Belia: Kepimpinan Najib Bakal Musnahkan Masa Depan Malaysia
2016.03.02
Kuala Lumpur
Gabungan 25 pemimpin dan aktivis belia Malaysia pada Rabu tampil bersuara dan menghantar mesej kepada Perdana Menteri dengan berkata yang mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib Razak, yang dilihat bakal menjejaskan dan mengorbankan masa depan negara.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, jurucakap gabungan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Challenger berkata, adalah menjadi tanggungjawab belia untuk bersuara terhadap kepimpinan Najib yang dilihat akan menghancurkan negara tercinta.
Challenger merupakan kumpulan belia dari pelbagai lapisan masyarakat yang dibarisi oleh pemimpin terkini, bekas pemimpin belia, penyokong kerajaan, pro-pembangkang, neutral, dan juga pemimpin masyarakat sivil.
“Kami sebagai generasi yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib dan sekutunya, kerana kami telah hilang keyakinan terhadap keupayaan pentadbiran Perdana Menteri” kata Syed Saddiq yang pernah menerima Anugerah Kebangsaan Belia Negara dan Anugerah Belia Merdeka dalam satu kenyataan yang diterima BeritaBenar pada Rabu.
Gabungan itu turut menyenaraikan beberapa perkara yang membimbangkan mereka yang berlaku di Malaysia dan antaranya ialah kegagalan Najib menangani dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, pentadbiran Najib telah gagal mengendali krisis itu secara bebas dan tidak berat sebelah, selain siasatan mengenainya terjejas akibat daripada gangguan luaran dan ugutan.
Tahun lepas, Najib berhadapan dakwaan rasuah dan salah urus dana negara yang dibebani hutang 1MDB dan pendedahan bahawa kira-kira AS$681 juta (RM2.6 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, selepas akhbar The Wall Street Journal (WSJ), yang berpangkalan di Amerika Syarikat membuat pendedahan dalam laporannya pada Julai.
Najib telah disiasat berhubung deposit wang ke dalam akaun bank peribadinya itu, dan laporan-laporan media pula mengaitkan wang tersebut dengan 1MDB. Beliau menegaskan yang beliau tidak mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadinya.
Bulan lalu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali "membersihkan nama" Najib lantas mengelakkan beliau daripada menghadapi pertuduhan rasuah berikutan laporan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang tidak didedahkan kepada umum.
Apandi turut mengumumkan bahawa "tiada jenayah dilakukan" dan wang tersebut merupakan "derma peribadi" kepada Najib daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Nama Najib mungkin telah dibersihkan di peringkat nasional, tetapi nama 1MDB timbul dalam beberapa siasatan yang dijalankan di Abu Dhabi, Hong Kong, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, menurut akhbar WSJ itu malah turut melaporkan bahawa FBI [Federal Bureau of Investigation] telah membuka kertas siasatan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.
Nama dan imej terjejas
Syed Saddiq yang juga pemenang debat terbaik Asia berkata, nama baik Malaysia telah terjejas di dunia berikutan krisis itu, selain menjadi perhatian pelbagai media luar negara.
“Maruah Malaysia sudah tercalar dan ini akan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan… Kami tidak ingin berdiam diri apabila masa depan kami diragut,” katanya lagi.
Belaiu juga menegaskan bahawa gabungan itu sedih dengan tindakan kerajaan yang menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ untuk menahan pemimpin, penentang kerajaan termasuk mereka yang berani bersuara kearah mencari kebenaran.
“Budaya menutup mulut mereka yang berlainan pendapat dan pencari kebenaran merupakan satu trend terkini dan ianya sangat membimbangkan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Hairul Fazli, seorang belia tempatan bersetuju dengan gabungan kumpulan Challenger itu dengan berkata, selama 28 tahun hidupnya melihat perkembangan Malaysia, beliau yakin bahawa kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri adalah yang paling buruk.
"Kepimpinan Najib sudah tidak efektif sama sekali dengan permainan politiknya yang amat kotor, memburukkan lagi keadaan semasa," kata pegawai sumber manusia itu kepada BeritaBenar pada Rabu.
Tambah beliau, kesilapan pentadbiran Najib telah memberikan impak signifikan terhadap rakyat, malah perdana menteri itu telah mencemarkan imej negara di mata dunia.
Manakala, Norzihan Mansur, seorang pekerja sektor swasta di Kuala Lumpur berkata Malaysia di bawah kepimpinan Najib amat memalukan kerana dunia kini mengenali Malaysia dengan pemimpin yang didakwa terlibat dengan pelbagai skandal rasuah.
"Imej kita tercemar dek kerana pemimpin tertinggi negara," katanya sambil menambah yang beliau merasakan belia kian tersepit apabila pelbagai jenis barang dan perkhidmatan dikenakan cukai selain harga barang yang makin melambung tinggi.