Kibar bendera China: Rakyat Malaysia pelbagai etnik salahkan politikus atas provokasi perkauman

Dua insiden kibar bendera republik itu cetuskan kemarahan, kaitkannya dengan tekanan politik domestik dan peningkatan pengaruh Beijing.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2024.10.31
Kuala Lumpur
Kibar bendera China: Rakyat Malaysia pelbagai etnik salahkan politikus atas provokasi perkauman Timbalan Speaker Melaka Kerk Chee Yee memuat naik gambar peserta antarabangsa dari China yang mengibarkan bendera negara mereka semasa acara Guan Gong di Johor Bahru, Malaysia, 20 Okt 2024.
[Facebook Kerk Chee Yee]

Ramai rakyat Malaysia semakin bimbang tentang apa sahaja berkaitan dengan China sejak kebelakangan ini, satu sentimen yang jika tidak ditangani boleh memperdalam jurang perkauman antara kaum Cina dan Melayu, di mana ketegangan sudah memuncak, kata penganalisis.

Dua insiden baru-baru ini melibatkan sekumpulan individu mengibarkan bendera China di Malaysia mencetuskan kemarahan di media sosial, yang disifatkan oleh pemerhati politik sebagai gabungan tekanan politik domestik dan tekanan pengaruh Beijing yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

Keadaan ini hanya sedia untuk meledak, menurut penganalisis Azmi Hassan, seorang felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara.

“Apabila China memfailkan bantahan diplomatik terhadap aktiviti cari gali minyak Malaysia di Laut China Selatan, (blok pembangkang) Perikatan Nasional merangkanya sebagai percubaan Beijing untuk menguasai kita. Ini mencetuskan ketidakpercayaan orang ramai terhadap pengaruh China,” kata Azmi kepada BenarNews.

“Kebimbangan bukan hanya mengenai tingkah laku China di peringkat antarabangsa, malah mengenai bagaimana naratif itu digunakan dalam politik Malaysia untuk memperdalam jurang etnik,” katanya.

Insiden yang berlaku di Teluk Intan, Perak semasa Festival Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa pada minggu lalu apabila rakaman video menunjukkan peserta dari China mengibarkan bendera merah negara itu menjadi tular.

Tindak balas

Tindak balas dalam talian begitu pantas, dengan pengkritik menafsirkan bendera itu sebagai tanda ‘pencerobohan’ China di Malaysia.

Sebagai tindak balas, beratus-ratus rakyat Malaysia berkumpul di pekarangan Menara Condong di daerah itu tidak lama kemudian dengan mengibarkan bendera Malaysia dan menyanyikan lagu-lagu patriotik.

“Orang Cina di Malaysia, selepas lebih 67 tahun merdeka, tidak berintegrasi sepenuhnya ke dalam norma masyarakat Melayu,” kata Teo Kok Seong, seorang felo kanan di Majlis Profesor Negara Malaysia kepada BenarNews.

“Rakyat Malaysia, khususnya Melayu, kadang-kadang merujuk etnik Cina di sini sebagai ‘komunis,’ bukan atas sebab ideologi, tetapi sebagai gambaran permusuhan sejarah,” kata Teo.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia yang merupakan penganjur festival itu, menjelaskan bahawa mengibarkan bendera bukan sebahagian daripada program rasmi dan memohon maaf kepada orang ramai.

Namun reaksi terhadap insiden itu, kata penganalisis disebabkan oleh sensitiviti yang semakin meningkat mengenai isu pengaruh Cina sama ada dari segi sosial atau politik.

“Ia adalah, jika China menjadi kuasa besar [dominasi global lebih besar], ini akan menjadi Cina tempatan lebih berani,” James Chin, seorang profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania kepada BenarNews.

“China merupakan rakan dagang nombor satu [Malaysia], jadi jelas sekali mereka tidak boleh lari dari China. Namun disebabkan 30 peratus penduduk Cina di Malaysia, golongan nasionalis atau elit politik Melayu juga melihat China sebagai ancaman.”

Isu pengibaran bendera China tersebut kemudian merebak ke negeri selatan Johor hingga membuatkan polis membuka kertas siasatan.

Ia susulan tular pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di negeri itu pada Ahad.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata pihaknya menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu mengibarkan bendera negara luar.

Susulan laporan polis mengenai insiden itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kata beliau.

“Kita akan memanggil penganjur dan saksi-saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

MY-CH-flag2.PNG

Kapal latihan tentera laut Cina, Qi Jiguang dan kapal pendaratan amfibia Jinggangshan dilihat di Pelabuhan Pulau Pinang, Malaysia, 5 Okt 2024. [Tentera Laut China]

Sentimen anti-China, tarik sokongan Melayu

Landskap politik Malaysia baru-baru ini telah menyaksikan peningkatan retorik nasionalis, terutamanya gabungan Perikatan Nasional (PN), yang telah menggunakan sentimen anti-China untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Ketegangan kaum antara majoriti Melayu Islam dan minoriti Cina berakar umbi sejak rusuhan kaum Mei 1969, tetapi perpecahan iti semakin meruncing sejak kempen Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum 2022, yang sering menggambarkan bukan Melayu sebagai ancaman kepada identiti Melayu, kata penganalisis.

Kira-kira 70 peratus penduduk Malaysia adalah kaum Melayu manakala Cina membentuk sekitar 23 peratus dan etnik India, 7 peratus.

Menjawab kontroversi mengenai pengibaran bendera China di Teluk Intan, Razman Zakaria, Pesuruhjaya PAS negeri Perak menghalakan komen berbaur perkauman terhadap orang Cina Malaysia.

“Adakah mereka yang mengibarkan bendera China itu, warga China atau adakah mereka warga Malaysia?” soalnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Ia adalah tingkah laku yang melampau dan tidak setia apabila dilakukan secara terbuka di ruang awam di hadapan orang ramai berbilang kaum,” tambahnya.

Kapal tentera laut China

Terdahulu, kontroversi mengenai bendera China tercetus apabila dua kapal latihan tentera laut China berlabuh di negeri utara Pulau Pinang pada awal Oktober.

Tindakan kru kapal itu mengibarkan bendera China ketika melawat sebuah sekolah swasta di negeri yang dikuasai parti didominasi kaum Cina, Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencetuskan kemarahan orang ramai di tengah-tengah ketegangan yang kian meningkat berhubung pendirian Malaysia meneruskan penerokaan minyak di Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Kerajaan Malaysia mempertahankan lawatan kapal tentera China kerana ia mematuhi protokol diplomatik susulan kritikan parti pembangkang yang menyifatkan langkah itu sebagai "tidak sensitif" di tengah-tengah dakwaan berterusan pencerobohan China ke perairan Malaysia.

Beijing menuntut hampir keseluruhan laut, termasuk bahagian Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) dan tentera lautnya telah melakukan pelbagai pencerobohan ke perairan yang dianggap Malaysia berdaulat.

Sesetengah pemerhati melihat kejadian itu sebagai simbolik rasa tidak selamat yang lebih mendalam dalam masyarakat Melayu Malaysia.

“Hakikat bahawa insiden kecil seperti itu boleh menimbulkan reaksi yang begitu kuat memberitahu kita betapa sensitifnya keadaan itu,” kata Teo

“Terdapat persepsi yang tertanam bahawa etnik Cina akan sentiasa mempunyai kesetiaan kepada China, yang tidak sepenuhnya tepat, tetapi ia berterusan.”

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Malaysia mempunyai pilihan terhad dalam menguruskan ketegangan etnik dan agama.

“Ini hampir tidak dapat dielakkan dalam masyarakat berbilang budaya seperti Malaysia, di mana kumpulan etnik dan puak agama yang berbeza bersaing untuk menguasai, sesetengahnya lebih agresif daripada yang lain, selalunya merugikan orang lain,” katanya kepada BenarNews.

“Dalam kes ini, terbukti pihak tertentu sengaja memperbesarkan insiden ini untuk menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan masyarakat etnik Cina di sini, bertujuan untuk mendapatkan mata politik dengan pengundi Melayu yang semakin konservatif.”

MY-CH-flag3.PNG

Peserta Thailand di acara Guan Gong mengibarkan bendera negara mereka, dalam gambar yang disiarkan di halaman Facebook Kerk Chee Yee, timbalan speaker Melaka, di Johor Bahru, Malaysia, 20 Okt 2024.[Facebook Kerk Chee Yee]

Malaysia negara kami

Dalam pada itu, seorang warga tempatan berketurunan Cina yang berusia 43 tahun, Chong Keat, kelihatan letih dengan isu-isu yang berulang seperti ini, dan menerangkan reaksi terhadap pengibaran bendera China dari pelbagai sudut.

“Jika rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera China, saya tidak setuju, kerana kita seharusnya berdiri teguh dengan negara kita sendiri. Apabila saya melancong ke China, saya tidak akan mengibarkan bendera mereka kerana ia bukan bendera negara saya. Tetapi jika ia adalah rakyat China sendiri, maka itu adalah hak mereka,” kata Chong, seorang penduduk Perlis, kepada BenarNews.

“Rakyat Malaysia perlu bersikap tenang dan tidak bertindak terlalu cepat. ... Kebanyakan isu ini dipacu oleh ahli politik yang mencetuskan ketegangan. Sebagai seorang Cina Malaysia, saya tidak merasakan sebarang hubungan dengan China kerana saya dilahirkan di sini.”

Ada kemungkinan generasi tua Cina Malaysia merasa berbeza, kata Chong, sambil menambah dia tidak pasti sama ada itu benar ataupun tidak.

“Mungkin generasi yang lebih tua, yang datang dari China, masih mempunyai sedikit keterikatan, tetapi kami yang dilahirkan di sini tidak. Ini negara kami,” kata Chong.

“Jangan kaitkan kami dengan China. Kami adalah rakyat Malaysia.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.