi Azmi
2020.11.06
Washington & Kuala Lumpur
201106-MY-Budget1000.jpg Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz semasa membentangkan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional sejak ianya mula berkuasa pada Mac lalu, di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur, 6 Nov 2020.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

KEMASKINI pada 2.30 petang waktu tempatan ETS - 2020-11-06

Malaysia pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion (AS$78.1 bilion) yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah negara serta yang pertama bagi kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah tanpa mendapat mandat rakyat, dengan memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi negara pasca peningkatan penularan jangkitan pandemik COVID-19, yang dilihat penting bagi kelangsungan politik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat itu sangat dinanti-nantikan oleh semua golongan masyarakat dalam situasi politik negara yang kurang stabil dengan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti tipis di Parlimen dan selepas permohonan Perdana Menteri itu untuk mengisytiharkan darurat baru-baru ini, telah ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Zafrul berkata jumlah keseluruhan belanjawaan terbesar itu meliputi RM236.5 bilion atau 73.3 peratus yang akan disalurkan kepada perbelanjaan mengurus, RM69 bilion (21.4 peratus) lagi bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang COVID-19.

"Kerajaan memutuskan supaya Belanjawan 2021 merupakan belanjawaan yang mengembang atau expansionary. Sehubungan itu, jumlah perbelanjaan bagi tahun 2021 merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah dengan nilai sebanyak 322.5 bilion ringgit.

"Kerajaan bercadang untuk memperuntukkan 236.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus, 69 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan dan 17 bilion ringgit di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

"Sebanyak 2 bilion ringgit diperuntukan bagi simpanan luar jangka dengan mengambil kira anggaran tersebut, defisit fiskal 2021 diunjur pada kadar 5.4 peratus berbanding KDNK," kata Tengku Zafrul semasa membentangkan belanjawan hampir 2 jam itu.

Pada tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Mahatahir Mohamad telah memperkenalkan Belanjawan 2020 bernilai RM297.020 bilion penurunan sebanyak 5.57 peratus berbanding peruntukan sebanyak RM314.55 bilion pada Belanjawan 2019.

Tengku Zafrul berkata, susulan daripada penularan COVID-19 telah berlaku peningkatan RM17.7 bilion dalam unjuran asal Belanjawan 2020 dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan bagi tahun 2020 dianggar sebanyak RM314.7 bilion berbanding peruntukan sebanyak RM297.020.

“Peningkatan perbelanjaan ini bertujuan membiayai pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi akibat penularan COVID-19, walaupun dalam keadaan hasil yang kurang tetapi kerajaan tidak berkompromi bagi melindungan nyawa dan kehidupan dalam memerangani pandemik berkenaan. Sehubungan itu, defisit fiskal bagi tahun 2020 dianggar meningkat kepada enam peratus berbanding sasaran asal 3.2 peratus,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, prestasi kutipan hasil kerajaan sepanjang tahun ini, didapati terjejas akibat COVID-19 dan telah disemak semula dan mendapati berlakunya pengurangan hampir RM18 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM244.5 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 pada tahun lalu kepada hanya RM227.3 bilion.

Tiada lonjakan pulih ekonomi

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan telah menggubal sebuah belanjawan yang berprinsip melindungi rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali dalam menjamin masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.

"Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion yang baharu dibentangkan di Parlimen, adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat oleh kerajaan Perikatan Nasional, walaupun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali, dalam memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan berkesan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik pembentangan belanjawan yang katanya tidak mempunyai satu lonjakan untuk memulih, meransang dan memajukan ekonomi negara atau penyelesaian terhadap penggangguran juga membantu golongan pekerja yang dibuang kerja.

"Kelemahan paling ketara dalam belanjawan [ini] adalah ianya tidak mempunyai satu lonjakan, dan bagaimana boleh kita pulihkan ekonomi... belanjawan ini tidak memberikan gambaran bagaimana kita boleh merangsang, memajukan perkembangan ekonomi supaya dapat hidup dan segar.

"Bayaran RM500 dan RM1000 [kepada pekerja] hanyalah bersifat sementara dan bukan jawapannya, kita memerlukan satu rangka yang lebih teratur," katanya yang juga bekas Menteri Kewangan dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman media sosial Facebooknya lewat petang Jumaat.

Anwar berkata, kerajaan perlu mempunyai sikap yang lebih telus menyatakan faktanya kerana Belanjawaan itu akan dikaji dan mempengaruhi dasar negara.

"Bila ditukar unjuran pendapatan dan ditinggikan, untuk menunjukkan defisit berkurangan, ini amat membimbangkan.. harus ada sikap yang lebih telus menyatakan fakta," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, belanjawan yang dibentangkan itu tidak secara langsung memenuhi tuntutan Pakatan Harapan, yang pada 1 November lepas telah mencadangkan enam langkah fiskal dan kewangan utama bagi Belanjawan 2021 kepada kerajaan.

"Salah satu tuntutan populis oleh pembangkang adalah untuk memperkenalkan semula moratorium pembayaran pinjaman selama enam bulan lagi. Ini tidak diterima sepenuhnya oleh kerajaan, tetapi belanjawan yang dibentangkan itu hanya menyediakan pendekatan yang disasarkan kepada mereka yang mengalami kesulitan dalam membayar pinjaman,” kata Tunku Mohar.

"Ini jelas merupakan belanjawan 'krisis', di mana meskipun pendapatan kerajaan menurun, ia harus fokus pada pengeluaran untuk merangsang ekonomi dan memberikan bantuan kepada sektor-sektor yang terkena tempias buruk oleh pandemik itu," katanya.

Tunku Mohar berkata Muhyiddin nampak yakin bahawa beliau akan mendapat sokongan terhadap belanjawan tersebut."Untuk itu, memasukkan tuntutan pembangkang bukanlah keutamaannya. Dalam mencapai kepentingan Melayu Islam, beliau juga menggembirakan UMNO dan boleh bergantung kepada ahli parlimen parti itu untuk menyokong belanjawan tersebut,” katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.